Isnin, 6 April 2009

AIMAN

Aiman cuba menenteramkan teman-temannya. Aiman tahu, Zaidel dan Eden mungkin dapat menerimanya. Tetapi tidak Asrul. Asrul seorang yang mempunyai jiwa drastik. Mudah membuat pengiraan yang jitu dan optimis secara logik semata-mata. Sukar menyelami caranya membuat tafsiran. Namun, mudah menilai jawapannya. Kerana Asrul, temannya yang paling mudah terbakar dengan situasi yang tidak memihak kepadanya.
“Tapi kamu perlu faham Aiman, hidup satu perlumbaan yang harus mengejar makna kemenangan. Bukan menyerah kalah”
Riak wajah Asrul, jelas sekali menampakkan rasa tidak puas hatinya dengan keputusan yang dibuat oleh Encik Marjan, Ketua Jabatan mereka. Aiman pun tahu. Tapi pertimbangan lain membawanya mencari perhitungan yang lebih terbuka. Aiman tidak mahu sesuatu pertentangan yang akan menimbulkan lagi kesulitan yang lain. Aiman faham, hak pemutus adalah hak ketua dan hak mencadang adalah hak pekerja.
Seperti biasa, hal di pejabat menjadi bahan perbincangan mereka setiap kali duduk bersembang. Perisitiwa dalam mesyuarat petang tadi pun menjadi bahan ulasan mereka di kedai Kak Gayah. Sememangnya mereka berempat begitu. Setiap hal, setiap perkara yang berkaitan dengan kerja akan mereka bincangkan sambil menghirup teh tarik bersama roti canai Kak Gayah. Waktu di pejabat, bagi mereka waktu beraksi dan bertindak. Waktu sembang begini, mereka jadikan medan menilai dan mencerna buah fikiran berdasarkan apa yang telah mereka alami.
“Benar Asrul, tapi, mengalah bukan bererti kita kalah. Masih banyak ruang untuk menang. Kemenangan pun bukan hanya mampu kita perolehi melalui jalan amarah atau simpang yang gelap. Masih ada dimensi lain untuk kita mendapatnya. Engkau pun melihat bagaimana hasilnya tadi bukan?”
Peristiwa mesyuarat bagi membincangkan pensturkturan baru organisasi mereka menjadi kecoh setelah cadangan Asrul untuk mewujudkan satu lagi fungsi di bawah unitnya mendapat bantahan Ketua Jabatannya. Pada pendapat Asrul, bantahan yang dilakukan oleh Encik Marjan seperti menentang arus. Pengecilan fungsi bermakna menyukarnya hasratnya untuk mempertingkatkan imej organisasinya.
“Tidak ada keperluan yang mendesak kalau sekadar mewujudkan fungsi untuk menguruskan perhubungan. Fungsi itu telah dijalankan oleh pentadbiran”.
Encik Marjan mengemukakan alasan mengapa dia tidak menerima cadangan itu. Wajah Asrul masih mencuka. Kerut di dahinya bertindih-tindih sesuai dengan bentuk badannya yang sedikit gempal. Bebola matanya sedikit membesar dengan keluh nafas yang masih terbakar. Aiman faham, Asrul mempunyai daya fikir yang baik dalam keadaan yang normal tetapi Aiman juga tahu, Asrul boleh hilang pertimbangan apabila terlalu mengikut perasaannya.
“Benar, tetapi urusan perhubungan yang dilakukan oleh pentadbiran adalah pengurusan hubungan operasi semata-mata. Bukan pengurusan perhubungan yang melibatkan soal kepentingan bersama, yang akan memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak. Dalam konteks ini, dalam situasi menang-menang. Berapa kali saya harus menjelaskan kepada Encik Marjan, bahawa usaha ini untuk kepentingan organisasi kita” tegas Asrul dengan suara meninggi.
“Begini Encik Marjan. Usaha yang hendak kita lakukan ini adalah untuk memantapkan hubungan dua hala yang sedia terjalin. Hubungan itu bukan sahaja melibatkan pelanggan luaran kita tetapi juga pelanggan dalaman kita. Sekurang-kurangnya, melalui kewujudan sub-unit ini akan memberi perkhidmatan yang lebih baik dan efisyen”
Aiman cuba menjelaskan hasrat sebenar Asrul kepada Encik Marjan. Aiman tahu, Asrul tidak mampu untuk mengemukan hujah lagi setelah berkali-kali disangkal oleh Encik Marjan. Aiman tahu, Asrul dalam keadaan tercabar dengan emosinya. Aiman tidak mahu, mesyuarat yang diadakan bagi menyelesaikan masalah, akan menjadi medan menimbulkan masalah pula.
Aiman tahu, potensi Asrul banyak tersekat oleh kerenah birokasi pengurusan. Terutamanya daripada Encik Marjan. Kelebihan yang ada pada Asrul sering disalh ertikan oleh pihak atasan, khususnya Encik Marjan. Walaupun Asrul seorang yang sering marah-marah tetapi, Asrul kaya dengan idea dan pendapat. Barangkali hal ini yang menyebabkan Asrul seakan disekat kemajuannya dalam organisasinya.
Apatah lagi, selama ini Datuk Syukri, Pengarah Urusan, sering mendapat pandangan Asrul tentang strategi dan pendekatan bagi mempertingkatkan wibawa organisasi mereka. Aiman cukup faham mengapa Asrul menjadi mangsa keadaan seperti yang berlaku dalam mesyuarat petang tadi. Aiman memahami situasinya kerana Aiman jenis yang tidak kisah sangat dengan suasana pengurusan di pejabatnya. Aiman sudah maklum. Aiman cukup mengerti.
“Aku memang tidak puas hati dengan Encik Marjan pada mesyuarat tadi. Memanglah keperluan wujud setelah ada permintaan, tetapi hal yang semudah itu tidak memerlukan terlalu panjang penghuraian. Kita bukan lagi berpijak dalam ruang kedunguan. Kita perlu menelusur keluar mencari kepintaran yang telah tersedia. Jadi, mengapa perlu kita memikirkan soal yang menghambat? Sedangkan pintu penghalang itu, perlu kita buka dengan kunci yang sudah sedia ada di tangan kita”
Aiman tersenyum sambil memandang keseriusan Asrul. Zaidel dan Eden pun ikut tersengih. Mereka faham, Asrul tidak akan mengaku kalah dengan mudah setiap kali membuat penilaian. Apatah lagi kalau soal yang membabitkan dirinya. Mereka tahu, idea Asrul untuk mewujudkan sub-unit bagi menangani masalah komunikasi antara pekerja dan dengan orang luar itu cukup penting. Tetapi, Encik Marjan merasakan perkara itu sudah ditangani oleh pihak Pentadbiran. Itulah punca menghasilkan perdebatan yang cukup hebat antara mereka ketika bermesyuarat petang tadi.
“Aku setuju, tetapi kunci yang diberikan kepada kita, cuma kunci pada mangganya, bukan pada dindingnya. Mungkin kamu pernah dengar atau membaca tentang falsafah yang mengatakan bahawa dalam kerjaya seperti kita ini, hanya ada dua peraturan. Peraturan pertama, bos sentiasa betul. Peraturan kedua pula, kalau bos silap sila rujuk peraturan pertama”
Zaidel, Eden dan Aiman ketawa. Asrul ikut tersenyum. Namun, rasa tidak puas hatinya masih ada bara panasnya. Baginya, perubahan perlu dilakukan sesuai dengan keadaan. Kepesatan serta kecanggihan yang berlaku dalam evolusi maklumat serta penggunaan tenaga kerja manusia dan alat teknologi perlu diselaraskan dengan bijak. Bukan hanya mengaplikasikannya secara manual tetapi juga mengendalikan melalui kejiwaan dan kemanusiaan.
Masalah ini telah dikenal pasti oleh Asrul. Pekerja dibebankan dengan hal-hal yang menyulitkan mereka. Kehadiran alat-alat canggih sepatutnya memudahkan operasi kerja mereka tetapi lain pula jadinya. Apabila diusul pelan tindakan bagi mengadakan latihan, pihak pengurusan membangkitkan soal kos dan produktiviti. Ini yang membuatkan pekerja hilang kepercayaan terhadap dasar pemodenan yang hendak diserapkan dalam organisasi mereka.
“Aku hairan betullah dengan engkau Aiman, walaupun sudah mempunyai sarjana dalam bidang komunikasi korporat tetapi masih juga hanya sebagai seorang penolong pegawai. Engkau memang tabahlah kerana mampu berdepan dengan manusia yang penuh lakonan hidup tetapi kosong dengan kejiwaan” sindir Asrul sambil menjeling ke arah Aiman.
“Aku tak kisah semua itu Asrul. Bagi aku kehidupan yang kita lalui ini adalah takdir yang telah ditentukan oleh-Nya. Kita wajar berusaha tetapi bukan dengan memusnahkan pegangan dan kepercayaan kita. Aku harap engkau pun begitu. Insya Allah, kalau sudah rezeki, kita akan mengecapinya juga” jelas Aiman.
Aiman tahu Asrul belum benar-benar menyelami budaya organisasi yang menjadi tempatnya mencari rezeki. Walaupun sudah dua tahun lebih berkhidmat, namun Asrul masih samar-samar menilai kedudukannya dalam organisasi mereka. Aiman masih ingat, perkenalan pertamanya dengan Asrul. Waktu itu, mereka sama-sama menghadiri temu duga jawatan pegawai, Asrul sebagai orang luar dan Aiman sebagai orang dalam yang memohon secara kenaikan pangkat. Tetapi rezeki memihak kepada Asrul.
Namun Aiman tidak kisah. Walaupun ada suara-suara menyatakan bahawa ada insan yang punya kedudukan dalam pengurusan sengaja tidak mahu Aiman naik pangkat atas alasan Aiman dilihat berpotensi naik lebih cepat daripada mereka nanti. Justeru, keputusan memilih Asrul. Tetapi akhirnya, prestasi Asrul dilihat lebih menyerlah dan berpotensi pergi lebih jauh berbanding mereka yang takut dengan bayang-bayang sendiri mereka.
“Asrul, engkau masih ingat sewaktu kita mula-mula kenal dahulu. Masa itu, engkau cukup positif. Bagi engkau apa-apa keputusan akan engkau terima sekali pun tidak memihak kepada kamu” tambah Aiman.
“Itulah masalahnya Aiman. Keputusan aku buat berdasarkan prestasi semasa, bukan hanya dibuat berdasarkan pengiraan material. Keputusan perlu juga dibuat atas pertimbangan yang lebih luas atau yang lebih memihak kepada nilai manusia itu sendiri. Kau pun tahu, untuk jadi besar, kita perlu berfikiran besar dan kalau kita berfikiran kecil, maka selama-lamanya kita menjadi kecil”
Asrul masih tega mempertahankan pendapatnya. Zaidel dan Eden hanya senyum sinis. Mereka sudah masak benar perangai Asrul. Selagi masih berputar otak menentangnya, selagi itulah pendapatnya dilontar dengan hujah yang memanjang. Namun, Aiman tidak menentang pendapat Asrul, cuma Aiman mahu Asrul bijak mentafsir, bukan membebel. Aiman tahu, seandainya membuat keputusan dalam keadaan marah dan resah, pasti keputusan yang dibuat akan menimbulkan persoalan lain.
“Tapi, kita harus juga faham Asrul, kalau ada jalan mudah mengapa perlu mencari jalan susah. Kita tidak harus menjadikan hal-hal kecil sebagai tidak penting dan hal-hal besar itu semestinya penting. Tidak begitu Asrul. Apa yang lebih penting, kita dapat membuat keputusan yang bijak demi kepentingan bersama”
Asrul memandang wajah Aiman dengan seribu dugaan. Antara menyetujui pendapat Aiman dan juga membahasnya dengan pendapat lain. Tapi Asrul terperangkap dalam lingkaran hujah Aiman. Hujah yang bukan dibaurkan dengan ruapan emosi. Tetapi hujah yang disaluti dengan pertimbangan dan perkiraan sebagai seorang yang cukup memahami situasi. Kelebihan itu, menyebabkan Asrul amat menghormati Aiman.
Kejadian di dalam mesyuarat tadi sedikit sebanyak telah memberi nilai wibawa kepada Aiman apabila mampu memberi hujah dengan penuh yakin tentang cadangan Asrul. Walaupun cadangan asal hasil ilham Asrul, namun cadangannya yang baik itu tidak dapat diterima bulat-bulat oleh Encik Marjan. Terpaksalah Aiman memberi penerangan dengan lebih rinci tentang hasrat dan hala tuju yang hendak Asrul kemukakan.
“Itu aku tahu Aiman. Aku pun tidak akan naik angin kalau dia menolak setelah membuat pertimbangan yang wajar. Bukan main lantak ikut penilaian peribadi saja” degus Asrul.
“Aku faham, tetapi engkau juga kena faham, mungkin dia tidak dapat memahaminya kerana dia tidak di tempat kita. Jadi, dalam hal-hal seperti ini, kita kena berfikiran seperti mereka. Barulah kita dapat mengawal situasi. Engkau kena mengerti Asrul, kehidupan ini kita yang menentukannya. Kita yang membinanya. Jadi, kita harus bijak menjadikan diri kita sesuai dengan persekitaran” tegas Aiman.
Asrul membuahkan senyum di bibirnya. Zaidel tersengih dalam takungan asyiknya mendengar debat dua kawannya. Eden tersipu oleh kesetiaannya menilai dalam diam hujah kawan-kawannya. Aiman memandang satu persatu wajah kawan-kawannya. Ketawa mereka tiba-tiba berderai mengisi senja yang mula berangkat menjenguk malam. Mereka teruja dengan peristiwa yang mengajar mereka tentang manusia, kuasa dan emosi.
“Betullah apa yang iklan itu buat Aiman. Memang engkau tidak kisah. Aiman tak kisah” degus Asrul sambil menayang aksi mengelikan hati. Mereka ketawa dengan seribu jawapan yang tercetus oleh satu persoalan kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan