Rabu, 30 Disember 2009

TAHUN BARU

Kini hampir tahun baru. Dekat amat. Dan yang pasti tidak ada sesiapa yang dapat melengahkannya kecuali dengan takdir yang maha Kuasa. Namun tidak ada sesiapa pernah lupa bahawa ketibaan tahun baru bermakna anjakan waktu semakin ke depan. Ada yang merayakannya sebagai satu keseronokkan. Entah dari segi apa?
Tetapi bagi yang memahami, tugas semakin berat setiap kali tahun berganti. Paling jelas, kita semakin hampir ke suatu waktu yang cukup abadi dan pasti. Dan waktu itu, semuanya akan saling membuktikan tentang penggunaan usia kita dalam kehidupan ini. Dan waktu itu juga, pilihan telah kita buat seawal kehidupan kita, sehingga titik itu, kita tidak punya pilihan lagi, selain hanya menerima "ganjaran" yang setimpal dengan apa yang telah kita lakukan.

APA SUDAH JADI?

Apabila membaca sebuah akhbar tentang perancangan anak kandung kembar untuk membunuh ayahnya, saya menjadi cukup kelu dan terlalu payah mentafsir, mengapa sehingga sedemikian hinanya pengertian tentang anak dan ayah. Apatah lagi ayah itu ayah kandungnya sendiri. Terlalu sukar untuk dimengertikan.
Mengapa hal-hal sebegini berlaku walhal dicanang masa kini orang semakin moden dan kononnya makin bijak. Tetapi apa yang berlaku dan sedang berlaku bertentangan dengan makna bijak itu. Bayangkan pembunuhan demi pembunuhan sama ada bapa bunuh anak, orang jual anak, anak bunuh ibu, anak saudara merompak ibu saudara dan banyak lagi kes-kes yang semakin memualkan.
Barangkali, jelaslah bahawa akhir zaman dinampakkan pelbagai kehinaan manusia apabila mereka melupakan siapa yang lebih berkuasa dalam dunia yang fana ini. Maka berterusan kehinaan ini, apabila yang bertanggungjawab semakin mengabaikan amanahnya. Nauzubillah...

Isnin, 28 Disember 2009

PERAYAAN ATAU PESTAAN?

Sesekali di KL ini, teringin juga untuk melihat suasana perayaan disambut. Yang pasti memilih lokasi yang paling sesuai bukannya mudah. Hampir semua tempat yang dirasai wajar cukup sesak dan menyeksakan. Pelbagai rupa dan gaya terpapar di depan mata. Paling mengejutkan "orang melayu" sendiri melebihi hadnya sebagai pengisi suasana.
Mungkin dasar kekitaan yang sekian lama terbina dalam diri, maka nilai kesamaan menjadi jalinan yang sedemikian rupa. Tetapi yang pelik dan menyedihkan, "orang melayu" hilang pendirian diri dan konsep kejiwaannya sebagai seorang yang jelas menganuti agama Islam.
Maka, terpesonalah insan-insan ini merayakan satu pesta yang tidak jelas maknanya dalam diri mereka. Sudah tentu, suasana ini akan kian rancak dari tahun ke tahun. Entah, apakah ada Melayunya lagi pada 2020 nanti?

Ahad, 27 Disember 2009

2010

Seperti biasa, 2009 akan meninggalkan kita dan 2010 akan menjelma. Pelbagai azam dan hasrat impi bergetar dalam diri. Ada yang menjadikan 2010 sebagai permulaan, dan ada juga yang bercita-cita merealisasikan harapan selama ini yang terpendam. Begitulah dari tahun ke tahun, tertanam cita dan impian. Namun setiap yang tertinggal tidak pernah dimengertikan. Sejauh manakah tercatat perjalanan itu dengan seribu pengertian yang benar.
Sesekali menjenguk ke hadapan, kita sememangnya akan melupai apa yang telah kita lalui. Bukan kerana kita tidak menyukainya tetapi kerana kita sering terpengaruh oleh suasana, apatah lagi andainya suasana baharu itu lebih menyenangkan dan mengasyikkan.
Dan, kita seperti biasa, dari tahun ke tahun menghitung usia tanpa mengerti bahawa kita semakin dekat untuk menemui-Nya. Mungkin 2010, wajar kita niatkan sebagai langkah membuat persediaan yang rapi ketika menjejak waktu yang pasti datang tanpa kita sedari.

Isnin, 21 Disember 2009

1431

Nikmat ini seringkali disandari dengan kealpaan yang tidak terduga. Entah bila, kita sedar bahawa dunia ini satu permainan yang terlalu sukar untuk ditafsirkan dengan segala akal kita andai kita masih memilih untuk mengutamakan dunia. Detik waktu sentiasa menjalar dan melangkah tanpa peduli tentang kita. Walhal, kita sentiasa ketawa tanpa mengerti apakah makna keriangan kita itu.
Sesudah waktu berlalu, kita menjadi semakin melihat diri tanpa memahami pengertian tentang nilai usia dan harga sebuah kematian. Kerana kita merasakan bahawa semuanya seperti biasa, tanpa ada apa-apa perubahan. Walhal, kita semakin digamit kedatangan ajal yang sentiasa setia menanti waktunya.
Sesungguhnya, 1431 memberi peringatan kepada kita, bersedialah dengan segalanya...

Rabu, 16 Disember 2009

APABILA CANANG BERBUNYI...

Apabila usul meluluskan belanjawan 2010 menjadi isu yang cukup merimaskan, amat jelas kepekaan dan rasa prihatin golongan yang sewajarnya faham dan mengerti tentang tanggungjawab serta amanah semakin menipis untuk membina harga dirinya. Kemelut buta yang sengaja mengundang banyak pentafsiran itu, membuka segala kecenderungan yang sememangnya telah alam ditradisikan dalam amalan kefahamannya.
Bukan mereka tidak tahu atau tidak ambil tahu tetapi rutin dalam diri yang sentiasa memandang mudah terhadap sesuatu hal memeta dengan cepat tetapi dalam hal menentukan yang benar mereka menjadi kelam dalam pengertian apa itu perjuangan dan pengurusan.
Mungkin, kita ini hanya hebat mencanang tetapi kurang bijak menjadikan irama itu sebagai alunan budaya jati diri kita. Mungkin kita semakin lupa asal usul pegangan kita dan mungkin kita sentiasa menaruh harapan dan meninggalkan kekuatan yang kita punya. Dan akhirnya, kita jadi pelupa segala-galanya...

Ahad, 13 Disember 2009

MEMAHAMI DAN MENGERTI

Disember menjadi bulan terakhir setiap tahun. Tahun ini, Disember juga bersama kehadiran tahun baru dalam kalendar Islam. Tetapi "ghairahnya" berlainan. Hotel2 telah penuh ditempah. Pusat2 hiburan telah siap menyediakan perancangan dan rencana sambutan tahun baru. Bahkan, telah berduyun-duyun sesi2 publisitinya.
Tetapi, sambutan Maal Hijrah seakan samar2 dalam perencanaan. Masih tercari-cari apa yang hendak dilakukan. Yang keterlaluan nanti akan dikatakan mencari populariti. Akhirnya, terencana yang hanya memenuhi ungkapan "melepas batuk di tangga"
Bukan sukar untuk memahami tetapi terlalu sukar untuk dimengerti. Antara yang wajar dan kurang pasti, kini telah tercampur menjadi satu ramuan harga diri. Orang tidak melihat kepada yang relevan tetapi lebih memenuhi tuntutan nafsu dan keseronokkan yang tidak pernah ada batasnya.
Benar, memahami dan mengerti itu, sering menjadi persoalan diri yang tiada hentinya lagi...

Selasa, 8 Disember 2009

MUSIM CUTI

Seperti biasa, bulan Disember menjadi bulan yang cukup meriah dengan gagasan cuti-cuti. Namun bukan semua punya kesempatan sedemikian. Kalau ada pun, seakan dalam keterpaksaan bagi memenuhi tuntutan keluarga. Tentu sahaja insan yang sedemikian dalam kerugian kerana tidak memahami nikmatnya untuk berada dalam lingkaran suasana yang berlainan bersama-sama keluarga.
Mungkin, ruang dan peluang cuti-cuti ini menjadi satu memori yang akan kembali menjelma apabila 10 ke 20 tahun akan datang, yang akan juga memungkinkan kita ketawa sendiri atau anak-anak kita akan mengalir airmata. Barangkali selama ini, kita menjadi sibuk kerana kita memahami tuntutan kerja kita namun dalam waktu yang sama kita terlalu takut untuk mengerti mencipta kebahagiaan yang seharusnya kita nikmati dalam erti kata sebenarnya.

Isnin, 7 Disember 2009

BERCUTI

Hampir seminggu bercuti dan selama itulah blog ini tidak dikunjungi. Apatah lagi untuk bercerita tentang apa yang berlaku. Namun, dalam waktu sesingkat itu, terlalu banyak yang boleh diceritakan. cuma relevan atau tidak dengan hal-hal semasa untuk diperkatakan.
Bercuti di Melaka, bersama-sama keluarga, mengundang suasana rasa kekampung, setelah hampir setahun bergelumbang dengan gelora Kuala Lumpur. Benar, keselesaan bukan hanya terletak pada kenyamanan hidup tetapi juga keharmonian rasa yang lahir melalui cita rasa menilai kehidupan. Dan, akhirnya kita wajar memilih kehidupan yang membahagiakan, bukan kehidupan yang menyeronokkan.