Selasa, 31 Mac 2009

SEORANG ANGLOPHILE YANG KEMATIAN BAHASA

Dia seorang wajah Melayu
meniti jalan di tanah Melayu
dengan isi waktu nafasnya di persada Melayu
mencari makna hidup pada alam Melayu
dan kini menjadi pemimpin ulung Melayu

Dia masih sesekali berbaju Melayu
bergaul mesra ala masyarakat Melayu
memintal senyum melirik mirip Melayu
bersalam-salam pun cara Melayu
dan namanya masih jelas nama orang Melayu

Dia kini makin tinggi dijulang Melayu
dengan melakon watak panglima Melayu
menghunus keris lambang kedaulatan Melayu
melaung sumpah ketuanan Melayu
dan dia masih mahu mengaku diri Melayu

Namun, dia hanya seorang ANGLOPHILE
yang lenyap pengertian Melayu
setelah senang menggadai maruah Melayu
dan mempertaruhkan peradaban Melayu
atau kesaktian jati diri Melayu
di negaranya sendiri.

Kini dia hanya seorang Melayu
yang kehilangan satu persatu
dalam makna matinya
bahasa ibunda
dalam leka yang maha Melayu

Ahad, 29 Mac 2009

RENUNGAN

Apabila tiba bulan Ogos, sudah tentu soal kemerdekaan yang paling dominan dikaitkan sebagai isu semasa untuk diperkatakan. Setiap sudut, setiap ceruk dan setiap ruang yang ada, semahunya memperkatakan tentang “kemerdekaan”. Ada yang memapar kembali perit sakit sejarah silam. Ada yang memperlihatkan kehebatan yang telah dikecapi. Tidak kurang yang masih mencari-cari kebenaran di sebalik kemerdekaan ini.
Soal kemerdekaan terlalu subjektif untuk dihuraikan dalam nilai kehidupan ini. Apatah lagi kalau pentafsiran itu mengikut kaca mata yang berbeza dengan kehendak dan keperluan masing-masing. Walaupun demikian, Getus Fikir akan sedaya mungkin mengajak pembaca untuk sama-sama membincangkan aspek kemerdekaan ini melalui beberapa “gelombang” yang telah dilaluinya dan yang akan dilaluinya kelak.
Tidak terkecuali negara kita, Malaysia, yang semakin gah mengetengahkan dirinya dalam lingkaran dunia ini. Apatah lagi dengan pelbagai gagasan serta wawasan yang menginginkan negara kita sebaris dengan negara-negara maju, khususnya pada tahun 2020. Tentu sekali, perancangan dan penambahbaikan dilakukan dari setiap detik ke detik bagi menjadikan hasrat itu satu realiti yang menjamin “Malaysia negara maju”
Namun, sebelum kita masuk ke dalam horizon yang akan menjadikan kita juga maju, maka sewajarnya kita membuat penilaian tentang diri kita dalam pengertian kemerdekaan ini. Apakah, kemerdekaan yang kita sambut saban tahun menjelang Ogos ini benar-benar menjadikan kita sebagaimana yang kita mahu atau sebaliknya. Atau kita masih juga sebagai “pengikut” yang masih setia dengan nilai-nilia kepengikutan itu?
Justeru, untuk minggu ini, kita akan berbincang tentang gelombang pertama dalam pengertian kemerdekaan. Gelombang yang menjadi punca segala nikmat yang kita kecapi pada hari ini. Iaitu gelombang yang merupakan gelora pencetus pertentangan untuk menuntut hak. Hal ini rasanya, semua sudah mengetahui. Cuma kerisauan kita, apakah yang kita ketahui itu, turut juga diketahui oleh generasi muda kini. Kerisauan ini berpijak melalui pengertian “menuntut” kemerdekaan itu.
Sejarah telah membuktikan bahawa sudah terlalu banyak keringat dan darah menjadi tanda bagi memaknakan “tuntutan” itu. Walaupun akhirnya dapat direalisasikan melalui meja perundingan namun, proses ke arah itu telah mencetuskan pelbagai gelora lain. Kesengsaraan, keperitan, ketakutan, kelaparan dan sebagainya, mengisi setiap ruang waktu mereka yang berada dalam gelombang pertama ini. Lantaran itu, lahirlah nama-nama besar yang menjadi lambang “keperwiraan” bagi golongan yang menuntut hak mereka.
Tidak perlu kita sebut satu persatu nama-nama mereka yang telah berkorban dengan penuh jiwa raga bagi mendapatkan hak masing-masing. Itu sudah menjadi tanggungjawab bagi mereka yang memahami tentang nilai maruah dan harga diri. Bahkan banyak lagi mereka yang tetap berjuang dan berdiri di belakang nama-nama perwira kemerdekaan tetapi mereka tidak dikenali dan diketahui. Ini mungkin disebabkan oleh keadaan semasa yang lebih melihat kepada pemimpin pada waktu itu.
Justeru, gelombang pertama dalam pengertian kemerdekaan ini, sememangnya terisi dengan air mata, kematian, darah, keringat, pembunuhan dan sebagainya. Ini bukan bermakna, bahawa itulah jalan terbaik untuk menuju sebuah kebebasan dan mengecapi makna kemerdekaan. Bukan. Tetapi, keadaan dan ketika itu, perasaan dan maruah diri cukup tercabar, apabila menjadi hamba di dalam negara sendiri.
Sedangkan dari segi hakikatnya, kita telah melalui alam yang cukup sempurna dan hebat apabila keagungan Melaka sebagai pusat pentadbiran dan pengurusan orang Melayu yang cukup ulung. Namun, disebabkan kesilapan dan permainan yang terlalu mementingkan “kuasa” maka akhirnya kita diulit dengan “ruang kegelapan” sehingga terjajah!. Maka, bagaimana kita melihat gelombang pertama yang telah mengelorakan nenek moyang kita dengan alun yang menyakitkan. Apakah wajar mereka berdiam diri sahaja tanpa memikirkan jalan yang terbaik untuk mereka lakukan?
Akhirnya, jalan yang dipilih melalui pertentangan terhadap penjajah setelah proses jajahan itu semakin “memamah” tentang nilai, kedaulatan dan budaya orang kita. Bayangkan waktu itu, nenek moyang kita hanya berbekalkan semangat kental menentang penjajahan tanpa memperdulikan diri mereka. Bayangkan juga, bagaimana mereka hanya mempunyai keris dan parang, sedangkan penjajah tersedia dengan senjata api?
Bayangkan juga kelengkapan pakaian perang penjajah dengan nenek moyang kita yang hanya berharap tingkah dan silat. Bayangkan juga kecanggihan penjajah merencana dengan keresahan nenek moyang kita merancang. Semuanya memerlukan kekuatan daya fikir dan cergas tindak yang mendorong dan merangsang mereka berjuang sekalipun kekurangan menjadi penghalang.
Mungkin sukar untuk kita menterjemahkannya dengan keadaan sekarang kerana gelombang pertama itu telah reda tanpa ada sesiapa lagi mengintai dan bermain dengannya. Gelombang itu sudah lama tidak memunculkan geloranya. Sekadar riak-riak dipermukaan, yang kemudian hilang mengikut alun ke pantai keselesaan. Tidak ada lagi yang mahu mengerti tentang hasrat dan niat gelombang pertama itu waktu ini. Bukan kerana tiada angin atau hukum alam menjelmakannya, tetapi kita sudah cukup selesa bermandi-mandian di tasik yang tidak ada gelombang dan geloranya! Wallahualam.

RESENSI KEDUA

SASTERA UNTUK MASYARAKAT


Sewaktu melalui jalan “Lebuh India” yang sekian lama tidak saya kunjungi, saya dioleng oleh riuh rendah suara manusia yang berpusu-pusu mewarnakan kehidupan. Walaupun khalayak yang ada di sekeliling sesak ternyata mereka tidak menghiraukan antara satu sama lain. Kalau berlaku kes ragut, memang sukar untuk meneka kelalaian yang dihidangkan kepada peragutnya. Apatah lagi untuk menangkapnya.
Sudut yang lain sekumpulan remaja yang mungkin di bawah umur (lelaki dan perempuan dengan pakaian ala “punk”) dengan ceria, ketawa dan bergurau di samping mengeluarkan kepulan asap dari mulut masing-masing. Barangkali, pada tanggapan saya, kesibukan dunia hari ini memungkinkan ibu bapa tidak lagi mempedulikan apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Mungkin juga disebabkan desakan globalisasi ini manusia kini tidak perlu lagi ambil tahu hal orang lain. Apa yang penting rona-rona hidup perlu diteruskan dengan kehendak masing-masing.
Saya agak terkejut oleh satu sapaan yang saya rasa sudah diulangi. Agak payah untuk menekuni suara yang memanggil nama saya dalam suasana yang sedemikian. Saya amati, seorang teman yang kebetulan merupakan seorang karyawan yang cukup prolifik di Sarawak suatu ketika dahulu dan sudah agak lama tidak saya ketemui mula menghampiri dan bertanya khabar. Saya menyambut dengan senyum menghantar suasana mesra.
Khabar yang ditanya berganti soal sastera di Sarawak. Akhirnya, kami rancak membicarakannya. Berkait-kait dengan pelbagai andaian dan tanggapan. Sesungguhnya pertemuan yang tidak dirancang itu terdorong untuk diteruskan di sebuah gerai makan yang berhampiran. Katanya ada isu yang wajar dibincangkan dengan lebih telus. Saya hanya mengangguk antara benar-benar mahu mendengarnya atau sekadar memenuhi kehendak teman yang sudah lama menyepikan diri dari sastera Sarawak.
Katanya, ada penulis yang sengaja membangkit kembali isu yang sudah lapuk. Lagi-lagi mempersoalkan tentang arah tuju penulisan yang akhirnya perlu dilakukan kerana peraduan dan mahu kemenangan. Lagi-lagi menekankan bahawa menulis ini akhirnya mendapat pengiktirafan dan anugerah. Justeru, katanya, apakah isu seni untuk seni masih menjadi pegangan penulis masa kini. Apakah seni untuk masyarakat hanya satu slogan yang sudah turut hilang dalam arus kemodenan ini.
Saya tersenyum, tidak menjawab. Bukan kerana tidak mahu memberi pendapat, cuma saya merasakan perkara tersebut tidak begitu penting. Bagi saya, kebanyakan penulis memang lahir daripada peraduan. Melalui kemenangan yang diperoleh maka orang mengenalinya. Secara logiknya, kalau karya tidak baik mana mungkin menang! Kalau setakat menulis begitu-begini sahaja, sukar untuk menempatkan diri. Untuk menghantar karya dengan hasrat untuk diterbitkan, saingan sudah tentu hebat. Justeru, jalan alternatifnya memperkenalkan diri melalui peraduan. Itu pun, kebanyakannya sekadar mencuba nasib.
Pernah seorang teman menasihati saya agar berfikir secara sedar terlebih dahulu dengan menyelami soalan yang ditanya oleh seseorang dengan penuh pengertian agar jawapan yang diberi tidak menampakkan kelompangan atau sengaja melepaskan diri. Soalan atau jawapan yang dihasilkan banyak dipengaruhi latar diri kita melalui pengalaman dan pembelajaran. Tidak adil kalau kita hanya melihat dari sisi kita sahaja. Mungkin dia salah, kita benar dan mungkin juga dia benar kita salah. Atau mungkin juga dia betul kita pun betul atau sebaliknya.
Sudah acap kali diperkatakan tentang kerja menulis ini. Ia bukan kerja yang boleh dilakukan dengan sehari dua untuk mematangkan daya fikir dan rasa dalam penulisan kita. Menulis juga bukan tawaran yang mampu memberi kemewahan yang mencurah-curah. Memang tidak dinafikan bahawa sekarang ini, penulis novel popular dapat hidup senang hasil daripada keupayaan penulisannya. Tetapi mereka melalui ranjau perjalanan yang cukup panjang dan berliku. Asasnya usaha dan kerja keras.
Walaupun demikian, tanggungjawab sebagai seorang yang hendak menulis perlu dilakar dengan niat yang betul. Sastera bukan hanya untuk sastera sahaja. Dengan kata lain, material, nama dan darjat semata-mata. Sastera adalah untuk dimasyarakatkan. Sastera perlu diberi jiwa dan dijiwai. Lantaran itu, karya yang kita hasilkan adalah untuk bacaan orang lain. Apabila dibaca oleh orang lain, kita harus bertanggungjawab atas apa yang kita hasilkan.
Mungkin, sasaran kita berkarya adalah untuk peraduan tetapi isi karyanya harus dan wajib untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Bayangkan sekiranya karya kita menang, sudah tentu akan diterbitkan dan diperkatakan. Pemikiran kita akan diteliti dan dibincangkan. Perkaitan fakta dan persoalan tema akan dibicarakan. Semuanya akan menampakkan isi dalam karya yang kita hasilkan.
Ini persoalan daya cipta yang menjadi asas untuk berkarya. Ilham boleh dicari. Bakat boleh diasah. Minat boleh dibina. Isu boleh diteroka. Teknik boleh dipelajari. Tetapi daya cipta perlu sentiasa dipelihara dengan kenikmatan hidup, kesan kehilangannya oleh kegelisahan dan tekanan realiti. Ini juga menjadi sumber utama bagi daya cipta mencari jalan yang sesuai dan benar untuk disajikan kepada pembaca. Ia tidak pernah terhenti kerana usia, selagi kita menggunakan kebijaksanaan akal sepenuhnya..
Sama seperti air yang mengalir. Sentiasa menurut alirannya sehingga ke laut dan akhirnya dimasinkan oleh lautan dalam. Justeru, daya cipta penulisan kita harus dimatangkan dengan “kemasinan” hidup kita yang akhirnya adalah untuk berbakti kepada tuhan. Ini jelas dalam penekanan “hubungan dengan tuhan dan hubungan manusia dengan manusia”
Barangkali, bagi penulis baru, daya cipta menjadi masalah. Satu penyebabnya, mungkin jarang mendapat tip tentang penulisan. Mungkin juga kerana tidak pernah mengikuti bengkel penulisan atau sememangnya tidak ada kesempatan untuk turut serta. Mungkin ada yang hanya didorong oleh minat tetapi kurang menyengat dari segi bakat. Harus diingat minta dan bakat harus digabungkan. Pernah suatu ketika dibincangkan tentang minat dan bakat.
Kalau ada minat kurang bakat, jawabnya perlu banyak membaca dan meneliti karya orang lain. Kalau ada bakat kurang minat, jawabnya perlu menyedari tanggungjawabnya sebagai seorang manusia di muka bumi ini. Harus juga kita sedar bahawa setiap yang kita lakukan bukanlah semudah yang kita jangkakan. Pelbagai cabaran dan dugaan harus didepani dengan akal budi, agar dapat memberi mematangkan diri kita dalam kehidupan.
Menurut Shahnon Ahmad, jangan menulis sesuatu yang tidak mesra dengan diri kita. Jangan menulis sesuatu yang jauh daripada diri kita. Jangan cuba menulis sesuatu yang besar lagi agung tetapi tidak terjangkau oleh akal budi dan hati nurani diri kita. Namun jangan pula membuntukan diri setakat langkah itu sahaja. Cuba menjangkau lebih jauh daripada pengalaman yang bermakna untuk menambah kemanisan hidup. Tajamkan daya sensitiviti selalu dan tanamkan minat membaca.
Datuk A. Samad Said pernah menyatakan bahawa membaca bermakna mengunyah isi buku yang kita baca. Selalunya kita tidak membaca secara demikian. Tegasnya, kita membaca hanya membaca, tanpa berada di dalam buku yang kita baca. Kita membaca hanya di luarnya bukan membaca dalam dirinya, yang mungkin menjadikan khayalan cepat tersemai, terbaja dan kemudiannya bermusim untuk dituai. Tentu sekali pembacaan haruslah sesuatu yang indah pada pandangan diri di samping benar-benar relevan dengan kecenderungan atau selera dalam kehidupan kita.
Lumrahnya manusia sentiasa dalam proses pencarian, tercari-cari akan sesuatu yang menjadi keperluannya. Sehingga pencarian mengabaikan banyak perkara lain. Tetapi tidak semua mahu atau sengaja tidak menyedari bahawa apa sahaja yang dilakukan demi kebaikan kepada orang lain akan mendatangkan kebaikan juga untuknya. Mungkin ini yang ditekankan oleh Zaini Oje bahawa falsafah barat yang mengatakan bahawa kita tidak perlu work hard tetapi work smart kurang sesuai dengan pengertian ketimuran dan tradisi kita.
Kita wajar bekerja keras dan pada waktu yang sama bekerja secara bijak. Kita jangan memanipulasi keadaan kerana kebijaksanaan kita demi kepentingan diri. Bukan bermakna dunia kini serba pantas dalam memacu nilai kehidupan, kita mengabaikan tanggungjawab serta tatasusila kita terhadap diri, keluarga, organisasi, masyarakat dan bangsa kita. Kita punya pilihan lain yang lebih baik, justeru manfaatkan sepenuhnya.
Untuk tidak menghampakan teman saya tadi, saya sarankan kepadanya bahawa isu-isu yang begini harus dilihat dari sisi yang positif dan usah dibesar-besarkan. Tidak salah berterusan menulis hanya kerana tuntutan peraduan. Teruskan. Menang atau tidak, jadikan perkara nombor dua. Hasilkan karya sebaik mungkin. Jangan takut bertanya dengan orang lain tentang upaya karya kita.
Jadikan kekalahan adalah langkah menuju kemenangan. Buangkan istilah putus asa dalam daya usaha kita. Insya Allah, kiranya tiada ganjaran di dunia, di akhirat kita akan menerimanya, dengan syarat niat kita harus benar dan betul. Teman saya mendiamkan diri sambil menenungkan saya dengan senyum sinis yang menduga. Kemudian kami kembali bercerita tentang kisah-kisah masa lalu yang telah mematangkan makna hidup ini.

SATU RESENSI

SASTERA SARAWAK PERLU PERUBAHAN ?


Perkembangan sastera masa kini amat dipengaruhi oleh keadaan dunia yang berorentasikan teknologi maklumat. Sastera perlu meletakkan dirinya dalam kelompok arus komunikasi yang didominasikan oleh teknologi maklumat. Sekiranya sastera masih selesa bertunjangkan pada akar dirinya maka sastera akan mengalami satu proses peralihan yang amat perlahan dan mungkin tidak lagi dipedulikan serta tertinggal mencari arah tujunya.
Aspek ini bukan sahaja perlu dilihat dari segi kegiatan sastera semata-mata tetapi juga dari segi penghasilan karya sastera. Dalam konteks negeri Sarawak, kegiatan sastera begitu terserlah akhir-akhir ini dengan kejayaan bengkel penulisan yang diadakan mampu melahirkan penulis muda yang cukup berbakat dalam pelbagai genre serta pelbagai kegiatan yang telah dijalankan secara menyeluruh dan terancang. Bahkan tahun 2002 juga menjadi sejarah yang cukup bermakna buat negeri Sarawak apabila penulis Sarawak memenangi Hadiah Sastera Perdana.
Namun demikian, sastera Sarawak memerlukan pembinaan serta perancangan yang berterusan agar mampu mengiringi tuntutan semasa. Kejayaan yang telah diperolehi hendaklah dijadikan satu cabaran yang akan mengundang lebih daya fikir setiap warga sastera di Sarawak untuk lebih berani ke depan dengan idea-idea baru. Ini bermaksud setiap karyawan sama ada yang sedia mapan atau karyawan muda perlu bersatu dan saling bantu membantu menyusun atur satu usaha bersama memperkembangkan sastera di Sarawak.
Justeru, sastera Sarawak perlu melakukan perubahan, selaras dengan perkembangan semasa. Perubahan ini juga perlu mengiringi hasrat kerajaan yang menginginkan sebuah negara yang masyarakatnya maju dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, politik, sosial, pendidikan, budaya dan seterusnya sains dan teknologi. Untuk mencapai aspirasi muluk ini, salah satu pra-syaratnya ialah perlu mewujudkan budaya fikir di kalangan masyarakat.
Dalam sejarah tamadun bangsa-bangsa yang pernah mencapai zaman kegemilangan mereka, jelas terbukti mereka mengamalkan penghayatan budaya fikir yang tinggi. Contohnya tamadun Yunani yang unggul kerana ketinggian daya intelek dan ketulenan pemikiran mereka yang mengkagumkan. Nama-nama besar seperti Aristotle, Socrates, Pluto dan Pythagoras tetap harum sehingga ke hari ini.
Begitu juga dengan tamadun Islam yang menghasilkan gagasan-gagagsan ilmu yang asli dalam pelbagai bidang daripada agama, politik, sosial, undang-undang, perubatan dan sains. Para pemikir besar islam seperti Al-Ghazali, Al-Kindi, Al-Farabi dan beberapa lagi nama besar telah memberi sinar yang amat berguna kepada dunia hari ini.
Mungkin agak keterlaluan sekiranya mengharapkan di Sarawak akan lahir pemikir besar khususnya dalam sastera seperti Dato A. Samad Said, tetapi tidak juga mustahil ia boleh berlaku. Di Sarawak nama-nama seperti Dr. Adi Badiozaman, Awangku Merali, Jong Chan Lai, Saie Dris, Jais Sahok, Jeniri Amir, Awang Azman Awang Pawi, Hazami Jahari, Abang Patdeli Abang Muhi ( sekadar menyebut beberapa nama ) bukan lagi asing dalam dunia kepenulisan sama ada di peringkat negeri mahu pun kebangsaan.
Mereka mempunyai bukan sahaja kehebatan berkarya, berhujah dan menyuarakan pendapat tetapi juga berpotensi memikirkan rentak yang paling sesuai untuk menarikan sastera Sarawak dalam arus kepesatan sains dan teknologi ini. Hakikatnya, penulis baru/muda akan mencontohi penulis yang sedia mapan. Sekiranya penulis sedia mapan masih bertakuk di lingkaran yang biasa maka penulis baru/muda juga akan terkepung dalam lingkaran yang sama.
Ini penting bagi menyediakan golongan karyawan pelapis dengan irama yang sesuai agar tarian mereka tidak akan canggung sewaktu melahirkan karya yang tahapnya memenuhi kehendak semasa, kerana sastera Sarawak juga menjanjikan satu persaingan yang cukup hebat dengan kemunculan penulis pertengahan dan baru yang mempunyai daya kepenulisan yang amat berpotensi menerobosi kehebatan penulis mapan yang sedia ada.
Nama-nama seperti Abizai Abi, Jaya Ramba, Dahiri Saini, Rosani Hiplee, Abdul Malek Bedu, Khatem Ariffin, Buang Haji Omar, Radzemah Bolhassan, Sriwati Labot ( sekaadar menyebut beberapa nama ) begitu terserlah dan mula meletakkan diri serta mengisi ruangan sastera kebangsaan. Karya-karya mereka menampakkan kematangan, menyerlah kewibawaan dan telah membina kejatian diri mereka dalam penulisan
Tidak dinafikan kewujudan “Wadah Bahasa dan Sastera” serta “Yang Indah Itu Bahasa” dan juga ‘Jendela Sarawak” telah membuka horizon sastera Sarawak dengan lebih luas, lebih menyeluruh dan lebih tersebar bagi masyarakat mengenali sastera Sarawak. Di samping menjadi taruhan bagi penulis Sarawak memgembang bakat dan mengetengahkan diri dalam dunia penulisan sastera di Sarawak.

Perubahan yang dituntut dalam konteks sastera Sarawak perlu dilakukan kerana proses perubahan adalah sesuatu yang tidak boleh dielak. Ini bukan sahaja melibatkan proses pengubahsuaian tetapi juga proses pembinaan yang berterusan terhadap nilai sastera itu sendiri. Perubahan juga perlu dilakukan bagi mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan karyawan agar persaingan itu nanti mampu melahirkan karya yang besar sifatnya.
Perlu diingatkan bahawa perubahan ini bukan sahaja perlu dilakukan oleh individu penulis semata-mata tetapi juga oleh kumpulan dan khalayak sastera. Sesebuah kumpulan yang dibentuk khususnya dalam kelompok penggiat sastera perlu menyemai rasa tanggungjawab membantu sesama mereka bagi mempertingkatkan paradigma pemikiran secara lebih telus dan terbuka. Khalayak sastera juga perlu bijak memilih bahan yang sesuai, bermanfaat dan berguna unuk dibaca, dirujuk dan dihayati.
Perubahan bukanlah seseuatu yang semula jadi. Ia perlu dihadapi. Ia tidak berlaku dengan sendiri. Ia harus diterima dan dijadikan sebagai satu keperluan. Perubahan tidak dapat ditentang. Menyedari hakikat ini, perubahan terhadap sastera Sarawak perlu ditangani oleh setiap karyawan sekiranya mahu melihat sastera Sarawak berkembang dengan baik.
Tidak dinafikan sesuatu perubahan akan mengundang pelbagai tafsiran dan andaian. Perubahan adalah relatif. Terpulang kepada setiap individu karyawan, peminat dan kumpulan sastera menentukan corak sasteranya, asalkan tidak terkeluar daripada norma-norma kesusasteraan yang menjadi santapan sahsiah dan minda masyarakat. Ini bermakna setiap karyawan perlu menjadi sesuatu perubahan itu sebagai asas membina nilai dirinya dalam penulisannya.

Seseorang karyawan perlu melakukan perubahan kognitif bagi membina daya fikir yang lebih teransang untuk menerima pelbagai maklumat yang kemudiannya disaring untuk dijadikan ilham dan seterusnya bahan karya bagi tatapan khalayak sastera. Kemudian seseorang karyawan perlu juga melakukan perubahan afektif dengan membina rangkaian kerjasama dengan karyawan lain bagi berbincang, beertukar-tukar pendapat dan berkongsi idea sama ada dalam konteks penghasilan karya atau pun menjalankan kegiatan sastera.
Yang paling penting seseorang karyawan perlu melakukan perubahan konatif dengan mengambil kira ilham yang dicerna dan karya yang dihasilkan adalah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang manusia untuk manusia bagi menyatakan sesuatu yang baik tetap baik dan sesuatu yang tidak baik perlu diperbetulkan. Penekanan ini juga perlu disalurkan dalam hubungan sesama karyawan agar mencapai kata sepakat yang pasti mengeratkan ikatan kepenulisan sesama mereka.
Sebagai seorang karyawan yang merupakan seorang pemikir, perlu percaya bahawa perubahan yang dilakukan adalah selaras dengan perkembangan semasa, yakin bahawa perubahan sebagai satu proses revolusi diri untuk lebih ke depan dari segi pemikiran serta mahir untuk bertindak atau mengambil langkah--langkah untuk berubah agar karya yang dilahirkan sesuai dengan kehendak masyarakat masa kini.
Kemahiran dan keyakinan untuk melakukan perubahan terhadap karya atau menjalankan sesuatu kegiatan sastera boleh dipelajari dari semasa ke semasa dengan menilai setiap yang dihasilkan, bahkan mampu dikongsikan bersama orang lain bagi menetukan kaedah dan pendekatan ang paling sesuai.
Sebagai contoh hasil karya yang dihasilkan perlu menitik beratkan isu semasa yang dianggap remeh, tetapi diwarni dengan nilai estetika yang tinggi, pasti akan menarik minat pembaca termasuk menggunakan istilah atau diksi yang segar (baru) Apa pun, yang diharap daripada setiap perubahan yang dilakukan mampu membawa perubahan persekitaran sastera itu sendiri khususnya sastera di Sarawak .
Mungkin masyarakat tidak lagi memperlecehkan sastera sekiranya perubahan yang dilakukan menampakkan tautan yang cukup erat dengan keciciran sosial masa kini. Di samping itu perubahan yang dilakukan terhadap sastera akan memberi nafas baru kepada sastera dengan bertambahnya khalayak sastera daripada mereka yang menguasai pelbagai bidang kemahiran lain.
Mungkin juga tanggapan awal ini mampu menjadi asas untuk dihayati dan direnungkan bersama demi mempertingkatkan kesusasteraan Sarawak dan dalam kesempatan lain, amat dituntut agar ada di kalangan mereka yang lebih berpengaruhi dalam sastera Sarawak untuk tampil bersama melihat dan mengutarakan idea bagi menangani perubahan sastera Sarawak dengan lebih terperinci dan kajian yang rapi perlu dijalankan.