Khamis, 18 Mac 2010

REZEKI DARIPADA YANG MAHA ESA

Kadang2 kita tidak menjangka apa yang wajar dan tidak kita terima. Kerana semuanya ada hikmah yang terlalu sukar untuk kita mengerti. KEcuali kita hanya berserah dengan penuh yakin bahawa ketentuannya adalah yang terbaik buat diri kita.
Sesungguhnya, rezeki daripada yang maha ESA, hanya DIA yang mengetahuinya...

Isnin, 8 Mac 2010

KEMATIAN

"(Dialah) yang menjadikan mati dan hidup, agar Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". (Al-Mulk: 2).
Cubalah berbicara tentang meninggal dunia, mengingati orang-orang sekeliling kita yang telah pergi mengadap Allah, jasad yang kaku, hilang segala-galanya hubungan dengan kehidupan.Fikirkan pula tentang kubur, ruangan yang kecil, perlahan-lahan jasad diturunkan ke dalam lubang lalu ditimbus.Gelap gelita, sempit sehingga sesak nafas, apa masih bernafaskah ?
Ruangan yang gelap dan kehidupan yang tidak pasti apa akan berlaku seterusnya di hadapan. Kehidupan lalu di dunia semuanya terputus dan hilang tanpa ada upaya kembali walau sesaat untuk menguruskan apa yang belum sempat.Tiada masa dan tidak akan ada peluang untuk membetulkan kembali kesalahan lalu, apakah masih berpeluang merangkak keluar dari kubur dengan jasad yang sudah tiada nyawa, tiada darah mengalir, badan yang sejuk kaku dan lama-lama membusuk ?
Masih berpeluangkah merangkak keluar dan kembali ke dunia dan kembali ke sisi keluarga untuk mengucup pipi ibu dan ayah bagi melepas rindu ? atau memeluk isteri barang sekali dua melepas rasa dendam kasih atau mencium anak-anak dan mengusap wajah dan kepala mereka sekejap cuma ?Punyai waktu lagikah untuk menguruskan beberapa kerja yang tertangguh yang belum sempat disiapkan disebabkan datangnya malaikat mencabut nyawa dengan begitu cepat tanpa sempat membuat persediaan dan tanpa pemberitahuan ?
"Tiap-tiap umat memiliki ajal (batas waktu); maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat pula mempercepatkannya". (al-A’raaf: 34).
Kematian datang secara tiba-tiba dan tiada sesiapa dari kalangan manusia yang tidak terkejut dengan mati kecuali orang yang benar-benar beriman dan berjuang di jalan Allah yang mengharapkan kematian kerana Allah swt.Kematian boleh berlaku dengan kemalangan, kecederaan atau sakit atau kadang-kadang tergempar dan tiba-tiba begitu sahaja. Maka hendaklah difahami bahawa tujuan hidup ini ialah beribadah dan melaksanakan satu misi khusus iaitu menjadi hamba dan beribadah kepada Allah swt sehingga mendapat redha-Nya dan memenuhi tanggungjawab kepada-Nya.
"Apakah manusia mengira, bahwa dia akan dibiarkan sia-sia?" (al-Qiyamah: 36)

Berkata Imam Syafi’i (ketika menafsirkan ayat ini): “Makna sia-sia adalah tanpa ada perintah, tanpa ada larangan.” (Tafsirul Quranul Karim, Ibnu Katsir, jilid 4, cet. Maktabah Darus Salam, 1413 H hal. 478) .
Ayat ini sudah dijawab oleh Allah swt dengan ayat yang lain apabila Allah menyebut : "Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada-Ku." (adz-Dzariyat: 56).
Penciptaan manusia ini sememangnya untuk beribadah dan menjalankan kewajipan kepada Allah swt tanpa mempedulikan apa pandangan manusia dan penghinaan yang diterima.Seseorang yang akan mati maka tetap akan mati tetapi hendaklah berusaha mencapai kematian yang baik. Bagaimanakah kematian yang baik ? Apakah mati di atas tilam dalam pelukan isteri ? Mati di Mekah di dalam Ka'bah atau mati di dalam Masjid ? atau Mati di dalam loji najis atau mati di dalam Kereta kerana kemalangan atau di atas katil kerana sakit atau di atas jalan kerana ditembak oleh musuh Allah ??Kematian yang baik ialah apa yang disebutkan oleh Allah swt di dalam kitab-Nya :
"Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kalian kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kalian mati melainkan kalian mati dalam keadaan Islam". (Ali Imran: 102).
Selama kematian itu dalam Islam dan kerana Islam maka tidakah mengapa keadaan mati itu kerana bukan cara mati itu baik digantung, ditembak, dibunuh, kemalangan itu yang menjadi perkiraan sebaliknya keadaan diri dan iman dan agama kita sewaktu mati itu yang menjadi nilaian Allah swt.

Oleh : Ustaz Emran

Selasa, 2 Mac 2010

TAKUT MENERIMA KEKALAHAN

Apabila sukar menerima kekalahan, pasti telunjuk akan menuding ke arah orang lain sebagai punca kekalahan. Apatah lagi andai kata dalam diri telah tersemat keegoan yang tidak berbatas. Memang sukar menerima sesuatu yang bertentangan dengan kehendak diri, tetapi apakah prinsip keredaan itu wajar dipinggirkan setelah ia berlaku dengan sedemikian.
Hal sebegini sebenarnya telah menjadikan nilai diri itu terlalu murah, kecil dan memalukan. Walhal, setiap kejadian pasti ada hikmah yang terlalu sukar untuk ditafsirkan. Barangkali, kerana sifat yang tidak mengerti ini menyebabkan banyak hal yang menjadi korban, hancur, musnah dan berkecai.
Sesekali, belajarlah dengan menekuni makna kekalahan itu...

Ahad, 28 Februari 2010

KEKEJAMAN ATAU KEBINATANGAN?

Peristiwa penderaan kanak-kanak di Malaysia semakin kronik. Kes yang terbaharu, terlalu menyayatkan hati. Kanak-kanak berusia 3 tahun terdera sehingga membawa maut. Dan ironisnya, sekeliling melihat tanpa mahu ambil peduli. Akhirnya, kisah sedih dan memilukan itu menjadi cukup memalukan.
Pelakunya, melayu islam, mangsanya pun melayu islam. Apakah melayu akan menjuarai pula kategori penderaan, selepas kategori dadah, buang bayi, rogol dan menipu?
Barangkali, melayu sudah mendalami ilmu kekejaman dan semakin hampir menerobosi sifat kebinatangan andai kekeliruan tentang nilai keislaman tidak dikembalikan pemaknaannya dalam kehidupan.
Atau melayu kini sudah tidak lagi mengerti tentang melayu itu sendiri...
Nauzubillah...

Rabu, 24 Februari 2010

KEMBALIKAN SEMANGATNYA

Walau apa pun tanggapan dan desakan. Yang penting kembalikan semangat yang hilang dalam kemaruk palsu ini.
Hentikanlah sengketa dan hasad dengki. Wujudkan kesatuan hati. Berikan kekuatan makna dalam perjuangan yang sejati.
Marilah kita membina semua semangat yang lebih tinggi keazaman dan keutuhannya.

Selasa, 23 Februari 2010

ANCAMAN BAHARU...

Kacukan Babi dan Bebiri menjadi Bari-Bari merupakan usaha baharu pihak tertentu yang boleh dianggap satu ancaman peradaban khususnya ISLAM.

Semoga kita dijauhkan daripada segala kesesatan ini.

Ahad, 21 Februari 2010

BENARKAH TALAM DUA MUKA?

Mungkin benar, mungkin juga tidak. Semuanya memerlukan pemahaman. Ada juga yang memang sedemikian. Tidak semsetinya "talam" menjadi contoh. Banyak sebenarnya, cuma kesan peribahasa dan simpulan bahasa memungkinkannya jadi demikian.
Sebagai manusia, kadang2 kerap amat membelakangkan perkara sebenarnya. Andai bersalah pun, masih juga menyalahkan orang lain. Itulah prinsip kebiasaan orang yang sedemikian, walhal dirinya memang lebih daripada talam itu sendiri...

Rabu, 17 Februari 2010

SYUKUR

Segala puji bagi-Nya, kerana dengan izin-Nya juga maka Hari Pejuang Bahasa 152 terlaksana dengan jayanya. Walaupun kehadiran sederhana tetapi jiwanya hidup, rohnya wujud dan maknanya menjadi sejarah yang amat besar dalam kewujudan bangsa Melayu.
Sesungguhnya, kejayaan itu bukan kerana ketekunan atau kerajinan ajk kerja tetapi kerana rahmat-Nya yang penuh Rahman dan Rahim. Apapun, terima kasih kepada semua teman dan lawan yang sudi menyokong dan mengkritik bagi memastikan kesempurnaan acara.
Syukur kepada-Nya

Selasa, 9 Februari 2010

TIADA ALASAN

Mahu tidak mahu, akan diteruskan. Tidak ada alasan. Sesuatu yang dilakukan dengan niat suci dan murni tanpa ada selitan makna yang lain pasti akan membuahkan nilai yang cukup bererti.
Biarlah apapun tanggapan dan tohmahan, itu biasa dalam rencah kehidupan. Ia harus diteruskan walaupun melalui liku yang maha perit, atau ranjau yang maha seksa.
Benar, kini tiada alasan, waima seribu dalih yang bertatah mutiara kata penuh janji buta...
Perjuangan tetap perjuangan...

Isnin, 8 Februari 2010

APABILA PERJUANGAN DIPERSOALKAN

Perit luka kadang2 hanya dirasai atas nikmat kepuasan. Namun sakit kelukaan terlalu bisa sehingga merentap segala nikmat. Biarpun persoalan faham atau tidak boleh menjadi inti rasa, tetapi itu bukan jaminan untuk kita mempertikaikan sesuatu tanpa memahaminya terlebih dahulu.
Situasi berbeza dalam setiap detik yang ada. Tujuan mungkin jelas, tetapi untuk mencapainya memerlukan rasa tanggungjawab dan semangat yang suci. Dunia telah melakar pelbagai suasana bagi memunculkan segala tanggapan, namun dalam masa yang sama kita diminta mentaati segala perintah-Nya.
Justeru, pertikaian yang hanya melemahkan rasa diri sebenarnya adalah jalan mereka yang tewas sebelum berjuang.

Rabu, 3 Februari 2010

15 FEBRUARI

Pada 14 februari ada dua perayaan pada tahun ini iaitu, Hari Valentine bagi yang bercinta dan sambutan Tahun Baru Cina. Tentu sahaja warna merah akan mengisi segenap ruang kerana sambutan itu.
Namun, pada 15 februari, akan tercatat sejarah yang cukup bermakna apabila Hari Pejuang Bahasa mula diadakan. Pemilihan tarikh 15 februari cukup bermakna kerana cuba menterjemahkan nilai yang seakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan 152, yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Namun, ujian paling getir akan memaparkan sejauh mana kejituan jiwa perjuangan terhadap bahasa Melayu apabila 15 februari adalah hari cuti, yang mungkin akan mereka hadiri atau mereka tidak ambil peduli!

Isnin, 1 Februari 2010

KEPUTUSAN YANG PELIK

Kadang2, sering kali orang membuat keputusan kerana desakan emosi, benci dan dendam. Walauapun rasionalnya ada, atas kapasiti kebencian itu, semuanya tergendala. Namun, dalam hal yang sama tetapi ditangani oleh orang lain, semuanya lancar tanpa sebarang bantahan.
Begitulah prinsip serta ciri2 kemunafikan mula terserlah. Apakah manusia seperti ini mampu untuk dijulang dan dijadikan pemimpin yang memberi pedoman?
Mungkin, tanda2 kehancuran itu mula menitik dari semasa ke semasa dengan jiwa penuh dendam dan hasad dengki. Yang akhirnya menjahanamkan segalanya.

Rabu, 27 Januari 2010

KAMI PERLU PUISI TENTANG BAHASA

Kepada karyawan dan penyair budiman, kami memerlukan puisi2 tentang bahasa untuk diantologikan sempena HARI PEJUANG BAHASA. Tarikh akhir menghantar puisi berkenaan pada 30 Januari 2010. Sila emelkan karya tuan/puan ke smzakir90@gmail.com atau jfar@dbp.gov.my
Harap maklum

Isnin, 25 Januari 2010

YANG BESAR LUPA

Barangkali resam, atau satu peralihan yang menakutkan. Kerana yang besar lupa tentang peranan dan yang kecil sedaya upaya memberi makna.
Mungkin juga, selalu yang di atas akan lupa tentang yang di bawah kerana yang di atas merasakan berada di kemuncak, walhal yang di bawah mendukung dan menjulang.
Apapun, yang besar atau yang di atas, akhirnya turut juga menjadi kecil dan kebawah, apabila maut menjemput, maka, apa bezanya...

Ahad, 24 Januari 2010

JANUARI 2010

Januari 2010 semakin ke hujung. Kesan pemotongan belanja kerajaan 30% menjadi cukup meresahkan. Bayangkan, bagaimana sesuatu itu hendak dilaksanakan tanpa dana dalam dunia kini. Walhal, nak buang air pun kena bayar 30 sen apatah lagi menjayakan perancangan yang sedia diatur.
Tapi yang peliknya, satu bahagian dipotong untuk tujuan jimat tetapi satu bahagian berbelanja dengan penuh rakus!
Apa ke hal...

Rabu, 20 Januari 2010

152

Benarlah, kita hanya merancang dan Tuhan menentukan....
Maka, Hari Pejuang Bahasa 2010 akan berubah tempat. Program akan diadakan di Rumah GAPENA. Namun tarikh dan masa tidak berubah.
Begitulah kehendak-Nya...

Rabu, 13 Januari 2010

HARI PEJUANG BAHASA "152"

Salam,
Kepada semua Pejuang Bahasa Kebangsaan,
Sukacita dimaklumkan bahawa "Hari Pejuang Bahasa" akan diadakan pada 15 Februari 2010 (Isnin) bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Acara ini TERBUKA dan PERCUMA untuk penulis, seniman, budayawan, karyawan, artis, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, polis, tentera, mahasiswa, pelajar dan semua pejuang serta pencinta bahasa, sastera dan budaya.

"MARILAH BERSAMA-SAMA HADIR MENYOKONG DAN MENDUKUNG PERLEMBAGAAN 152 DEMI BAHASA KITA"
Kepada yang berminat untuk hadir, sila hubungi sdr.Taib 017 2760100, sdr. Ikram 012-2908429, sdr. Ritah 03-21483039 dan sdr. Salleh 013-2450808

JARANG-JARANG ATAU KADANG-KADANG?

Mungkin masih ramai mengingati dialog cerita-cerita P.Ramlee, khususnya dalam cerita "Pak Belalang". Paling ironis, pertaruhan dalam cerita tersebut adalah negara. Paling jelas mesejnya, apabila orang berkuasa pelbagai perkara yang diluar jangka akan dilakukan andai menjadi tamak dan haloba.
Namun, dalam situasi kita sekarang ini, persoalan jarang-jarang tidak lagi berlaku. Begitu juga dengan hal kadang-kadang. Yang pasti sekarang ini, banyak-banyak menjadi semacam satu kemestian pula. Apa-apa sahaja semuanya menjurus kepada banyak-banyak. Sama ada hal keriuhan, kepoltikan, kebejatan, kesosialan, ketamakan, kehalobaan, ketaksuban dan sebagainya.
Kini kita menjadi cukup keliru untuk berdepan dengan sebarang persoalan yang kita pasti ada jawapan tetapi dimanipulasikan secara cukup teliti sehingga jawapan tidak ada tetapi berlaku juga "tergadainya" segala. Mungkin kita tidak pernah mahu meneliti apakah yang wajar kita jarang-jarangkan atau yang perlu kita kadang-kadangkan.

Selasa, 12 Januari 2010

TERHIMPIT ATAU TERSEPIT?

Tiada siapa yang tahu angkara siapa. Bukan mudah meneka. Apatah lagi menuding jari. Semuanya punya hujah masing2. Mungkin benar. Mungkin juga tidak. Namun, semuanya mengetahui, itu adalah agenda. Lakonan yang memakan diri.
Sama ada berjaya atau tidak, tindakan sedemikian memang bodoh. Walhal, dalam zaman orang boleh berfikir secara waras dan normal, tidak mungkin tertipu. Melainkan sudah ada penanda bahawa masyarakat semakin menjadi orang gila kerana kebodohan yang keterlaluan.
Paling ironis andai hal itu sengaja dilakukan oleh golongan yang merencana sesuatu yang lebih besar dan lebih merbahaya. Kelompok ini sebenarnya sudah sekian lama menanti peluang dan ruang untuk muncul dengan suasana sebegini, maka, kita harus menilai setiap apa yang terjadi dan terpapar di depan kita. Kalau tidak kita akan terhimpit dan akhirnya tersepit dalam gelora yang tiada kesudahannya.

Isnin, 11 Januari 2010

BUKAN KERANA NAMA

Mendengar lagu Ramli Sarip "Bukan Kerana Nama" terasa amat kesiratan yang ingin dikongsikan bersama-sama pendengarnya tentang perjuangan. Dan, kalau hal ini dikaitkan dengan apa yang sedang dan akan berlaku, jelas sekali kita serig mengabaikan prinsip yang sebenarnya.
Mungkin, ini buka salah sesiapa, kerana kita sering disogok dengan pelbagai nilai yang mengelirukan, mengutamakan dan mengabaikan hal yang sebenar. Kita dibuai dengan "Malaysia Boleh", lalu membolehkan apa-apa sahaja. Kita dihidang dengan "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang" sehingga kita lupa siapa yang sebenarnya wajar dan harus sedemikian.
Kini, kita dibuka dengan ruang "1Malaysia" dengan prinsip "Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan". Mungkin dalam perkiraan yang menjurus ke arah satu pandangan, keutamaan itu cukup minima maksudnya. Rakyat menjadi keliru tentang apa yang hendak diutamakan? Walhal dari semasa ke semasa, keadaan rakyat semakin menghimpit oleh pelbagai masalah dan cabaran.
Ini bukan maksud mempertikaikan slogan sebegini tetapi, sesudah negara merdeka hampir 54 tahun, kita masih menjadikan retorik sebagai mimpi indah yang membuai kita dengan seribu cerita enak. Ingatlah, kita bukan setakat punya negara bernama Malaysia, tetapi juga kita punya sejarah yang cukup banyak nama!

KITA JADI MAINAN MAKNA...

Kini, kita sebenarnya dalam delima yang kasar. dalam kemelut yang kotor. Dalam gundah yang jijik. Akhirnya, tangan2 tersembunyi yang mengintai peluang sekian lama, sudah mula bergerak dan menjalankan tindakannya. Kita dikaburi dengan kehalusan yang amat nakal. Dan kita menjadi mainan makna yang terlalu sukar untuk ditafsirkan.
Kita sering bertindak apabila sesuatu perkara menjadi tenat. Kita tidak pernah untuk mencegah. Kita terlalu percaya, sekeliling kita seakan sudah kita lingkari dengan persefahaman dan ketahuan. tetapi sebenarnya sekali lagi kita menjadi mainan makna yang tidak mampu untuk kita huraikan.
Dan, kita sedang berdepan dengan fenomena makna itu sendiri. Kita menjadi kaku untuk memberitahu bahawa kita semua telah tertipu oleh mainan kita sendiri. Tentu sahaja, kita semakin tenggelam dalam mainan makna yang kini menjadi pegangan kita selamanya. Ya, kita jadi mainan makna yang maha KEJAM oleh mereka yang tidak peduli tentang MATI.

Khamis, 7 Januari 2010

SIAPA YANG BIJAK, SIAPA PULA YANG BODOH?

Kemelut demi kemelut seakan tidak ada titik noktah. Baik yang menyangka dirinya bijak, atau yang mengata orang itu bodoh, semuanya mengundang kelemahan masing2. Yang jelas, hal demikian hanya tercatat sebagai satu yang sensasi. Menjadi tajuk2 berita. Paling malang, menjadi bahan yang mengelikan hati sesetengah pihak.
Memang sukar untuk menerima hakikat ini. Kerana masing2 tidak pernah mengaku salah. Masing2 mahu mendabik dada menunjukkan diri. Masing2 bertindak kononnya atas nama kebijaksanaan. Walhal, di situlah bermulanya kebodohan yang amat.
Kini, yang dicari bukan jawapan tetapi menzahirkan siapa yang bijak dan siapa yang bodoh. Walhal, kedua-dua sama, kerana yang bijak dah membodohkan diri dan yang bodoh cuba menunjukkan bijaknya...

Rabu, 6 Januari 2010

KITA BERTELAGAH, ORANG LAIN KETAWA

Akhirnya terserlah bijak pandai kita untuk cuba menyelesaikan masalah "kepercayaan" kita. Ada yang berhujah seakan dialah yang terbijak atau yang terbodoh. Semuanya berligar antara sesama memahami situasi sebenarnya. MEDIA dijadikan medan menyalurkan kewibawaan yang tergambar keangkuhan dan kesewelan. Apakah tidak ada ruang untuk bertemu dan berbincang?
Sedangkan yang dibincang dan diperkatakan soal diri, kepercayaan, keyakinan dan harga sebuah maruah agama. Bukan cerita pasal politik pasar dan politik tahi telinga. Begitulah, apabila orang sudah mula lupa, apa yang sebenarnya wajar dan harus diperjuangkan. Inilah kesan apabila populariti menjadi nadi pemikiran insan sehingga mengadai makna diri dan terpapar kebodohan yang amat.
Kini, kita masih bertelagah untuk menyatakan yang kita betul, dia salah, dan dia mengatakan dia betul dan kita salah. Namun disebalik semua itu, ketawa orang lain semakin riuh rendah melihat kesewelan, kedegilan dan kebodohan kita yang amat. Sekali lagi, KEBODOHAN KITA YANG AMAT!

Selasa, 5 Januari 2010

KENAPA DIUNDANG SENGKETA?

Saat mencari kedamaian dan keamanan, mengapa ada yang sengaja menjolok rasa? Apakah sememangnya sedemikian kejinya manusia yang tidak pernah syukur nikmat-Nya. Kini, kerajaan harus belajar mengerti dan memahami bahawa keterbukaan yang terlampau sebenarnya jalan mengundang malapetaka.
Mungkin tidak salah bertegas, apabila orang sudah mula menampakkan taring. Kerana Malaysia yang kucinta ini semakin menjadi tidak keruan. Seperti hilang rasa kesentosaan. Paling peliknya, kita sebagai tuan, sentiasa mengalah dan memberi semahunya, sedangkan yang mendatang dan menumpang semakin ghairah mengali dan mengali tanpa peduli siapa kita.
Mengapa?

Ahad, 3 Januari 2010

JANUARI

Pernah pepatah cina, "Setiap permulaan, bermula dengan langkah pertama". Sekilas pengertiaan, kehadiran Januari dianggap sebagai langkah pemula bagi setiap tahun yang mendatang. Tapi peliknya, sekian lama, Januari sentiasa hadir dan pergi tanpa sesiap mahu menilainya. Berapa kali sudah diberi peluang dan ruang itu untuk berfikir dan berubah. Namun masih ramai lagi yang seakan-akan tidak mempedulikannya.
Ini soal harga diri. Soal pengertian. Soal pemahaman. Soal keinsafan. Soal kesedaran. Terlalu banyak ruang dan peluang diberikan, tetapi entah mengapa peluang dan ruang itu hanya seketika diterjemahkan menjadi sandaran pengertian dan selebihnya menjadi bagai angin yang hanya dirasai tanpa dipeduli.
Kini, Januari datang lagi, dengan seribu pengertian yang tiada kesudahan. Dan terpulang kepada sesiapa untuk merebutkannya sebagai peluang dan ruang bagi memaknakannya dengan semaksima mungkin.