Ahad, 26 April 2009



Sesekali melihat senja, indahnya dalam suram yang nyaman, seakan menyapa kesepian, yang hilang dalam pautan, pada kehadiran malam.

Sesekali mentafsir senja, resah selalu sahaja bertanya, sudahkah cukup untuk berdepan, dengan maksud malam.

Senja, aku jadi malu menatapmu!

Khamis, 23 April 2009

SETIA TAK BERBELAH BAHAGI




"Kami anak Malaysia, bersumpah taat setia, demi agama, bangsa dan negara, menjunjung titah dengan jiwa raga, bersama-sama menjadikan agama, bangsa dan negara ini, makmur, damai, aman, sentosa dan sejahtera"

SEJARAH










WAJAH DEMI WAJAH

Apapun yang berlaku, telah menjadi sejarah yang panjang untuk dinilai, tafsirlah dengan akal budi yang berperibadi...

AKHIRNYA



Populariti bagaikan angin yang bertiup, mulanya segar dan bugar, nyaman dan dingin, namun akhirnya mula perlahan, kelam dan pudar. Begitu juga dengan wajah alam, yang cerah dengan fajar menyingsing, terang dipancar mentari dan akhirnya senja tiba dengan suram dan malam.

Kehidupan pun demikian juga, melalui titik mula yang menjadi memori nan segar, episod cerita yang asyik dan impi yang indah. Tapi, akhirnya, kedamaian, ketenangan dan kesejahteraan menjadi cita atma. Andai ia belum jauh meninggalkan kita, syukur, masih ada ruang untuk mencari kebenaran itu, tetapi andai ia telah lenyap dalam kelekaan kita itu, pasti penyesalan tidak ada ertinya lagi.

Akhirnya...

INDAH, KEINDAHAN, MENGINDAHKAN

Proses penulisan hingga pembacaan sebuah sajak sesungguhnya dapat kita telusuri lewat beberapa pendekatan, harus difahami bahawa sajak dapat kita lihat sebagai sebuah objek pentafsiran dan tidak bergantung sepenuhnya pada teori pendekatan, akan tetapi sebaliknya keberadaan sebuah teori atau pendekatan sepenuhnya bergantung pada keberadaan sajak itu sendiri.
“Membaca” sajak dengan menilai makna tersurat dan tersirat melalui teori tidak seharusnya dilakukan secara sebarangan. Sesebuah sajak memiliki arah dan visinya untuk berdiri sebagai karya. Arah dan visinya inilah yang akan menimbulkan nilai gugah dan tafsir sama ada oleh penulis itu sendiri atau pembaca. Salah satu pendekatan bagi membaca puisi adalah dengan menekuni hasrat kepuisian itu.
Apa yang dimaksudkan dengan pendekatan yang boleh dikaitkan dengan nilai hasrat ini adalah melalui pendekatan rasa dan estetika iaitu sebuah proses pendekatan yang mengkaji kelahiran sebuah sajak. Proses ini bermula dengan wujudnya nilai rasa yang menimbulkan estetika penulisan penyair. Penyair meluahkan apa yang dirasakannya dan yang ingin dituangkannya dalam sajak tetapi melalui proses bahasa yang terjamin, bukan cetusan bahasa yang drastik.
Penyair mampu mencapai kondisi yang berubah bagi menjanakan pemikiran dan perasaannya sebagai sebuah kewujudan makna yang kuat, gelora perasaan, gelombang hasrat yang menyentuh gerak hati dan kepekaan estetika dalam diri seorang penyair, sebuah kegelisahan yang menerbitkan api kreativitinya. Proses ini terjadi secara spontan apabila penyair berdepan dengan suatu realiti yang memicu sebuah pengalaman estetika dalam dirinya.
Memang sajak yang baik tidak selalu harus komunikatif, justeru seringkali sajak tampil terbalut dengan tafsir berbeza oleh pembaca. Terbungkus oleh metafora yang halus berlapis-lapis yang semakin kuat menimbulkan citra atau perlambangan yang lebih kaya. Banyak sajak yang tetap bernilai tanpa sepenuhnya dapat difahami kerana multi tafsir yang dapat lahir daripada pentafsirannya.
Apa yang penting, binaan rasa dalam sajak. Rasa ini terbina melalui bahasa sajak yang mengalami bunyi, rentak dan makna bagi mencetuskan garapan penghasilannya. Kata-kata yang terhasil dalam bahasa sajak harus memberi nikmat yang padat kepada penulis kerana bahasa sajak merupakan persembahan dalam kata-kata. Ini bermakna bahasa yang terdiri daripada kata-kata dalam sajak juga berperanan sebagai alat komunikasi.
Lantaran itu, bahasa dalam sajak merupakan wahana komunikasi penyair kepada pembaca yang mengandungi rasa dalam penafsiran penyair terhadap sesuatu mesej. Sajak memiliki sifat yang tersendiri. Hal ini demikian disebabkan oleh luasnya daerah kemungkinan teknik dan gaya seseorang penyair kerana sajak mempunyai dua lapisan makna. Lapisan atas dan lapisan bawah. Penyair yang menghasilkan sajak pasti mengutamakan makna lapisan bawah berbanding makna lapisan atas.
Penyair sebagai manusia dan sebagai insan biasa, sentiasa tumbuh dan dicabar oleh tuntutan-tuntuan tertentu sesuatu era. Ini memungkinkan tercetusnya getar makna bagi melahirkan sajak. Di sinilah seseorang penyair mengutarakan rasanya dengan penuh estetika terhadap persekitarannya. Setiap sajak yang tercipta sedikit sebanyak mendekatkan penyair kepada sebahagian kecil cakerawala tuhan yang maha luas.
Di samping itu mengakrabkan penyair dengan suasana makhluk lain yang sama-sama mencari dan sama-sama menikmati serta sama-sama terhukum oleh getir dan getar kehidupan. Justeru, penyair memasuki dunia imaginasi sebenarnya untuk melihat kemungkinan realiti. Berada dalam dunia realiti penyair cuba pula menduga kemungkinan imaginasinya.
Getar estetika penyair merakam kemustahilan kerana ingin menemui kewarasan. Kemudian merakam kekejaman kerana ingin menemui kemanusiaan. Penyair juga bergerak bukan sahaja atas landasan fikiran logika semata-mata tetapi akal logika dan rasa bagi memperkatakan tanggapan kebenaran.
Menurut Dr. Sohaimi keberkesanan pengalaman estetik disebabkan oleh dua faktor yang berkaitan iaitu pengarang dan pembaca. Pembaca mesti mempunyai kemahiran untuk mengkaji karya sastera dan "sehati" dengan pengarang. "Sehati" dengan pengarang bermaksud bahawa pembaca mesti sensitif, imaginatif dan intelek serta emosinya berkeupayaan merasa dengan berkesan, berkeupayaan simpati serta empati dan bersedia menerima ekspresi sastera yang dibina oleh pengarang.
Menurut Dr. A.Wahab secara umumnya estetika itu merujuk kepada sesuatu objek alam dan seni yang bernilai dan berguna pada penglihatan dan penikmatan kita seperti sesuatu yang indah, yang mengagumkan, yang mempersonakan, yang menarik, yang cantik, yang agung dan juga yang melucukan. Ia dapat mewujudkan satu perasaan dalam diri kita tentang keindahan. Keindahan itulah letaknya nilai estetika.

ISU TERKINI


Keindahan sesuatu yang amat cantik kalau dihayati, namun keindahan akan lenyap dalam maknanya andai kata kejiwaan hanya berbaur dengan kecelaruan penilaian akal budi.
Maka, terpulanglah kepada diri sendiri untuk menjadikan kehidupan ini untuk apa dan bagaimana.
Yang jelas, itu hanya sementara, kerana perjalanan kita ini menentukan nilai makna diakhirnya nanti.

Rabu, 22 April 2009

PEMIKIRAN DALAM SAJAK

Apabila menghasilkan puisi, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah bahasanya. Ini selaras dengan pandangan sarjana barat yang mengatakan bahawa puisi merupakan “kata-kata terpilih dalam susunan terbaik”. Namun, kenyataan ini harus dilihat dari segi sudut yang lebih luas. Menurut Muhammad Haji Salleh, puisi bukan sahaja merupakan kata-kata terpilih dalam susunan terbaik tetapi juga merupakan paparan pemikiran yang bersalut perasaan.
Apakah pemikiran dalam puisi? Hal ini telah banyak kali diperkatakan oleh beberapa pengulas sebelum ini. Sekadar untuk mengingat kembali, harus difahami bahawa pemikiran dalam penulisan adalah gagasan idea tentang sesuatu yang hendak kita tulis. Tiada seorang pun menulis dalam kekosongan. Semuanya ada niat atau gagasan yang hendak dinyatakan. Besar atau kecil pemikiran itu menjadi soal kedua.
Apa pula perasaan dalam puisi? Perkara ini juga sudah acap kali disentuh oleh pengulas sebelum ini. Mungkin ada yang belum memahami “perasaan” dalam puisi secara tuntas namun secara asas mungkin sudah ramai yang mempraktikkannya sama ada secara sedar atau tidak. Perasaan dalam puisi penting sebagai pancaran “rasa” seseorang penulis terhadap pemikiran yang hendak diluahkan. Pemikiran yang terhasil dalam puisi, tanpa pengolahan perasaan dalam puisinya akan menjadikan puisinya kaku dan tiada rasa. Ini yang sering terjadi apabila penulis muda menghasilkan puisi.Bagaimana melahirkan puisi yang mempunyai pemikiran dan perasaan melalui kata-kata terpilih dalam susunan terbaik? Mari kita sama-sama perhatikan 3 buah puisi yang dihasilkan oleh penulis muda yang barangkali dapat memberi sedikit gambaran kepada kita tentang peranan “pemikiran” dan “perasaan” melalui kata-kata terpilih dalam susunan terbaik bagi sesebuah puisi.

Selasa, 21 April 2009

PEMBINAAN AYAT DALAM SAJAK

Penghasilan sajak memerlukan ketekunan dalam membuat penyataan. Penyataan yang terhasil daripada gabungan diksi ke diksi memungkinkan terbinanya ayat dalam sajak yang baik. Walaupun banyak elemen lain yang perlu dalam penghasilan sajak, hal bahasa menjadi cukup dominan. Memang tidak dinafikan bahawa soal pemikiran menjadi unsur utama dalam sajak, namun peranan bahasa sebagai penyataan dalam sajak juga menjadi perkara yang cukup besar sifatnya.
Seseorang penulis atau penyair gagal menyempurnakan sajaknya apabila soal penggunaan ayat dalam sajaknya tidak diberi perhatian yang khusus. Banyak yang beranggapan bahawa, asalkan penyataan itu indah, maka, sudah cukup untuk dinyatakan sebagai pengucapan ayat dalam sajak. Hal ini berlaku kerana seseorang penulis atau penyair tidak melakukan pemilihan yang tepat dan memberi makna perkaitan yang jelas dalam setiap ikatan atau rangkaian dalam sajaknya.
Justeru, antara penyataan yang indah dengan penyataan yang benar, jauh bezanya. Yang benar belum tentu betul. Begitu juga dengan yang indah belum tentu menarik. Sebagai contoh, secara hukum bahasanya ayat seperti ini adalah betul iaitu “saya suka makan batu” tetapi dalam pemberian makna, mana mungkin kita makan “batu” kecuali frasa “batu” itu menjadi “kuih Batu Manis”.
Apatah lagi dalam konteks sesebuah sajak yang sememangnya menekankan upaya bahasa sebagai pembentukan ayat. Sajak yang terhasil dengan ayat sajak yang selamba, maka sajak itu pun menjadi hambar. Kalau ayat sajaknya berbelit-belit maka timbul juga masalah sulit mentafsir maknanya. Sesebuah sajak yang baik adalah sajak yang menyerlahkan ayat yang ringkas, ekonomis, mempunyai tafsir lapis makna yang berbagai dan mempunyai makna yang cukup dalam.
Harus diingat, bahawa seseorang penulis atau penyair bukan “perosak bahasa” tetapi seseorang “pencipta bahasa”. Melalui sajak, seseorang penulis atau penyair mampu mewujudkan ungkapan yang segar, logik, kreatif dan bernas. Melalui sajak juga keintiman diksi menimbulkan aura ayat yang indah. Sudah tentu dengan aura yang demikian, maka ayat yang terbina mampu pula menyerlahkan pemikiran dalam sajak tersebut.
Memang diakui, bukan mudah membentuk ayat dalam sajak. Usaha ini memerlukan seseorang penulis atau penyair mempunyai kekayaan perbendaharaan kata dalam mindanya. Andai kata seseorang penulis atau penyair ini mempunyai kekayaan perbendaharaan kata, seseorang penulis atau penyair itu juga perlu mempunyai kekuatan dari segi pemerhatian, pengamatan dan penilaian terhadap apa yang terjadi di sekelilingnya.

Isnin, 20 April 2009


SEDIKIT TENTANG SAJAK

Puisi adalah karya sastera dengan bahasa yang dipadatkan, dipersingkat dan diberi irama dengan bunyi yang padu dan pemilihan kata-kata kias. Kata-kata, betul-betul terpilih agar memiliki kekuatan pengucapan. Walaupun singkat atau padat, namum mempunyai kekuatan. Lantaran itu, salah satu usaha penyair adalah memilih kata-kata yang memiliki persamaan bunyi (rima).
Kata-kata mewakili makna yang lebih luas dan lebih banyak maksudnya. Justeru, kata-kata dicari konotasi atau makna tambahannya dan dibuat bergaya dengan bahasa figuratif. Menurut Sahlan (2005) puisi ialah peluahan emosi daripada seseorang penyair yang berteraskan sesuatu, seperti kejadian yang dilihat atau dialaminya, keakrabannya dengan pemerihal yang disampaikannya serta emosinya pada masa itu.
Sentimen dan perasaan turut memperkaya apa yang ingin disampaikannya dalam bentuk puisi tersebut. Berdasarkan kenyataan tersebut, seseorang penyair selalunya meluahkan isi puisinya melalui konsep yang abstrak, iamginatif, emosional, subjektif, mengikut rasa, pengetahuan, pengalaman serta pengurusan bahasa yang dimilikinya. Dalam luahan ini terdapat nadi dan kehidupan yang segar, bergerak bersama-sama pendengar dan pembaca.
Puisi yang dihasilkan oleh seseorang penyair juga mempunyai matlamat atau tujuan tertentu diciptakan. Pertama, ada sesuatu yang hendak diperkatakan tetapi tidak dapat diucapkan, maka dipindahkan ke dalam bentuk puisi dengan cara penyampaian yang lebih murni dan indah. Kedua, kerana mendidik melalui kesan keperimanusiaan dan pengajaran. Ketiga, kerana menghibur dengan meninggalkan kesan keindahan kepada khalayak pendengar atau pembaca.
Keindahan puisi adalah berbeza daripada keindahan prosa. Shelley pernah mencatatkan bahawa “puisi mengubah segala-galanya menjadi indah, malah lebih mengindahkan sesuatu yang telah sedia indah, mampu mencantikkan sesuatu yang telah rosak, mewujudkan pemerihalan di luar kelumrahan, mampu pula membongkar segala yang bertutup dengan kepura-puraan sebagai semangat bentuknya” (Holman, 1972:406)
Melihat kepada konteks kebudayaan Melayu, Za’ba (1965) mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai “khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka, dengan gambaran yang cantik itu, perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang yang mendengarnya” Definisi ini memusatkan perhatian kita kepada kecantikkan atau keindahan bahasa, metafora, alusi, imej dan sebagainya. Za’ba juga mendefiniskan tema dan kesan tema terhadap pembaca. Seterusnya, Za’ba juga mencarikan struktur puisi atau apa yang disitilahnya sebagai karangan berangkap.
Tegas Za’ba, “karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi dan rentaknya atau isinya serta kebanyakkan memakai timbangan atau sukatan tertentu”. Definisi ini amat baik kerana Za’ba meneliti secara terperinci ciri-ciri puisi, bukan sahaja sifat-sifat abstrak seperti kecantikkan dan kemanisan, tetapi juga struktur dasarnya.
Menurut Wordsworth (1800) seorang penyair Inggeris kurun kesembilan belas, puisi ialah pengucapan tentang perasaan ghairah yang iamginatif dan biasanya berentak. S.T Coleridge (1811-1812) seorang lagi penyair Inggeris yang hidup sezaman dengan Wordsworth menegaskan bahawa puisi sebagai “the best words in their best order” atau kata-kata terbaik dalam susunan terbaik.

Ahad, 19 April 2009

SEBUAH PENELITYIAN KARYA A.SAMAD SAID

MEMBINA NILAI POTENSI DIRI DALAM NOVEL KANAK-KANAK A. SAMAD SAID


“Perbezaan di antara manusia “biasa” dan manusia “genius” bukannya terletak pada gen, tetapi terletak pada diri manusia. Menurut pakar neurosains, manusia “biasa” dan manusia “genius” berbeza dari segi sejauh mana mereka berjaya menggunakan potensi otak secara berkesan untuk mencapai sesuatu matlamat. Sekiranya kita tahu mengawal kuasa minda, kita bukan sahaja mampu menjadi manusia yang lebih pintar tetapi juga lebih matang dan bijaksana”

Dr. Azlena Zainal dan Dr. Munir Shuib
( dalam buku “Meningkatkan Potensi Minda”)

1.0 PENGENALAN

Kemahiran berfikir pada umunya adalah satu kemahiran memproses minda bagi mencapai sesuatu tujuan. Setiap tindak dan kelakuan memerlukan daya fikir menjanakan peri tindak atau peri lakunya. Sekiranya, fikiran bercelaru, maka tindakan yang diambil pun turut bercelaru sifatnya.
Ini selaras dengan kenyataan Dewey (1933) yang mengaitkan berfikir dengan perilaku. Tegasnya, kemahiran berfikir adalah suatu aktiviti mengawal, menguasai dan menyesuaikan diri pada persekitaran yang sukar. Pelbagai takrifan berkenaan kemahiran berfikir. Setiap takrifan memberi penekanan berbeza.
Sebagai contoh, Mayer (1983) menyifatkan kemahiran berfikir sebagai kemahiran pengolahan operasi mental yang merangkumi pengetahuan, pengamatan dan penghasilan sesuatu. Ia adalah sesuatu aktiviti yang terarah kepada penyelesaian sesuatu masalah. Costa (1985) pula mengaitkan kemahiran berfikir dengan proses penerimaan rangsangan-rangsangan luar oleh minda melalui deria-deria.
Kalau kita meneliti pemikir besar seperti Edward de Bono, mereka mempunyai perspektif yang berbeza tentang definisi berfikir. Bagi Edward de Bono, konsep “masalah” memberi konotasi yang kurang baik. Masalah bermakna kewujudan suatu situasi atau keadaan yang sukar. Hal ini seakan menyempitkan pengertian berfikir dan seolah-olah berfikir hanya untuk menyelesaikan masalah.
Bagi Edward de Bono, berfikir bukan sekadar melibatkan penyelesaian masalah, tetapi juga melibatkan pencarian masalah dan penerokaan peluang-peluang yang baru, kemungkinan-kemungkinan baru serta penjanaan idea-idea baru. Oleh yang demikian, berfikir bagi Edward de Bono merupakan “alat” utama untuk menjana dan membina potensi diri manusia dalam usaha memenuhi persekitarannya.
Bahkan pertelagahan juga memberi dimensi dalam berfikir. Menurut Ainon dan Abdullah (2003) pemikiran kritikal iaitu berfikir secara suka bertelagah dan suka saling sangkal menyangkal yang mana mampu menjana keputusan yang baik seandainya pertelagahan tersebut disusuli dengan nilai intelektual.
Justeru, peranan membina daya fikir bukan sahaja melihat permasalahan sebagai tuntutannya tetapi juga memerlukan pelbagai dimensi yang mampu memberi dan menyumbang kepada kekuatan berfikir itu sendiri. Maka, daya fikir perlu dirangsang, diasah, dipertajam dan di cerdik pandaikan dalam korpus kehidupan untuk menilai tentang baik buruk dan betul salah.
Peranan sastera dilihat amat berkemampuan memberi rangsangan terhadap perkembangan daya fikir. Pertamanya, sastera merakam kehidupan dengan membuat penilaian tentang kehidupan dari sudut kebenaran. Kedua, sastera menjadikan kehidupan itu sebagai bahan garapan tentang makna sebenar yang dicari dalam kehidupan. Ketiga, sastera telah menyebatikan kebenaran itu sebagai yang hak dan perlu diperakukan. Lantaran itu, membaca dua buah novel kanak-kanak hasil karya A. Samad Said yang berjudul Bendera Merah Di Atas Bukit dan Jangan Ikut Jalan Ini, jelas membuka paradigma baharu dalam pengertian menjadikan sastera sebagai pemangkin membina potensi diri kanak-kanak.
Sebagaimana yang kita maklum, pengisian cuti sekolah menjadi satu perkara yang cukup menarik dan dinanti-nantikan oleh kanak-kanak. Itu pun terjadi dalam latar yang berlaku tahun 80-an dalam kedua-dua novel ini. Hal ini mungkin tidak terjadi dalam keadaan masa kini. Kanak-kanak seakan tidak mempunyai “cuti” sebagai pembinaan jati upaya berfikir secara neutral dan kreatif kerana kebanyakan kanak-kanak mengisi musim cuti sekolah mereka dengan menghadiri tuisyen atau “melekat” di depan komputer semata-mata.
Potensi inilah yang menjadi pokok perbincangan terhadap dua buah karya oleh sasterawan yang sememangnya maha dikenali dan diperakui kekuatan idea dan penceritaannya. Justeru, pembinaan nilai dalam potensi diri kanak-kanak menjadi asas untuk merangsang pembaca yang khususnya di kalangan kanak-kanak untuk berani mencuba, bersedia dengan permasalahan dan matang dalam melakukan tindakan.
Sebelum kita menyusuri perbincangan lebih lanjut tentang usaha membina nilai potensi diri yang terpancar dalam kedua-dua buah novel kanak-kanak ini, adalah lebih baik kita memperkatakan serbi sedikit tentang sinopsis kedua-dua buah novel kanak-kanak ini sebagai gambaran awal penceritaan. Walaupun secara lahiriahnya novel ini khusus kepada kanak-kanak, namun secara tersiratnya, banyak pengajaran yang boleh diambil oleh golongan ibu bapa dalam mempertingkatkan daya upaya mendidik kanak-kanak dalam konteks mesra keadaan.

2.0 BENDERA MERAH DI ATAS BUKIT

Novel Bendera Merah Di Atas Bukit merupakan novel kanak-kanak Siri Cerita Pengembara, terbitan Syarikat Buku Mahir Sdn. Bhd. Pada tahun 1986 yang mempunyai 75 halaman. Secara umumnya, konsep penceritaan berupa cerita-cerita pengembaraan yang dilalui oleh kanak-kanak dalam usaha membina upaya dan potensi diri mereka.
Kisah bermula dengan pertelagahan pendapat antara Majid dan Yahaya. Perancangan asal Majid, hendak bersampan di sungai dan Yahaya merancang untuk menyiasat pondok kosong. Masing-masing memberi pendapat tentang nilai dan keseronokan apabila melaksanakan kegiatan tersebut. Walaupun demikian, kedua-dua sekawan ini bersetuju agar Abu, yang mereka akui sebagai ketua untuk memutuskan apa yang perlu dilakukan bagi mengisi cuti musim cuti mereka kali ini.
Apabila kedua-dua sekawan itu mengemukakan cadangan mereka kepada Abu, secara murni Abu menyelesaikan masalah tersebut dengan mencadangkan agar mereka ke Tanjung Karang untuk berziarah ke rumah sahabat Abu yang bernama Rasyid. Alasan Abu, agar mereka boleh belajar tentang cara kehidupan orang di tempat lain.
Namun, perancangan asal mereka untuk berkunjung ke rumah Rasyid di Tanjung Karang tidak menjadi kenyataan setelah Abu mengambil keputusan menyiasat kes kecurian yang berlaku di kampung mereka. Cadangan Abu itu mendapat sokongan daripada kawan-kawannya. Hal tersebut menjadi isi cerita semakin membulat dan membesar dalam usaha mereka menyelesaikannya
Apa yang menarik dalam novel ini adalah, cadangan asal Majid dan Yahaya untuk bersampan di sungai serta menyiasat pondok kosong dilaksanakan. Episod demi episod tersebut membawa penceritaan yang menggugah rasa pembaca mencari penyelesaian. Seakan pembaca turut serta dalam penyiasatan tersebut. Mencari dan meneka. Menilai dan meneliti.
Secara psikologinya, pembaca khususnya kanak-kanak terbawa-bawa dalam alam penyiasatan mereka. Abu dan kawan-kawannya mula mencari punca, perkara yang aneh berlaku di kampung dan kehadiran orang asing di kampung menjadi penilaian dan penelitian mereka. Adegan penyiasatan mereka menjadi cukup menarik dengan penggunaan bahasa yang mudah dan sesuai dengan aras bahasa kanak-kanak.
Unsur suspens, perasaan luar jangka dan penyelesaian penceritaannya menjadikan pembaca agak terbuai dengan konflik diri kerana adanya timbul teka teki siapakah yang melakukan kecurian di kampung Abu. Akhirnya pembaca dibawa menemui jawapan yang tidak dapat dijangkakan oleh pembaca secara langsung. Hal ini menimbulkan kepuasan membaca cerita penyiasatan kanak-kanak.

3.0 JANGAN IKUT JALAN INI

Novel “Jangan Ikut Jalan Ini” seakan kesinambungan kepada cerita “Bendera Merah Di Atas Bukit”. Novel yang juga menjadi salah satu pengisahan dalam Siri Cerita Pengembara, terbitan Syarikat Buku Mahir Sdn. Bhd ini di terbit pada tahun 1987 ini mempunyai 67 halaman. Persamaan watak, bentuk cerita dan fokus pengisahan turut mengisi latar bagi musim cuti sekolah. Justeru, “Jangan Ikut Jalan Ini” merupakan novel kanak-kanak yang turut memaparkan kegiatan dilakukan waktu cuti sekolah.
Namun, dalam novel ini Abu dan kawan-kawannya membuat pengembaraan yang lebih berani dan mencabar. Pertama, tempat yang mereka cuba terokai adalah tempat asing atau bukan tempat mereka sendiri. Kedua, mereka terpaksa berdepan dengan orang dewasa untuk memenuhi kehendak mereka iaitu Wak Salim bagi menyatakan hasrat mereka dan yang ketiga, mereka sanggup mengharungi perjalanan pengembaraan mereka walaupun jelas menerima amaran awal.
Cadangan asal mereka untuk ke Pertak mengikut Wak Salim dengan hasrat melihat pemuda pemudi belajar seni, kerana kononnya di situ ada yang belajar drama, menjahit, menari dan sebagainya bertukar tujuan. Mereka memutuskan untuk mengembara melihat air terjun. Namun, dalam perjalanan mereka untuk ke temapt air terjun, mereka menemui pelbagai halangan. Halangan demi halangan inilah menjadi inti cerita pengembaraan mereka kali ini.
Halangan pertama yang mereka terpaksa tempuhi untuk ke tempat air terjun nanti adalah wujudnya orang gila. Namun, Abu sebagai ketua kumpulan teruja untuk mengetahui tentang orang gila tersebut. Lantas mereka membuat keputusan untuk berdepan dengan keadaan berkenaan. Halangan kedua pula, semasa mereka dalam perjalanan ke tempat air terjun ada dua kejadian yang menyebabkan mereka membatalkan hasrat mereka untuk meneruskan perjalanan ke tempat air terjun tersebut.
Pertama, Esah telah tergelincir ketika melalui batu dan kakinya berdarah. Kedua sewaktu mereka berhenti rehat, muncul bebayang budak yang tidak diketahui datangnya. Ketika mereka asyik mengejar budak berkenaan, bekal mereka pula yang dicuri. Melihat kejadian kaki Esah berdarah dan bekal mereka telah dicuri, mereka mengambil keputusan kembali ke rumah.
Keesokkan harinya, mereka meneruskan usaha untuk ke tempat air terjun. Dalam perjalanan tersebut, mereka menemui kata-kata amaran yang tertulis pada sebuah batu besar. Kata-kata amaran “Jangan Ikut Jalan Ini” membuat Abu dan kawan-kawwannya semakin bersemangat untuk meneroka dan mencari jawapan tentang tempat tersebut.
Dalam usaha mereka meneruskan perjalanan mereka, Abu dan kawan-kawannya menemui sebuah rumah besar yang kosong. Ada pondok kecil bersebelahannya. Keadaan tersebut semakin menaikkan semangat mereka. Akhirnya mereka bersetuju untuk menyiasat tentang rumah besar dan pondok kecil itu. Akhirnya mereka menemui dan menangkap budak yang mencuri bekal mereka tempoh hari.
Penemuan Rosli, budak yang mencuri bekal mereka telah mencetuskan satu pengisahan lain. Rosli yang tiada lagi mempunyai ibu bapa, hanya tinggal dengan datuknya. Kehidupan yang daif Rosli dan datuknya telah menginsafkan Abu dan kawan-kawannya. Pelawaan datuk Rosli kepada mereka untuk makan tengah hari bersama disambut mesra oleh Abu dan kawan-kawannya. Di samping itu datuk Rosli bercerita tentang tempat berkenaan.
Kesan pertemuan itu telah membuka hati Abu dan kawan-kawannya untuk membantu Rosli dan datuknya. Walaupun pengembaraan mereka kali ini untuk melihat air terjun tidak kesampaian, namun Abu dan kawan-kawannya merasakan bahawa pengalaman mengetahui tentang kesusahan dan kepayahan menjadikan mereka lebih matang. Inilah mesej paling besar dalam “Jangan Ikut Jalan Ini”

4.0 MEMBINA NILAI POTENSI DIRI

Dalam usaha membina nilai potensi diri, seseorang memerlukan kekuatan dari segi mental, fizikal, emosi dan spiritual. Kekuatan mental terjana melalui kemahiran berfikir iaitu ilmu. Hal ini paling asas. Kekuatan fizikal pula memerlukan badan dan fikiran yang sihat. Kekuatan emosi terpupuk melalui kematangan menilai dan kekuatan spiritual tersemai dengan nilai kepercayaan.
Keempat-empat elemen yang mendasari atau mendukung nilai potensi diri ini, wujud melalui psikologi sosial, konsep kendiri, pembentukan sikap dan pemikiran positif. Keempat-empat elemen ini melingkari nilai potensi berdasarkan daya upaya individu itu sendiri. Terpulang kepada individu menjadikan dirinya sebagai apa.
Melalui penelitian ini, kita cuba menjadikan karya sastera sebagai satu proses rangsangan minda kepada pembaca bagi menimbulkan kesan positif dan seterusnya membina nilai potensi diri pembaca. Kesan tersebut sudah tentu memberi pulangan berguna sebagai seorang pembaca, selaras dengan peranan sastera yang memanusiakan manusia.

4.1 Psikologi Sosial

Psikologi sosial menumpukan perhatian terhadap tingkah laku sosial manusia. Tumpuan utamanya adalah untuk memahami mengapa dan bagaimana manusia bertingkah laku, berfikir dan merasakan di dalam situasi yang melibatkan kehadiran orang lain sama ada secara nyata ataupun secara simbolik. Menurut Albrecht (1987) psikologi sosial ialah suatu bidang yang cuba memahami dan menerangkan bagaimana fikiran, perasaan dan tingkah laku individu dipengaruhi oleh jangkauan, khayalan ataupun kehadiran orang lain bersamanya..
Kesan ini jelas terpapar dalam dialog antara Rukiah, Yahaya dan Majid dalam halaman dua, novel “Bendera Merah Di Atas Bukit”. Pertikaian tentang jangkauan dan khayalan menimbulkan suatu perbahasan tentang kebiasaan yang mungkin mempunyai keluarbiasaannya. Perhatikan dialog tersebut;

“Buat apa?” Rukiah pernah membantah
“Kita tengok keadaan sungai” jawab Majid
“Macam kita tak pernah tahu tentang sungai pula,” kata Yahaya pula
“Memang kita tahu tapi setakat mana? Kita tak tahu apa sebenarnya ada disekelilingnya. Kita hendak tahu semua itu. Lagi pula kita nak biasakan berjiwa pengembara sedikit,” kata Majid

(Bendera Merah Di Atas Bukit, halaman 2)

4.2 Konsep kendiri

Konsep kendiri ialah gambaran sikap, kepercayaan, nilai, keinginan, tanggapan dan harga diri. Ia penting dalam menentukan personaliti seseorang. Ini penting kerana konsep kendiri yang positif atau negatif tidak terbentuk secara warisan. Menurut Worchel (2000) kepercayaan yang dibentuk sejak kecil adalah manifestasi zahir seseorang individu itu apabila ia dewasa kelak.
Azizi (2005) juga menegaskan bahawa Rogers menjelaskan bahawa konsep kendiri bermaksud definisi diri yang kita berikan kepada diri kita secara sedar apabila menggunakan perkataan saya, iaitu ia adalah suatu gambaran persepsi kendiri yang tersusun serta dapat dibawa ke peringkat sedar. Pembawan ini termasuklah kita berdepan dengan individu lain dalam memutuskan kehendak bersama.
Berdasarkan kedua-dua kenyataan tersebut, jelas bahawa konsep kendiri bukan sahaja melihat upaya dirinya tetapi juga menjadikan persekitarannya sebagai dorongan dan sokongan mempertingkatkan nilai konsep itu sendiri. Ini jelas dipaparkan oleh A. Samad Said dalam novel kanak-kanaknya “Jangan Ikut Jalan Ini”. Perhatikan penceritaan dan dialog tersebut;
“Jadi, kita mesti selidik sendiri,” kata Majid
“Saya setuju. Jangan lengah-lengah lagi. Kalau sesat ada kompas ni,” kata Yahaya.

Seperti biasa Abu tidak akan puas hati dengan mereka berkata setuju sahaja. Dia ingin melihat tangan yang diangkat sendiri. Dia menyuruh mereka mengangkat tangan tanda setuju. Majid dan Yahaya mengangkatnya penuh yakin. Munir, Rukiah dan Esah mengangkat perlahan-lahan, kemudian lurus tangannya. Cuma Zaitun yang masih ragu-ragu, tetapi akhirnya mengaangkat tangan separuh bengkok.

“Kalau gitu kita ikut jalan penuh semak,” kata Abu, mula bangun.

Kawan-kawan lain pun kemudiaannya bangun berpandangan sesama sendiri, ada yang yakin, ada yang ragu-ragu. Munir sendiri lebih ragu-ragu, walaupun dia selalu pergi ke tempat air terjun itu bersama kawan-kawannya. Tetapi di dalam kumpulan Abu ini dia akan jadi pemandunya, dan dia juga yang akan menjadi ketua nombor dua. Sebagai ketua, dia mesti menjadi teladan – dia mesti berani dahulu. Dia pun menegakkan badannya, membesarkan sedikit dadanya.
(Jangan Ikut Jalan Ini, halaman 36-37)


4.3 Pembentukan Sikap

Sikap adalah sesuatu yang dipelajari melalui pengamatan, pendengaran dan pengalaman. Dengan kata lain, sikap adalah tindakan dan tingkah laku diri berlandaskan cara fikir seseorang individu. Dua orang yang mempunyai cara fikir yang berbeza akan bertindak balas secara berbeza juga terhadap sesuatu peistiwa atau persekitaran. Cara fikir merubah tingkah laku seseorang dan mempengaruhi sikap seseorang. Cara fikir sebenarnya dipelajari dan ditiru.
Pada umumnya, para sarjana bersetuju bahawa sikap merupakan faktor penting dalam menentukan kejayaan seseorang dalam kehidupannya. Menurut Brecht (1996) pembentukan sikap berdasarkan kehendak yang wujud dalam minda yang lazimnya berupa angan-angan dan impian. Angan-angan dan impian ini akan bertukar menjadi bentuk aspirasi, cita-cita, niat dan wawasan apabila disertai oleh keazaman mencapai atau memperoleh sesuatu. Keberanian itu perlu kerana ia adalah pendorong kepada perubahan tingkah laku.
Hal ini juga digambarkan oleh A. Samad Said dalam novel kanak-kanaknya “Bendera Merah Di Atas Bukit” dan “Jangan Ikut Jalan Ini”. A. Samad Samad menyedari bahawa pembentukan sikap dalam watak kanak-kanak dalam kedua-dua novel ini, ditekuni melalui nilai angan-angan yang kemudiannya diterjemahkan menjadi cita-cita. Perhatikan dialog dan penceritaan yang mengemukakan nilai pembentukan sifat.
“Kita tak mau seronok,” kata Yahaya
“Kita nak jadi mata-mata gelap, kita nak jadi pengembara sedikit. Itulah semangat yang perlu ada.”
“Bukanlah pula ertinya bersampan di sungai tu tak boleh jadi mata-mata gelap dan pengembara pula,” kata Majid
“Awak tak dengar cerita Robinson Crusoe? Kita nak jadi macam itulah”

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 5)

Abu mengharapkan Zaitun tidak akan merasa rugi mengikut mereka, sebab tujuan mereka ialah menyelidik dan mencatat sesuatu yang benar. Kalau ini sudah dapat ditanam di dalam jiwa anak muda, menurut Cikgu Musa, anak muda tidak harus takut, selagi tidak diuji keberaniannya, menurut Cikgu Musa lagi.

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 38)

“Nampaknya kita semua ni semakin berani pula sekarang,” kata Abu.
“Baguslah kalau gitu. Tapi ingat-ingat. Berani saja pun tak boleh. Kita terpaksa berfikir-fikir juga. Kalau berani membuta-tuli kata orang tua-tua, segala usaha akan sia-sia juga”

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 46)

4.4 Pemikiran Positif

Pemikiran positif memberi nilai hasil yang juga positif. Positif di sini bukan sahaja menyentuh soal berfikiran secara positif tetapi juga merangkumi emosi yang positif. Dalam konteks berfikir positif, penerimaan dan penilaian selalunya menentukan kesan yang baik. Walaupun yang terpapar agak negatif sifatnya, namun impak positif diambil kira sebagai keutamaan.
Berlainan pula dengan konsep emosi yang positif. Secara umumnya, berfikir dan emosi terjalin dalam dimensi yang sama dalam konteks pemikiran positif. Tetapi bagi memudahkan perkaitan dengan teks yang diperbincangkan, emosi yang positif ada hubung kait dengan soal Emotional Intelligence atau Kebijaksanaan Emosi. Ini penting dalam membuat penyesuaian tentang fikiran dan emosi.
Menurut Lupton (1998) emosi adalah fenomena yang terbentuk, dialami dan diinterpretasikan melalui proses-proses sosial dan budaya. Dalam kata lain, emosi terbentuk melalui pengalaman yang terhasil daripada interaksi kita dengan orang lain dalam konteks sosial yang pelbagai. Sedangkan fikiran yang kita anggap kecerdasan intelek menurut Mohd. Azhar (2003) sebagai kecerdasan otak atau merujuk kepada kemampuan otak berfikri, memahami dan mentafsir.
Menurut Costa dan Lowery (1989) daya fikri itu adalah sesuatu aktiviti yang abstark dengan mengambil kira penilaian emosi. Justeru, tegasnya, beberapa ciri yang membentuk pemikiran positif ialah;
(i) reflektif iaitu individu berfikir tidak terburu-buru,
(ii) fleksibel iaitu individu yang suka menerokai kemungkinan-kemungkinan, alternatif-alternatif dan pilihan-pilihan,
(iii) suka mencari masalah iaitu individu yang suka mengenal pasti masalah
(iv) suka menyelesai masalah iaitu individu yang berminat menyelesaikan masalah secara berdikari tanpa mudah menyerah kalah
(v) membuat pengesanan diri iaitu individu yang berfikir tentang berfikir
(vi) penggunaan bahasa yang tepat iaitu individu yang cekap berfikir tepat dan lengkap
(vii) pemindahan pengetahuan kepada situasi baru iaitu individu yang mampu mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi semasa
(viii) penggunaan pengetahuan lama dan pengalaman iaitu individu yang mampu dan mahir menggunakan pengetahuan dan pengalaman lama dengan mengaitkan dengan pengetahuan dan pengalaman baru.

Pemikiran positif merupakan elemen yang paling banyak terpapar dalam kedua-dua novel kanak-kanak A. Samad Said ini. Selaras dengan tujuan membina nilai potensi diri di kalangan kanak-kanak waktu itu, A. Samad Said berjaya mengemukakan karya yang memenuhi keperluan semasa. Sebagai contoh, akan diperturunkan beberapa bahagian novel kanak-kanak “Bendera Merah Di Atas Bukit” dan “Jangan Ikut Jalan Ini” untuk diteliti. Aspek pemikiran positif bagi membina pengetahuan, pengalaman, kesepakatan, kesatuan dan keharmonian jelas dipaparkan dalam dialog dan penceritaan berkenaan;
“Kita harus tahu bagaimana orang lain hidup. Kita ni asyik banyak menengok motokar dan bas sahaja,” kata Abu

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 13)

Saya setuju dengan pelawaan awak untuk ke Tanjung Karang. Saya memang tidak tahu benar hidup orang-orang di situ. Saya ingin belajar. Ingat kata guru Ilmu Alam kita? Katanya, kita semua perlu belajar tentang hidup orang-orang di sekeliling kita.

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 17)

“Sekali lagi saya kata, jangan bergaduh. Saya tahu awak bertiga semuanya buat kerja. Saya suka kita semuanya buat kerja. Kalau dengan cara ini, apa yang kita inginkan akan tercapai. Bersatu kita teguh...”

“Bercerai kita runtuh,” sambut Yahaya, Majid dan Rukiah

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 18)

“Kalau tidak berunding boleh , Kiah. Tapi kerja tidak teratur. Kita berunding untuk bersatu, untuk cari jalan bersatu,” kata Abu

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 19)

Banyak juga buku detektif yang dia baca dan barangkali dia boleh menggunakan pelajaran-pelajaran yang didapat dari buku tersebut.

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 22)

“Awak semua begitu percaya akan berjaya. Baguslah. Tapi saya tidak begitu yakin. Biar pun begitu janganlah ini melemahkan hati pula. Kalau kita tidak berjaya, kita tidak akan berhenti. Kita akan terus berusaha. Rajin dan tekun itu, kata orang tua-tua, tangga kejayaan.”

(Bendera Merah Di Atas Bukit; halaman 32)

“Kita tak mahu lambat-lambat. Segala janji mesti ditepati. Kita tak mahu buang masa. Masa itu emas.”

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 2)

“Berapa kali sudah saya kata; belajar bertanya. Malu bertanya sesat jalan kata orang tua-tua,” kata Majid

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 3)

“Nampaknya kenalah kita pakai suara terbanyak,” kata Abu.
“Muafakat tu berkat, kan?”

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 6)

“Jangan khuatir,” kata Yamin, tersenyum.
“Kalau jalan cermat-cermat, kalau jalan ikut peraturan, kita akan selamat.”

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 25)

“Kita tak boleh buang masa,” kata Abu.
“Ada peluang belajar, kita belajar. Biar sedikit pun, kita belajar.”
“Dalam tidur pun kita mesti cari ilmu,” kata Yahaya ketawa.

(Jangan Ikut Jalan Ini; halaman 26)

5.0 PENUTUP

Membina nilai potensi diri, khususnya di kalangan kanak-kanak menjadi tanggungjawab bersama. Dalam hal ini, kita harus melihat dan menilai kembali peranan sastera sebagai wahana ke arah tersebut. Sastera tidak harus berdiri sebagai satu seni semata-mata tetapi harus berpijak sebagai pemangkin mencetuskan nilai baharu dalam horizon pemikiran.
Sasterawan seperti A. Samad Samad telah melakukannya melalui novel kanak-kanaknya “Bendera Merah Di Atas Bukit” dan “Jangan Ikut Jalan Ini”. Walaupun sasaran jelas kepada kanak-kanak, usaha ini harus diperkembangan ke peringkat remaja dan dewasa. Keperluan ini selaras dengan perkembangan semasa yang cukup mendesak perubahan sama ada sosial mahupun budaya generasi masa kini.
Apapun, usaha memperlihatkan novel kanak-kanak ini melalui nazrah motivasi yang berpaut pada nilai potensi diri sebagai satu permulaan. Sudah tentu banyak berlaku kelompongan serta kelemahan dari segi penerapanya. Namun, kita masih percaya bahawa sastera seperti yang dilahirkan oleh A. Samad Said melalui novel kanak-kanak ini harus dilihat dalam kasus yang besar dan penuh pengertiaan.
Usaha ini penting, agar generasi yang kita bina hari ini mempunyai kekuatan bukan sahaja mental, fizikal, emosi dan spiritual tetapi juga mempunyai kekuatan berdepan dengan nilai dan cabaran semasa. Mungkin apa yang terpapar pada tahun 80-an tidak sehebat apa yang didepani generasi kita pada alaf 21 ini. Justeru, kita makmurkan sastera sebagai perintis membina nilai potensi diri. Walllahualam.

Khamis, 16 April 2009

SEBUAH PENELITIAN KARYA DAHIRI SAINI

CINTA HANYA IMPIAN, INSPIRASI SUMBER KEJAYAAN DALAM "CINTA & INSPIRASI"

1.0 PENGENALAN

Motivasi dan pembangunan diri adalah satu keperluan dalam kehidupan individu, kerana setiap individu sentiasa memerlukan bimbingan, pengetahuan dan penerokaan yang tidak putus-putus selagi hidup. Tujuan setiap individu dalam memaknakan kehidupan ini ialah untuk mencapai kejayaan dalam kehidupannya. Ibu bapa mengharapkan anak mereka berjaya dengan keputusan cemerlang dalam persekolahan. Kecemerlangan yang mereka capai adalah jaminan kehidupan yang lebih baik.
Seorang pekerja memerlukan motivasi dan pembangunan diri untuk kemajuan kerjayanya. Apatah lagi dengan keadaan pengurusan kerja yang memerlukan pekerja sentiasa bersedia menerima dan mengikut perubahan dari semasa ke semasa. Suami-isteri juga memerlukan motivasi dan pembangunan diri untuk kedamaian rumahtangga serta membesarkan anak-anak yang bakal mewarisi kehidupan. Justeru, sifat manusia tidak statik. Ia dinamik, berubah ke arah kebaikan dan kesempurnaan, bukan berpatah-balik ke belakang dari elok ke buruk.
Potensi manusia tidak ada batasnya, cuma kadang kala manusia sendiri membataskan dirinya untuk maju. Batasan ini adalah disebabkan oleh terbatasnya pemikiran mereka. Individu bernama manusia ini seharusnya menyemai mindanya dengan pemikiran besar kerana mereka tidak dapat memperolehi pencapaian yang lebih baik daripada apa yang mampu mereka fikirkan.
Menurut Azlena (2004) perbezaan di antara manusia biasa dan manusia genius bukannya terletak pada gen tetapi terletak pada diri manusia sendiri. Menurut pakar neurosains manusia biasa dan manusia genius berbeza dari segi sejauh mana mereka berjaya menggunakan potensi otak secara berkesan untuk mencapai sesuatu matlamat.
Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad (1994) pernah menegaskan sewaktu mengutarakan Wawasan 2020, bahawa pada hari ini tumpuan kita ialah perluasan paradigma. Kalau kita percaya pencapaian kita hanya setakat itu, dengan sendirinya pencapaian kita terhad setakat itu. Sikap itu mewujudkan halangan yang menghadkan pencapaian kita. Sebenarnya kita mempunyai kemampuan yang jauh lebih daripada yang kita percaya kita miliki.
Hukum Hullian mengatakan bahawa Pencapaian = Dorongan X Amalan. Berdasarkan hukum berkenaan , pencapaian memerlukan dorongan yang diwujudkan oleh motivasi dengan amalan yang berkali-kali serta berterusan. Ini selaras dengan kenyataan Ziglar (1974) yang menegaskan bahawa kita dilahirkan untuk menang dan menang tetapi suasana yang menyelubungi hidup kita telah memerangkap diri kita untuk kalah sekiranya kita idak mampu mendepaninya.
Begitu juga dengan pendapat seorang falsafah Cina, Lao Tzu yang mengatakan bahawa perjalanan beribu batu dimulai dengan setapak langkah. Justeru, kiranya kita ingin berjaya dalam kehidupan, mulalah mengenal kaedah untuk berjaya dengan memeriksa diri. Ini penting, sesuai dengan kenyataan tokoh falsafah Yunani Purba, Socrates, bahawa kehidupan yang tidak diperiksa adalah kehidupan yang sia-sia.
Pemeriksaan diri ini perlu kerana kejayaan tidak datang menggolek, Kita kena berusaha memperolehnya. Kopmeyer (1991) seorang pakar motivasi juga pernah menyatakan bahawa kita mesti sering bertanya tentang jalan kita untuk menuju kejayaan. Maknanya kejayaan mestilah difikirkan terlebih dahulu. Ia bukan datang secara tiba-tiba. Gesaan ini akan mewujudkan penilaian diri dalam kehidupan kita.

2.0 INSPIRASI DAN MOTIVASI

Inspirasi adalah perubahan dalam pemikiran dan motivasi pula adalah perubahan dalam tindakan. Inspirasi wujud kerana motivasi dan motivasi wujud kerana inspirasi. Kedua-duanya saling berkaitan. Gabungannya seperti duit silling yang mempunyai dua permukaan. Saling lengkap melengkapi. Menurut Shiv Khera (1998) motivasi bagaikan api yang akan padam melainkan “bahan api” sentiasa diberi kepadanya. Bagaimana pun, jika sumber motivasi tersebut lahir dari kepercayaan terhadap nilai dalam diri sendiri ia akan kekal lama.
Istilah motivasi berasal daripada perkataan Latin movere yang bermakna bergerak atau menggerakkan. Oleh yang demikian, istilah motivasi bermakna mendorong, mengarah dan mengekalkan sesuatu tingkah laku ke arah yang lebih baik atau yang lebih berjaya. Bidang motivasi menjawab pertanyaan “mengapa” tentang tingkah laku, iaitu sebab-sebab yang mendorong manusia melakukan pelbagai perbuatan atau tindakan untuk lebih baik atau untuk lebih berjaya.
Motivasi juga adalah sesuatu yang menggalakkan tindakan dan perasaan. Untuk memotivasi, bermakna untuk menggalakkan dan memberi inspirasi. Motivasi juga bermaksud untuk merangsang atau menyalakan perasaan dan tindakan. Motivasi mempunyai kuasa hebat. Ia boleh memujuk, menyakinkan dan mendorong kita melakukan suatu tindakan atau juga dianggap sebagai pendorong untuk bertindak. Ia adalah daya secara harfiah boleh mengubah kehidupan kita.

3.0 TEORI ESTIM

Menurut Ainon (2003) konsep “estim” di Barat mempunyai banyak persamaan dengan konsep “maruah” dalam psikologi orang Melayu. Justeru, teori estim yang akan dibincangkan lebih tertumpu pada nilai maruah yang dicirikan melalui tingkah laku yang menjadi sebahagian konsep estim ini iaitu;
a. Menghargai diri sendiri
b. Menganggap diri sendiri sesuatu yang penting
c. Sanggup bertanggungjawab atas tingkah laku dan perbuatan sendiri
d. Menganggap orang lain mulia dan berinteraksi dengan mereka dengan cara yang memuliakan mereka.
Estim adalah perasaan yang dirasakan tentang nilai diri sendiri. Ia juga merupakan sebahagian unsur yang terdapat dalam konsep diri sebagai bahagian yang menilai diri sendiri. Penilaian diri yang menyeluruh ke atas diri sendiri kemudian menggabungkan konsep diri dengan dirinya menghasilkan makna untuk menghargai tentang dirinya sendiri. (Ainon:2003)
Menurut Dr. Denis Waitley (1979) estim mempunyai perkaitan yang amat kuat dengan keyakinan dan kejayaan yang tertunas dalam konsep diri sendiri. Salah satu kesan penting estim adalah mental yang sihat. Individu yang mempunyai estim yang tinggi, puas hati dengan tindakan dan usaha mereka serta memandang kehidupan dengan sikap positif. Sedikit kritikan berkenaan peribadi atau kebijaksanaannya daripada orang lain tidak mengganggu pemikiran dan perasaannya
Menurut pakar psikologi ada beberapa faktor yang menjadi sumber estim iaitu agama sebagai pegangan nilainya, mental yang sihat mewujudkan kepintaran, bakat dan kebolehan, berkomunikasi dengan bahasa yang positif dan persekitaran serta pencapaian terbias yang mendorong ke arah yang positif. Justeru, dalam konteks perbincangan teks Cinta & Inspirasi, teori estim akan menjejaki faktor-faktor yang menjadi pendukung kepadanya kesjahteraan hidup dan kejayaan yang terdapat dalam watak utama dan watak sampingan.

4.0 CINTA & INSPIRASI

Novel sulung Dahiri Saini ini secara umumnya merupakan novel yang mengisahkan Suludin, mahasiswa tahun akhir dalam bidang Bioteknologi yang dianggap bidang kurang penting mengusahakan hampir tiga tahun mengutip najis lembu untuk dijadikan baja organik. Di samping itu, dia juga membuat satu kajian keterbalikan najis lembu sebagai tesisnya. Usaha mulanya mengutip najis lembu untuk membuat baja tidak disenangi oleh masyarakat sekelilingnya dan dianggap memalukan.
Walaupun demikian, berkat usaha untuk membantu masyarakat kampungnya menyelesaikan masalah najis lembu dan memanfaatkan najis tersebut untuk kegunaan yang wajar; dijadikan baja yang kemudiaannya berkesan serta berpotensi menyubur tanaman, akhirnya usaha Suludin berjaya menarik perhatian hingga mendapat tempahan di luar kawasan kampungnya. Hasil kajiannya tentang keterbalikan najis lembu juga melayakkannya sebagai penerima Anugerah Graduan Genius Universiti. Isu utama yang terserlah dalam novel ini adalah daya kegigihan, usaha berterusan dan nilai keyakinan tinggi menjadi asas keperluan untuk mengecapi satu kejayaan. Ini sesuai dengan tuntutan estim iaitu mencapai kesejahteraan hidup dan kejayaan.
Sebagai perbandingan bagi memberi gambaran yang lebih mudah tentang teks ini, penulis perturunan sinopsis yang terdapat pada "blurb" novel berkenaan dengan kenyataan seorang pengkritik hebat di Sarawak.
“Cinta menurut Suludin menyaingi sepupunya sendiri, Ruslan. Inspirasi yang dikendongnya pula memaksa Suludin memendamkan sahaja perasaan kasihnya pada?= (terhadap) Siti Sahirah. Mestipun dia tewas oleh tuntutan kebendaan namun Suludin cekal meneruskan cita-citanya dengan saki-baki dorongan daripada teman-teman dan keluarga Jauh di lubuk hatinya dia cukup pasti rentasan minda terhadap kekasih hatinya mampu disimulasikan dalam halusinasi yang jujur dan ikhlas. Dia percaya setiap hasrat yang jujur dan ikhlas itu diterjemahkan oleh Yang Maha Berkuasa dalam ulitan naluri yang saling memahami" (Sinopsis pada "blurb")
“Novel ini sebenarnya berada di persimpangan antara novel dewasa yang serius dengan novel remaja. Yang menjadi obsesi utama pengarang dalam novel ini ialah percubaan untuk menyerlahkan kegigihan watak utama dalam mencapai cita-citanya mestipun berdepan dengan pelbagai cabaran. Cabaran utamanya ialah perspesi masyarakat yang menganggap pekerjaan yang dilakukannya itu kotor dan pelik. Cinta dalam novel ini sekadar menjadi kisah atau rencah sampingan menyedapkan cerita. Ada usaha untuk menimbulkan daya tarikan dengan mengadun kisah cinta dan konflik tetapi kisah cinta tidak cukup tebal untuk mencengkam pembacaan golongan remaja”
(Jeniri Amir; Jendela Sarawak Dis. 2003)
Berdasarkan kedua-dua kenyataan tersebut dapat dirumuskan bahawa novel Cinta & Inspirasi ini hanya merupakan novel yang menjadikan cinta sebagai satu impian seorang lelaki terhadap seorang wanita yang diminatinya dan mendukung inspirasinya sebagai satu motivasi diri yang merangsang kejayaannya mencapai cita-citanya bagi mendepani masyarakat yang tidak menyakini cita-citanya di samping membuktikan bahawa (meminjam istilah pengarang) yang busuk tidak selamanya busuk.
Benar, kalau kita mengharapkan novel ini merapu dengan kesan dan teknik khas tentang cinta remaja yang romantik seperti novel remaja yang kovensi , pasti kita kecewa. Cintanya hanya cinta yang disimulasi dalam impiannya sahaja. Cinta yang hanya tercipta dalam ilusi. Tidak pernah terungkap. Hanya digapai angan-angan keinginan seorang lelaki. Namun, kiranya kita membaca mencari kelainan dalam menilai sebuah cinta pada kejayaan dan cita-cita yang tinggi, novel ini penulis anggap sebagai berjaya memberi satu tujahan makna baru dalam diri remaja.

5.0 TEORI ESTIM DALAM CINTA & INSPIRASI

Apabila memperkatakan tentang teori motivasi iaitu teori estim dalam novel Cinta & Inspirasi ini penulis hanya akan menumpukan nilai diri yang ada pada watak melalui garapan pengarang. Pengarang, pada tanggapan penulis mampu menjadikan novelnya sebuah novel yang mendorong, mengajak dan merangsang pembaca untuk membuka minda dan berfikiran positif. Nilai ini terisi dengan faktor yang mendukung teori estim sama ada bagi watak utama atau watak sampingan yang lain.. Justeru, landasan ini dijadikan penulis sebagai dasar perbincangan.
Penulis percaya, mesej utama pengarang adalah untuk memberitahu khalayak pembaca bahawa pendirian beliau melalui watak Suludin adalah tentang sesuatu kejayaan memerlukan rangsangan dan dorongan sebagai sumber inspirasi. Kemudian inspirasi tersebut menjadi motivasi untuk menggerakkan usaha ke arah kejayaan. Pengarang juga cuba "berpesan-pesan" melalui dakwahnya sebagai nilai diri kepengarangannya.
Semuanya digambarkan melalui falsafah, prinsip dan mesej tertentu sama ada dalam dialog atau pun gambaran suasana. Pengarang berjaya memperihalkan “najis lembu” sebagai idea cerita dan membangkitkan rasa serta makna perjuangan bagi keseluruhan penceritaannya. Justeru penulis amat bersetuju dengan kenyataan Jeniri Amir dalam ruangan Resensi Buku, Jendela Sarawak Disember 2003, yang mengatakan bahawa novel Dahiri mengutamakan pengajaran. Sebagai renungan bersama, hasil satu kajian pakar psikologi mendapati bahawa individu yang memiliki estim tinggi mempunyai pemikiran yang tinggi dan suka meramalkan perkara-perkara positif.

5.1 Berpegang Kepada Nilai Agama
Agama adalah sumber estim yang penting bagi manusia. Tanpa agama manusia tidak mempunyai tujuan dan pedoman hidup. Orang yang sangat beriman pada agamanya dan sentiasa melakukan apa-apa yang dianjurkan oleh agamanya dan menghindari apa-apa yang ditegah oleh agamanya dan berfikir demi memperbaiki diri dan masyarakatnya. Pengamalnya akan mendapat estim yang besar, kerana mereka orang yang baik dan mulia di sisi Tuhan dan pandangan manusia lain.
“Kalau dah selesai tu, mari kita berjemaah sama-sama. Sekurang-kurangnya tak kuranglah sangat saf tu” ujar Haji Mukmin
(halaman 4)
Baginya, tugas yang dilakukannya satu ibadah. Dari membiarkan najis lembu berselerak di jalan raya…
(halaman 7)
“…kan dalam Al-Quran ada tercatat, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya…”
(halaman 18)
“…apa yang penting kau tidak menyakiti hati orang. Tentu kau tahu, Tuhan tu maha besar dan maha mengetahui”
(halaman 44)
“Menyakiti hati orang membuat hati kita sakit lalu mencetuskan kemarahan kedua-dua pihak. Anggaplah apa yang berlaku adalah rencah kehidupan untuk mengenal kekeluargaan”
(halaman 56)

Azan yang cukup mengusik dan mersik itu sebelum ini memang cukup menyentuh nalurinya. Dia bertanya, kenapa tidak ada sentuhan naluri orang lain yang memahami hakikat kebesaran dan kekuasaan Tuhan.
(halaman 80)

“Dah masuk maghrib, Ludin. Mari berjemaah di masjid, malam ini ada ceramah agama…”
(halaman 115)
Baginya kesakitan itulah pengalaman menjadi keindahan dalam kehidupan. Dari kesakitan itu juga dapat menguji sejauh mana kesabaran menangani setiap masalah
(halaman 227)

Apa yang penting seseorang itu bersemangat untuk mencapai cita-cita demi menjadi manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Itu perkara nombor satu dalam hidupnya.
(halaman 240)

Dalam surah Al-Bagarah ayat 286 ada menegaskan bahawa "Allah tidak membebani seseorang, melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.

Apa yang dia tahu, kerja yang baik dibalas dengan baik sementara kerja yang jahat dibalas dengan jahat. Begitu logik kehidupan. Suludin ingat sungguh-sungguh semua itu.
(halaman 252)
“Kebaikan, kejujuran, kesetiaan tunjang kehidupan, Ludin. Seperti juga agama kita harus menjaga rasa hormat tidak kira di mana saja berada. Berbakti kepada binatang tidak bererti kita tertinggal di belakang. Apa yang penting kita memahami apa yang telah hadir dalam kehidupan kita sebagai makhluknya. Sejarah sebahagian dari pengalaman dan pengalaman yang kau kumpulkan menjadi sejarah bagi kau untuk generasi baru” setiap patah kalimat Haji Mukmin kembali bergema dalam dirinya.
(halaman 390)
Menurut Nik Mustapha (1999) Islam menuntut umatnya supaya mencari peluang memperbaiki diri serta masyarakat dalam semua aspek kehidupan. Mereka harus merancang dan cuba membentuk masa hadapan yang sempurna. Ini boleh dilakukan dengan menerokai cara-cara baru menghasilkan sesuatu mengikut landasan spiritual.

5.2 Mental Yang Sihat
Menurut John Wilson (1968) kesihatan mental adalah dengan wujudnya keharmonian yang sebenar antara fungsi-fungsi jiwa serta mempunyai kesanggupan untuk menghadapi masalah-masalah biasa yang berlalu dan merasakan secara positif kebahagiaan dan kemampuan dirinya
Mental yang sihat melahirkan pemikiran yang sihat. Pemikiran yang sihat menunaskan kepintaran yang tinggi. Kepintaran pula merupakan satu keupayaan yang cukup luas. Ia terbina melalui perkembangan IQ yang sihat dan baik serta berani berdepan dengan pelbagai risiko atau cabaran. Orang yang mempunyai estim mementingkan pemikiran yang sihat dan baik di samping mempunyai konsep berfikir tentang persekitarannya.
Menurut Edward de Bono (1976) berfikir sebagai sesuatu yang berlaku di dalam minda dan merupakan proses sedar. Proses itu pula merupakan proses menyelesaikan masalah atau usaha mencapai sesuatu tujuan. Kepintarannya ini mewujudkan kemahiran berfikir yang tinggi dan mampu membuat penilaian terhadap persekitarannya sebagai sumber pemikiran.
“Kalau hendak berjaya dalam hidup harus berani menanggung risiko dan tabah menerima perubahan yang sudah pasti memerlukan ketabahan…setiap pekerjaan yang lahir dari keikhlasan mesti pun lahiriahnya tidak manis akan tetapi jika dilakukan dengan nawaitu yang maha suci pasti mendapat ganjaran yang setimpal. Lagi pun jika takut pada kegagalan bermakna kita belum bersedia menjelajahi kehidupan ini”
(halaman 9)
Apa yang penting kejujuran dalam pekerjaan adalah nawaitu yang harus dipertahankan di dalam hati
“Mencapai impian itu bukanlah perkara mudah, Ludin. Kita harus berkorban apa saja demi berjaya” ujar Haji Ibrahim
“…jangan sekali-sekali memperalatkan dan makan hak orang lain…”
(halaman 68)

…memang untuk berjaya kita harus mengawal keadaan dan perasaan…
(halaman 72)

Baginya impian itu tidak mungkin pudar dan padam dalam caturan hatinya. Impian yang bakal mencongak hala tujunya. Malah dia ingin membuktikan pada tanggapan orang selama ini, bahawa kerjaya yang dilakukannya bukan kerja sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat.
Baginya mengalah bukan prinsip yang ditanam sejak di bangku sekolah rendah lagi. Kekalahan sesuatu yang amat pahit untuk ditelan tapi tidak semestinya kalah sekali bererti noktah bagi mengejar impian.
Keyakinan itulah yang mendorong dirinya unuk memekak dan menulikan segalanya demi sebuah impian murni. Biarlah apasaja tanggapan dan andaian orang dijadikan sebagai satu pencetus motivasi dirinya menuju kejayaan yang diimpikannya selama ini.
(halaman 89)

Menurut Dr. Rohizani (2003) Dewey pernah menyatakan bahawa berfikir ialah usaha mengorganisasi pengalaman dan tingkah laku yang dilaksanakan dengan sengaja. Oleh itu berfikir bagi Dewey menekankan usaha untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sukar
“Hanya keyakinan tinggi dan cita-cita merealisasikan apa yang diciptakan”
(halaman 103)

“Kegagalan sekali bukan bererti selamanya, Ludin, Malah dari kegagalan itulah kita cipta sesuatu yang lebih baik, kerana tanpa kegagalan kita tidak dapat mengukur sejauh mana kesilapankita”
Hasil kegagalan itulah dia memahami makna sebuah kejayaan “Belajarlah mengenal kegagalan, sebelum menikmati kejayaan dalam hidup”
(halaman 110)

…kerana apa yang penting dalam hidup seseorang itu, makna kejujuran dan daya ingin maju yang tidak mengenal kegagalan dalam kehidupan…
(halaman 113)

“…hanya dengan penelitian dan kesabaran yang tinggi serta memiliki daya ketekunan saja seseorang itu mampu melakukan dengan baik dan sempurna. Apa pun saya beranggapan tidak ada yang mustahil jika benar-benar sanggup melakukannya…”
(halaman 116)

“…tidak ada yang mustahil dalam hidup jika ada keyakinan untuk maju dan berdaya saing…”
(halaman 117)

Menurut Bruner (1966) beliau menyatakan bahawa proses pemikiran berlaku dalam tiga proses iaitu pengolahan sebagai proses penerimaan dan pengamatan pengetahuan yang diperolehdaripada pengalaman, perubahan sebagai prosesmengubah pengamatan baru dan pengetahuan kepada bentuk yang lebih bererti atau yang lebih memberi makna dan pengujian sebagai proses yang lebih menjurus kepada tindakan yang dirangka bagi memberi pentafsiran yang tepat bagi pengetahuan yang sedia ada. Ketiga-tiga proses ini berlaku serentak.


“…di depan bermakna kita berfikiran terkehadapan menuju wawasan gemilang, bukan tertnggal di belakang mentelaah sejarah.
Mesti pun diakui tanpa sejarah siapalah tamadun manusia itu sendiri. Tidak salah melihat ke hadapan berkiblatkan sejarah…”
(halaman 124)

“…semua yang wujud di sekitar kita dapat diperoleh asal saja ada keyakinan dan daya saing minda kita meredah alur fIkir yang positif…”
(halaman 127)

“…setiap apa yang kita pelajari dan tempuhi dengan ikhlas dan jujur akan dibalas dengan kebaikan…lagi pun apa ditakutkan dengan kegagalan jika ia berlaku, mungkin ada kebaikannya…”
(halaman 173)

Menurut Werner (1984) manusia berpersonaliti waja diri mampu berkembang walalupun berada dalam keadaan kronik dan serba kekurangan.
“…kesakitan dan keburukan tidak dapat diteka dengan mata fikir. Apa yang penting kejujuran dan kesabaran dalam menanganinya mampu menjadikan kita berjaya. Setiap kejayaan itu memerlukan pengorbanan dan setiap kebusukkan itu bukan busuk buat selama-lamanya…”
“…doa dan usaha saling bergandingan dalam diri mampu menciptakan apa yang diimpikan…”
(halaman 174) Impian

“…setiap yang sakit, setiap yang pahit, setiap yang getir, setiap yang payah atau apa saja yang bernama kesukaran ada kenikmatannya jika kita tabah menghadapinya..”
“…baginya, setiap yang bernama perjuangan satu kebahagian yang mutlak…”
(halaman 187)

“Kesukaran itulah rencah dan makna sebenar kehidupan, lagi pun jika kita mengalah maka kesukaran itu pasti menang dengan kegagalan kita. Tidak semestinya kita yang tidak sempat belajar mudah mengaku kalah pada kehidupan. Apa yang penting kemahiran hidup dapat kita pelajari. Memang tidak dinafikan pelajaran penting, tapi kita jangan mudah mengaku kalah bahawa tanpa pelajaran juga seseorang itu berjaya dalam hidup. Cuma caranya berbeza dari apa yang sepatutnya”
(halaman 196)

Baginya tugas rutinnya tidak boleh diabaikan kerana untuk berjayadalam hidup disiplin diri harus diikuti, baru seseorang itu boleh maju dan berjaya. Dia ingat sungguh-sungguh prinsip itu.
(halaman 226)

“Kehidupan, kalau kita tidak memahami apa yang dituntutnya, maka jadilah kita seperti pungguk rindukan bulan. Sampai bila seperti pungguk itu, sedangkan sudah ada orang lain dapat menginjaki kaki di bulan hasil dari kerja gigih mereka. Mesti pun kita akur, kita tidak mampu seperti mereka, tapi sekurang-kurangnya kita ada wawasan tersendiri untuk merealisasikan impian kecil kita. Setiap insane yang bernama manusia ada impian kecil tersendiri untuk berjaya dalam hidup. Kalau kita tidak ada impian bermakna kita belum layak dijadikan manusia sempurna yang berakal dan berilmu”
(halaman 238)

Menurut Ainon (2003) kita mesti memaksa diri supaya mahu berfikir semata-mata demi pembaikan bukan disebabkan kita menghadapi sebarang masalah.
“Belajar dari kesusahan memberi pengalaman hidup yang berguna…kalau ada sarjana dalam bidang apa pun, jika tidak mahir dengan ilmu kemahiran hidup, tidak ke mana kita…”
“Bidang apa pun sama saja, jika tidak berusaha gigih dan bekerjakeras tidak mampu membawa kita pergi jauh. Lagi pun zaman siber sekarang atau sinonim zaman alaf baru orang lebih suka membuat kejutan demi kejutan untuk menarik perhatian umum..”
(halaman 256)

Bahawa ilmu kemahiran harus ada dalam diri kalau hendak berjaya dalam hidup. Sekaya mana pun seseorang itu, kalau ilmu kemahiran tidak ada, maka dia tidak akan berjaya dalam proses kehidupan sebenarnya
(halaman 268)

Jawi masih ingat Suludin pernah berkata padanya, bahawa hakikat kehidupan seperti bermain layang-layang di padang permainan dan seperti memancing ikan besar di dasar lautan. Haruspandai menghulur dan menarik laying-layang tersebut untuk menerbangkannya tinggi, begiu juga dengan memancing ikan, harus tahu bermain pancing menghulur dan menarik ikan kerana permainan tarik menarik memerlukan kesabaran untuk menaikkan ikan tersebut di daratan. Kemahiran dalam diri mesti ada, kalau tidak layang-layang akan putus talinya sementara tali pancing akan tersangkut.
(halaman 280)


Suludin yang telah mengejutkan semua orang bahawa genius itu tidak memilih kehidupan. Hanya kehidupan memilih kepakaran seseorang itu

(halaman 399)

5.3 Bakat dan Kebolehan
Bakat dan kebolehan menjadi sumber estim yang amat penting. Melalui bakat dan kebolehan ini, seseorang individu itu menjana estimnya dan kreativitinya semakin berkembang, terutamanya bidang yang memerlukan bakat dan kebolehan. Estim yang terbina daripada bakat dan kebolehan ini menjadikan individu berfikiran kreatif, kritis dan inovatif.

Sesuatu yang mustahil bagi dirinya, tapi tidak bagi minda dan impiannya. Kebusukkan menjadi kewangian sesuatu yang mencabardaya intelektualismenya. Dia tidak akan membiarkan sesuatu yang mustahil itu terus menjadi mustahil. Apa yang pernah dibacanya dlam majalah Biocycle sudah mencukupi baginya menyoal diri; Mengapa di India najis manusia boleh dijelmakan dalam bentuk gas? Di India juga najis lembu dijadikan rumah….Kemustahilan itulah sains dan teknologinya serta najis itu sumber yang harus dijelmakan dalam realiti alaf baru.

“Perkara yang merentas logika Bioteknologi jarang berlaku, Ludin. Tapi ia tidak mustahil berlaku kalau kita yakin dapat melakukannya kerana terjahan minda dan akal fikiran ada daya imaginasinya tersendiri dalam otak sebelah kiri manusia itu, sementara otak sebelah kanannya menerima logika teori yang berlaku. Apa pun ia terjadi hasil dari kerja keras dan keyakinan yang tinggi, saya rasa tidak mustahil berlaku pada perkara mustahil” ujar Profesor Opli Jang

(halaman 201)

“…saya percaya, ilmu sains kalau digabungkan dengan ilmu falsafah asasnya dan ilmu sastera kemustahilan yang mustahil itu dapat dijelmakan dalam minda kita” ulang Profesor Opli Jang lagi
(halaman 202)


“Memulakan sesuatu itu bermakna sebenar pengalaman dan kemahiran diri. Jika sudah melalui maka pengembaraan itu harus direntasi tanpa menoleh lagi untuk menggapai sarat harapan. Permulaan makna kesakitan dalam persoalan, tanpanya kita tidak temui kehidupan sebenar manusia”
(halaman 239)

“Apa yang penting sebagai generasi muda seperti kita, tidak boleh mengharapkan bantuan dari kerajaan saja. Kita kena mencari dan melakukan sesuatu yang boleh membanggakan kita sebagai warganya. Bukan mencipta kejutan demi kejutan yang melanggar etika kemanusiaan yang tengah tenat itu. Sekarang apa yang kita lihat kemanusiaan kita dilanda masalah sakit kejiwaan, cemburu, iri hati atau apa saja yang menjurus pada sakit kejiwaan. Berusaha tidak mahu tapi ada impian tinggi seperti bangsa lain. Tidak ke mana kita kalau impian tidak dapat dijelmakan dengan usaha dan kerja keras. Nak harap yang bulat bergolek atau yang leper melayang. Peribahasa itu kurang sesuai lagi pada alaf baru ni” Suludin semakin terangsang memberi pendapat
(halaman 257)

“Kau harus melalui semua ini, Wi. Lagi pun kau ingin belajarkan? Harga sebuah pengalaman tidak dapat dinilai dengan apa saja. Kemahiran mengendalikan pengalaman penting. Kau harus melaluinya…”
(halaman 265)

“Mengutip najis lembu seperti mengutip kesilapan dan kemalasan kita yang lalu, haji. Lagi pun najis lembu sering menjadi bahan bualan orang, kerana baunya yang menyengat itu. Bagi Ludin, ada baiknya dikutip dijadikan baja untuk ditabur pada tanaman yang tidak pernah berbaja sebelum ini. Sebab itu tanaman yang ditanam tidak sihat, layu dan kuning. Maka kemalasan mengajak kesilapan”

(halaman 282)

Abdul Rahman Aziz (1998) hukum kejayaan yang paling utama ialah berusaha dengan tekun dan tabah. Ketekunan dan ketabahan seseorang individu merupakan pengorbanan yang mesti dilakukan demi untuk mencapai kejayaan.

“Belajar dari permulaan mengajar kita erti kesabaran. Ingatlah memulakan satu titik permulaan memang sakit, tapi jika sudah melaluinya kita akan menemui keseronokkan hidup yang tiada taranya”
(halaman 283)

Apa yang pasti Suludin pernah berkata padanya, kejayaan tidak bermakna jika tidak ada dugaan dan ujian yang membentuk tekanan. Dan tekanan itu memaniskan kejayaan.
(halaman 290)

“Melakukan sesuatu yang baru banyak berdepan kesilapan Ludin. Memang tidak dinafikan sesuatu yang baru melakar kejayaan yang melonjakkan nama kau dalam Bioteknologi….Lakukan mengikut naluri kau sendiri tanpa prejudis, kerana desakan naluri dan rasa ingin tahu pasti tidak mengecewakan apa yang hendak dilakukan pada bidang yang pasti menuntut ketekunan dankesabaran kau…”
(halaman 294)

“Keberanian tidak terjelma jika kita mengalah pada kekalahan yang belum bermula. Jadi kita harus megambil risiko dan optimis…”
(halaman 304)


5.4 Persekitaran Serta Pencapaian Terbias Yang Mendorong
Kejayaan orang lain dapat menjadi sumber estim kepada seseorang. Contohnya, kejayaan ibu bapa dapat meningkatkan estim anak-anak. Estim melalui pencapaian terbias ini sentiasa bersifat positif. Inilah faktor yang menyebabkan manusia suka berkawan dengan orang yang berjaya, popular dan seumpamanya.
“Itu tidak penting, Ludin. Apa yang penting, aku dapat berkawan dengan seseorang yang berjiwa besar dan bercita-cita tinggi”
“…di universiti atau tidak seseorang itu bukan menjadi ukuran untuk berjaya dalam hidup. Yang penting semangat berani mencipta kehidupan itu sendiri…”
(halaman 42)

Hah, kau lihat saja cucu ayah yang dua orang ni. Sihat dan cergas. Ayah rasa hasil dari percintaan dan kejujuran serta didikan rohani dan jasmani yang kental dapat membentuk mereka berdua menjadi ceria dan riang” ujar Haji Ibrahim.
(halaman 208)

“Memang tidak dinafikan nilai kemanusiaan kita sedang nazak dalam zaman siber atau zaman alaf baru ni. Apa yang mengejutkan kita bukan mencipta kejutan yang positif tapi terkejut dengan anjakan paradigma negatif yang dipacu nafsu yang berhantu.Seorang ayang menjelmakan dirinya menjadi seekor haruan. Mata seorang perempuan membuang jauh sifat penyayangnya pada bayi yang baru dilahirkan. Seorang tua yang bergelar datuk membebaskan dii dari dunia tua yang lesap bukan dari perubahan kulit tapi perubahan santapan nafsu yang memuncak. Semuanya sakit tanpa rawatan. Remaja seperti kita buta tuli dengan perubahan darstik. Dadah, pil khayal, seks atau apa saja yang dapat membebaskan dari kekangan keluarga…”
(halaman 258)

“Apa yang aku kesalkan sikap kita sendiri yang masih diprogramkan dengan budaya akur. Kau dengar saja bila kita bercakap tentang lembu; bagai lembu dicucuk hidung, bodoh macam lembu. Tapi yang aneh dan peliknya sebodoh-bodoh lembu yang tercucuk hidungnya berbakti pada kita. Tenaganya membajak sawah, najisnya menyuburkan apa saja tanaman, malah benda yang penting dalam kehidupan seharian kita, susu lembu. Hampir 99 % kita meminum susunya setiap hari. Susu dari mahkluk yang kita anggap bodoh dan dungu memberi sumber khasiat pada kita. Di mana sebenarnya kita?..”
(halaman 266)

“…kau tentu tidak tahu bahawa dari minda kita dapat mengubah tanggapan asal jika kita mampu. Dan aku mampu lakukannya dengan rentasan minda yang positif, bukan rentasan minda yang negatif. Itu yang wajarnya. Satu lagi, jika ingin berjaya jangan takut melakukan kesilapan dan kemustahilan yang berasas dan wajar mengikut logik..”
(halaman 312)

“Jangan memaksa diri jika belum bersedia. Begitu juga untuk mengejar kejayaan, kerana paksaan tidak mendorong kita secara totalnya jujur dan ikhlas dalam sesuatu tugas yang diberi….ingat Wi, setiap kejayaan memerlukan tahap pengorbanan yang bukan sedikit. Kejayaan yang banyak pengorbanan adalah kejayaan yang paling bermakna dalam hidup seseorang itu. Kejayaan yang tidak ada pengorbanan tidak bererti apa-apa kerana yang melakar kejayaan tersebut tidak jujur dan ikhlas dalam dirinya”

“Tahniah, Ludin. Kau berjaya memberi sejarah dan pengalaman hidup pada kehidupan. Kau berhak menerima kejayaan mesti pun sebelum ini kerjaya dan kuliah kau dicemuh dan dicaci atas ketidakselesaan keadaan. Dan keadaan itu sendiri memberi tekanan dan ruang pada kau yang tidak pernah berasa putus asa adalah jati diri yang wajar dijaga dari dianiaya iri hati dan kecamuk perasaan”
(halaman 391)


5.5. Bahasa Positif Sebagai Nilai Komunikasi
Estim dikaitkan dengan bahasa positif . Gaya bahasa memancarkan estim seseorang. Individu yang mempunyai estim yang tinggi menggunakan ciri-ciri bahasa yang berbeza dan bahasanya kea rah yang positif.
“Harta seseorang itu bukan terletak pada kekayaan ,Wi, tapi harta seseorang itu ada pada kejujuran yang dimiliki. Tanpa kejujuran dalam diri tidak bermakna apa-apa kita sebagai hamba-Nya. Kekayaan tidak menjamin seseorang itu berjaya dalam hidup kalau ilmu kemahiran hidup tidak bersulam kejujuran yang tanpa paksaan”
(halaman 196)

Sahabat yang baik, sahabat yang memberi kehidupan, bukan menghadiahkan kemewahan.
(halaman 269)

Memang adik iparnya terlalu baik dengan semua orang. Dia tidak pernah mengeluarkan kata-kata kasar bila bercakap dengan orang. Malah orang saja yang berkasar dengannya. Apa pun dia tidak pernah berasa kecil hati dengan apa yang dilakukan orang padanya.
(halaman 220)


6.0 PENUTUP

Apapun, Dahiri telah cuba menggugah kita dengan persoalan yang cukup mudah tetapi besar maknanya. Walaupun novel sulungnya banyak "memberitahu" falsafahnya daripada "menceritakan" nilai falsafahnya, beliau sedar tanggungjawab untuk mengingatikan kita tentang pentingnya motivasi. Menurut Dr. HM Tuah Iskandar (2004) sesungguhnya motivasi adalah satu anugerah terbesar ALLAH terhadap hamba-hambanya. Kerana, kemahuan untuk hidup memotivasikan manusai, kemahuan untuk makan, pakaian dan tempat tinggal boleh merangsang manusia untuk berusaha tetapi motivasi itu adalah motivasi primer yang juga dimiliki oleh haiwan.
Manusia dibezakan dengan haiwan dari segi sudut motivasi sekunder yang mampu mempercepatkan langkah yang tadinya lemah, lembik dan lesu. Motivasi sekunder ini mampu membuat seorang wanita tua melompat melepasi longkang besar. Motivasi ini mampu menjadikan manusia itu super. Motivasi ini mampu menggerakkan manusia mengerjakan enam kerja serentak. Motivasi ini juga mampu menahan haus dan lapar dan motivasi ini mampu melakukan apa sahaja yang sukar pada pandangan kita.

Orang berjaya tidak melakukan perkara yang berbeza tetapi orang yang berjaya melakukan dengan cara yang berbeza.

Rabu, 15 April 2009

ALAM KITA

ETIKA ALAM SEKITAR
DALAM
"CERITA SEBUAH KAMPUNG CAHAYA" *


Memupuk kesedaran terhadap alam sekitar sudah sekian lama dilakukan. Apatah lagi dengan keadaan dunia yang semakin terdesak untuk memajukan kehendak manusia di samping tuntutan pemodenan prasarana demi kelangsungan hidup yang lebih canggih. Fenomena ini menjadikan sains dan teknologi mendominasi aplikasi kehidupan manusia. Usaha menyedarkan manusia tentang peri pentingnya alam sekitar kepada kehidupan manusia bukan hanya didorong oleh perlunya kehidupan tetapi juga keseimbangan yang menjadi faktor kelangsungan kehidupan. Sekiranya terabai, maka kesannya amat buruk terhadap manusia itu sendiri.
Alam sekitar adalah suatu perkataan yang amat biasa digunakan oleh manusia bagi menggambarkan fenomena yang wujud di sekeliling mereka. Perkataan "alam sekitar" atau dalam bahasa Inggeris disebut environment membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Oleh kerana itu, sekiranya berdasarkan kepada terjemahan literal, perkataan "alam sekitar" adalah merujuk kepada apa sahaja yang melingkungi dan mengelilingi manusia.
Definisi alam sekitar seperti yang dinyatakan tersebut secara langsung menolak fenomena sekeliling yang bukan fizikal. Di antara fenomena sekeliling yang bukan fizikal ialah fenomena yang meliputi suasana politik, ekonomi dan budaya sesebuah masyarakat. Namun, fenomena sosial seperti ini termasuk di dalam pengertian alam sekitar menurut pengajian Sains Sosial. Selain daripada itu, dalam pengajian keagamaan pengertian alam sekitar tidak terhad hanya kepada alam sekitar fizikal tetapi juga alam sekitar metafizikal yang dihubungkan dengan kuasa ketuhanan.
Istilah “etika” berasal daripada bahasa Yunani kuno. Kata Yunani ethos dalam bentuk tunggal mempunyai banyak erti antaranya tempat tinggal yang biasa, kandang, adat, akhlak, cara berfikir dan sebagainya. Dalam bentuk jamak, ethos bermaksud adat kebiasaan. Berdasarkan pengertian yang jamak ini maka terbentuk istilah “etika” oleh tokoh besar Yunani iaitu Aristotles (384-322 SM) dalam konteks falsafah moral.
Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia terdapat tiga ciri yang ditekankan sebagai bentuk tafsiran kepada makna etika ini iaitu;
a. etika yang dapat digunakan dalam erti nilai dan norma moral yang menjadi pegangan seseorang atau sekelompok dalam mengatur tingkah lakunya atau dianggap sebagai sistem nilai yang dapat berfungsi dalam hidup manusia individu mahupun pada tahap sosial.
b. etika sebagai ilmu bagi menentukan yang baik dan yang buruk. Atau juga sebagai kod etika
c. etika yang sama ertinya dengan falsafah moral
“Kemoralan” (daripada kata sifat Latin moralis) mempunyai erti yang pada dasarnya sama dengan moral, hanya mempunyai nada yang lebih abstrak. Justeru, yang dibicarakan tentang “kemoralan suatu perbuatan”, bermaksud moral suatu perbuatan atau baik buruknya. Etika dalam perbincangan ini nanti adalah menjurus kepada falsafah moral dalam konteks alam sekitar.
Krisis alam sekitar yang dihadapi oleh dunia hari ini, mula tercetus selepas Revolusi Industri yang berlaku di Eropah pada abad yang ke-18. Revolusi Industri ini membawa kesan yang menyeluruh bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi dan pertambahan populasi manusia tetapi juga kepada alam sekitar global. Aktiviti industri yang menghasilkan barangan bagi keperluan manusia mengeksploitasi sumber-sumber alam sekitar semula jadi secara besar-besaran. Perkembangan urbanisasi yang pesat pula menyebabkan berlaku kesesakan penduduk di kawasan bandar serta menyukarkan pengurusan persekitarannya.
Fenomena ini menggalakkan berlakunya pencemaran ke atas alam sekitar hasil daripada aktiviti-aktiviti manusia terutamanya perindustrian, sehingga mengganggu keselesaan hidup penduduk khasnya di bandar. Kesedaran secara langsung tentang krisis alam sekitar mulai timbul ekoran daripada terbitnya sebuah buku yang bertajuk Silent Spring pada tahun 1962.
Buku ini adalah hasil kajian seorang saintis wanita yang bernama Rachel Carson. Walaupun buku ini hanya menumpukan penjelasannya kepada kesan-kesan pencemaran akibat industri kimia ke atas alam sekitar, ia berjaya menyedarkan masyarakat dunia berhubung dengan krisis alam sekitar yang semakin meluas akibat sains dan teknologi di zaman moden.
Kesedaran alam sekitar yang dicetuskan Rachel Carson ini bukan sahaja menarik perhatian golongan saintis tetapi turut mempengaruhi para sarjana di dalam bidang-bidang yang lain. Pada tahun 1967 seorang ahli sejarah, Lynn White Jr., menulis sebuah artikel yang bertajuk The Historical Roots of Our Ecological Crisis. Artikel ini memuatkan pandangannya berhubung dengan faktor utama yang menyebabkan berlakunya krisis alam sekitar.
Menurut beliau, faktor utama yang mengakibatkan krisis alam sekitar ialah doktrin Yahudi-Kristian yang dikatakan melahirkan suatu pandangan alam atau worldview dalam kehidupan manusia, iaitu mereka diizinkan oleh Tuhan mengeksploitasikan alam sekitar demi kelangsungan atau survival hidup mereka. Lynn White Jr. mendakwa dengan berpegang kepada pandangan alam tersebut masyarakat barat khasnya menggunakan sains dan teknologi yang bersifat dinamik bagi mengeksploitasi alam sekitar tanpa batasan. Fenomena inilah yang menyebabkan gangguan dan kemerosotan kualiti alam sekitar secara lokal dan global.
Melalui sains dan teknologi, manusia mempunyai potensi besar untuk bertindak ke atas alam sekitar semula jadi menurut cita rasa mereka. Cita rasa manusia yang mendorong sesuatu tindakan atau aktiviti ke atas alam sekitar adalah dipengaruhi oleh pandangan semesta yang ada pada diri seseorang. Oleh yang demikian, krisis alam sekitar yang dihadapi oleh manusia hari ini adalah berkait rapat dengan pengaruh pandangan semesta seseorang.
Pandangan semesta yang tidak harmoni mendorong manusia menggunakan sains dan teknologi bagi merosakkan keseimbangan alam sekitar. Seharusnya disedari penyelesaian krisis alam sekitar zaman ini tidak memadai sekadar melaksanakan program perawatan alam sekitar, sebaliknya reformasi pandangan semesta adalah perlu ke arah pendekatan yang lebih holistik.
Kesedaran akan pentingnya pemuliharaan alam sekitar mula bangkit di dunia ekoran daripada krisis alam sekitar yang melanda. Menurut Zaini Ujang (1992) kesedaran itu begitu menyerlah sepanjang abad ke 20 sehingga mempengaruhi pelbagai bidang kehidupan, malah kemunculannya menjadi alternatif kepada pembentukan tata baru dunia atau new world order.
Justeru, pemikiran yang berteraskan alam sekitar dilihat mempunyai daya tolakan yang dominan untuk menentukan arah segala aspek kehidupan bagi mencapai matlamatnya. Gerak tindak serta arah tuju membina pembangunan dengan memelihara alam sekitar, memerlukan falsafah moral sebagai tunjang utama. Melalui Etika Alam Sekitar, dapat kita lihat dari DUA aspek yang utama iaitu kekaguman terhadap keindahannya dan keprihatinan terhadap kemusnahannya.
Kumpulan puisi Cerita Sebuah Kampung Cahaya (CSKC) karya Hipani Alwi menghimpunkan sebanyak 61 buah puisi dan 61 keping gambar. Gabungan kedua-duanya dibuat bagi menampakkan kaitan gambaran secara luahan penyair dengan paparan secara objektif melalui realiti dalam gambar. Walaupun tidak menepati secara total namun memberi pemahaman yang lebih kepada pembacanya.
Sekadar renungan bersama, sengaja saya petik prakata penulis, katanya “dalam penciptaan karya ‘Cerita Sebuah Kampung Cahaya’ saya mempunyai tujuan dan niat ingin meletakkan kampung pada kedudukan yang tinggi dalam pembangunan negara. Saya ingin melihat kampung tumbuh dari segi kecanggihannya, kemanusiaannya, ilmu-ilmunya. Saya tidak ingin melihat kampung tumbuh membesar dan menjadi sebuah kota”
Hampir ke semua puisi dalam CSKC ini menjadikan Etika Alam Sekitar sebagai temanya. Baik secara langsung atau tidak. Ia tergambar sama ada menjadi kekaguman terhadap keindahan alam sekitar dan juga keprihatinan terhadap kerosakan terhadap alam sekitar. Dari segi aspek keprihatinan perlambangan dan juga nilai digambarkan oleh penyair melalui puisinya. Sebagai contoh saya perlihatkan beberapa puisi tersebut.
Sebuah kota
mulai terbakar
adalah kota kita (Sebuah Kota; hlm 1)

Penyair memulakan dengan perlambangan tentang kota terbakar. Kalau kota itu kota kita, maka kita juga turut terbakar. Namun perlambangan di sini menuntut kita menentukan bentuk kota yang hendak kita jadikan kota kita.

Akan bangunkah nanti seorang nelayan
dengan sebuah luncur angin
(Kampung Ini; hlm 3)

Kampung yang dijadikan kota dipersoalkan oleh penyair dalam konteks ekonomi. Apakah proses kampung menjadi kota memberi jaminan tentang kebiasaan seorang “nelayan” dengan kemodenan untuk membangunkan ekonominya? Ini dikaitkan dengan tradisi kampung yang saling bekerjasama dalam apa-apa juga aktiviti. Apabila pembangunan berlaku, kekitaan mula longgar. Ini dibuktikan oleh penyair melalui perlambangan kerisauannya dalam puisi “Cerita Sebuah Negeri Industri” pada rangkap keempat.
Sebuah negeri industri terbina
berlari mengepung wawasan
kota-kota bertambah liar
kampung dan desa semakin terbiar
rumah batu dipagari besi
hati penghuni dihasut dengki
manusia terpenjara di negeri merdeka
(Cerita Sebuah Negeri Industri;
hlm 13)

Penyair berharap biarlah kota terbangun sendiri. Bukan melalui kampung. Kalau pun terbangun dari sebuah kampung, biarlah ciri-ciri kampung itu masih tertanam utuh dalam kota. Perhatikan puisi “Sebuah kota II” pada tiga rangkap terakhir, bagaimana penyair melambangkan kampung dan kota dapat menjadi satu tetapi masih kekal asas kewujudannya.

Sebuah kota
harusnya kita bangun sendiri
di hutan belantara

Sebuah kota
harusnya kita bangunkan sendiri
seperti sebuah kampung

Sebuah kota
mulai terbina di kampung
(Sebuah Kota II; hlm 20)

Penyair membuat perlambangan dua tempat yang sedang dan telah melalui pembangunan yang pesat. Pembangunan yang terjadi seakan tetap membawa bencana kepada alam sekitarnya. Ini yang cuba penyair jelaskan melalui puisi “Dua Muara Yang Berbeza” pada rangkap kedua dan rangkap kelima.
Kuala Sibuti adalah kampung
dibangunkan oleh nelayan sejak berkurun
tidak ada yang menyeksa hidupnya
kecuali orang kota yang datang
membeli tanah
untuk disimpan bertahun-tahun
dan apabila lebuh raya siap terbina
kondo-kondo dan motel mewah
datang mencurah mencemarkan
pantai-pantai nelayan
bersama hatinya sekali.

---------------------------------------

Dan Kuala Baram datang menerjah
pantainya musnah demi gah
kampung nelayan kehilangan arah
udara resah dengan sisa toksik
dan anak-anak pun terpelihara
di dalam sebuah kota
(Dua Muara Yang Berbeza; hlm 66)


Walaupun demikian, penyair cuba memberi alternatif agar kota dibina dengan model kampung. Maju tetapi mempunyai erti kekampungan. Gesaan ini untuk memperlihatkan kota penuh dengan kebermaknaan sebagai tempat yang dihuni atau didiami. Penyair membuat perlambangan harapan ini melalui sajak “Cerita Sebuah Kampung Cahaya II”. Cuba perhatikan pada rangkap kedua dan rangkap terakhir.

Katanya kampung cahaya dengan resah manusia
bisa saja ia berdoa untuk kerinduan
tapak kaki lebih akrab daripada sepatu kulit
di sini manusia bercinta lebih bererti
daripada kata-kata di lorong sempit.

-----------------------------------------------

Kampung cahaya sinarnya besar
tidak tergapai tangan mencapai
bangunkan tamadun baru
daripada sebuah kampung cahaya
(Cerita Sebuah Kampung Cahaya II;
hlm 86)

Sekiranya Kampung Cahaya yang diimpikan tidak mampu dibina, penyair menjadi resah. Keresahannya tergambar melalui perlambangan dalam puisi “Kasih Orang Pa’Dalih Dengan Pembangunan”
kami rela hidup di hutan
tanpa sebatang jalan yang sempurna
tapi kami tidak rela
kehilangan jari untuk menikam perkataan
ke seluruh jendela dunia


Dia seorang pegawai
bersih cekap dan amanah
bergaji besar hidup serba mewah
anak dua dan bersekolah luar negeri
isteri masih muda dan eksekutif di sebuah firma
berumah batu dan dirikan atas
keringat mereka yang miskin
dan tak mampu dan dia tahu

-----------------------------------------

Rumahnya telah terbakar
dia setinggan mencemar kota.
(Cerita Seorang Setinggan; hlm 5)

Berdasarkan puisi di atas, penyair meletakkan nilai kemanusiaan semakin terhakis apabila desakan pembangunan menjadi fokus kemodenan. Penindasan dan tindakan yang tidak mengambil kira nilai insani sewenang-wenangnya dilakukan atas dasar keperluan. Walaupun terpaksa bertindak kejam. Fenomena ini terserlah dalam puisi “Di Muara Sebatang Sungai”. Perhatikan nilai bangsa yang semakin tercabar dalam kenyataan penyair pada rangkap kedua.

Bisakah engkau kembali
membawa nikmat ketara
dari sebuah hutan belantara
engkau telah terlambat
untuk menidurkan kota besar
yang semakin galak
mencabar bangsa.
(Di Muara Sebatang Sungai;hlm 25)

Nilai yang diingini oleh penyair dalam membangunkan kota daripada sebuah kampung adalah nilai kemanusiaan. Penyair menerima pembangunan tetapi tidak mahu pengabaian nilai dilakukan hanya kerana tuntutan pembangunan semata-mata. Penyair sanggup hanya kota kecil yang wujud asalkan mampu membina kemanusiaan. Ini dapat diperhatikan dalam puisi “Kota Kecil” pada rangkap terakhir.



Benarkan mereka membina kemanusiaan
di atas pusara kota gergasi
kehidupan terlalu anggun
untuk dibangunkan
ke dalam sungai
kota kecil pun terserempak
wajah manusia sempurna.
(Kota Kecil; hlm 35)

Penyair juga menyedari kesan kota terhadap kampung. Kesan ini bukan sahaja menjadi nilai semakin terpinggir tetapi juga memberi dua pilihan kepada generasi baru. Kota mampu menjanjikan apa-apa sahaja. Sedangkan kampung semakin tertinggal atas alasan tetap menjadi kampung. Ini terkesan dalam puisi “Sepanjang Jalanan Ke Bakam V”
Benarlah kota bertambah besar
desa dibiarkan terbiar
anak-anak di sengaja sengsara
jalannya tiada
sungainya tercemar
gunung pecah berkecai
anak-anak pun berlari
berhamba pada bandar raya.
(Sepanjang Jalanan Ke BakamV ;hlm 54)

Dalam puisi “Tanjung Balipat” penyair begitu tegas memperkatakan tentang nilai kemanusiaan apabila kemajuan mendatang. Bagi penyair kampung yang hilang menjadi kota seakan melangkah ke dunia kejam. Desakan ini memungkinkan manusia hilang nilai diri. Perhatikan pada rangkap keempat.

Bisakah engkau kembali menghukum diri
kampung kita hilang di tengah kekejaman
anak-anak terseksa mencari harta
tanah telah tiada dibongkar kemajuan
rohani hilang upaya untuk mengasihani
manusia yang ada hati
(Tanjung Balipat; hlm 68)

Keresahan penyair tentang kota yang memamah nilai bukan sahaja tertumpu kepada manusia tetapi juga lingkungannya. Dalam sajak “Cinta Sungai Bencana” nilai alam sekitar telah diganggu gugat. Perhatikan gambaran nilai sekitarnya pada baris berikut.
Dan sepanjang sungai Baram
ketenangan telah mula tergoda
---------------------------------------
kesunyiannya telah tercemar
sepanjang sungai bencana
(Cinta Sungai Bencana; hlm 96)

Nilai dalam etika alam sekitar menuntut agar keseimbangan antara alam sekitar dan manusia itu wujud. Keseimbangan ini memberi satu kehidupan yang lebih bermakna. Dalam puisi “Ledakan Kota Raya” penyair mengakhiri puisinya dengan penuh pengertian. Perhatikan rangkap terakhir tersebut.

Dan yang membangunkan tubuh itu
adalah hati manusia
dan alam sekitar
(Ledakan Kota Raya; hlm 73)

Kekaguman terhadap alam sekitar bukan sahaja kerana keindahannya. Tetapi juga terhadap pembinaannya, pemuliharaannya dan keseimbangannya. Dalam konteks kekaguman ini, kebaikan dan keburukan dapat diperjelaskan. Ini penting sebagai satu perbandingan, bahawa setiap yang dilakukan mengambil kira semua aspek.
Berdasarkan CSKC ini penyair memberi perspektif kekaguman sebagai etika alam sekitar dengan menimbulkan falsafah alam sekitar itu sendiri. Contohnya, dalam puisi “Membangunkan kota-kota kecil”, penyair begitu berharap agar kota yang terbina dengan ciri-ciri yang mampu menimbulkan kekaguman. Perhatikan dua rangkap yang dipilih sebagai renungan bersama dalam puisi ini.
Aku memilih untuk membangunkan
kota-kota kecil
terbina merata negeri
dengan keperibadiannya
-------------------------------------------
Aku memilih untuk membangunkan
kota-kota kecil
terbina di dalam hutan rimba
untuk saling memahami
erti kehidupan
manusia dan alam
(Membangunkan Kota-Kota Kecil; hlm 22)
Etika kekaguman melalui falsafah alam sekitar ini juga tergambar dalam proses pembangunan itu sendiri. Penyair menginginkan dan berharap agar pembangunan yang terbina masih juga mementingkan keperluan masyarakat. Ini digambarkan dalam puisi “Negeri Kemenangan”. Antara yang menjadi idaman penyair ialah;
Gedung ilmu bercambah
negeri kecil bertambah makmur
teknologi semakin cepat
meninggalkan yang kalah
ke zaman purba

makmur rakyat jelata
dengan teknologi maklumat
binalah manusia sempurna
dengan kota kecil
di seluruh negeri
(Negeri Kemenangan; hlm 28)

Keinginan itu turut digambarkan dalam puisi “Kampung Penakub dan Kuala Lumpur”. Penyair sengaja mengagumi Kuala Lumpur sebagai sebuah kota pesat dan pada waktu yang sama juga mengagumi kampung Penakub yang masih segar dengan nilai kekampungannya. Penyair berhasrat sekiranya lahir sebuah kota yang mempunyai kekaguman yang terdapat daripada kota dan kampung itu.
Sebaiknya Kuala Lumpur
adalah sebuah kampung kecil
seperti kampungku
Kampung Penakub Hilir
telah dipenuhi rumah kaca
seabad datang

Manusia adalah seri
sebuah kota kecil
bangunan intelek
canggih keperibadian
gunung diselaputi kabus
belantara adalah kehidupan
anak-anak kita
(Kampung Penakub dan Kuala Lumpur;
hlm 42)


Penegasan ini juga digambarkan oleh penyair dalam puisi “Kampung Kedayan Tiris: Sebuah Kampung Seribu Impian Sejuta Harapan III” dalam dua rangkap terakhir.
Akulah yang mereka pilih itu
untuk membangunkan rumah batu
bercahayakan tenaga suria
air dari sungai yang sungguh bersih
rimba dengan beraneka warna
kampung kita adalah sebuah tanam
di dalam hutan

Kampung Kedayan Tiris
akan aku bangunkan engkau
sebuah kehidupan sempurna
dari zuriatmu sendiri.
(Kampung Kedayan Tiris; hlm 51)
Begitu juga dengan kekaguman penyair dengan keindahan yang masih terpelihara seperti yang diungkapkan dalam puisi “Paya Selanjau II” pada rangkap kedua.

Aku akan selalu kembali ke daerahmu
melihat ladang yang luas terbentang
pohon-pohon hijau dan hutan tebal
langitmu nan sentiasa damai
suara-suara alam gemercik bayu
berjalan di atas kakiku
(Paya Selanjau II; hlm 76)

Proses keberterusan kehidupan bergantung kepada keseimbangan antara manusia dan alam sekitarnya. Etika ini penting dipatuhi kerana melalui kefahaman ini maka alam akan memberi balasan terhadap persekitarannya termasuklah kepada manusia. Penyair menyedari hakikat ini. Penyair menyatakannya dalam puisi “Cerita Dari Sebuah Rumah Panjang IV”. Perhatikan rangkap kedua.

Lembah ini telah bertahun-tahun
membahagiakan hutan belantara
anak-anak kecil bermain air
di Sungai Merah dan Sungai Putih
lembah Saeh akan membangun
manusia yang kasihkan alam
langit tidak akan sentiasa kosong
awam pasti datang membasahi bumi
kerana pohon-pohon yang berdoa
(Cerita Dari Sebuah Rumah Panjang IV;
hlm 88)

Kekaguman yang penyair rasakan terhadap pembangunan dalam lingkungannya harus terbina daripada kesedaran yang perlu dirasakan oleh semua pihak. Ini yang ditegaskan oleh penyair dalam “Membina Kampung I” pada rangkap terakhir.
Membina kampung
harusnya bermula dari hati tersentuh
dan puncak kuasa yang bersedih
bersama tangisan anak-anak berlari
ke hujung sebuah gunung
dan kampung terbina
malangnya dari kertas berpangkah salah

(Membina Kampung I; hlm 112)

Kumpulan puisi “Cerita Sebuah Kampung Cahaya” terhimpun perasaan resah dan terpancar harapan tinggi tentang pembangunan dan kemajuan yang mewarnai kampung yang bakal menjadi kota. Resah bertandang sekiranya kampung kehilangan peribadinya apabila berstatus kota. Harapan tertanam, sekiranya kota yang dibina berasaskan nilai yang terpupuk di dalam kampung.
Justeru, Hipani Alwi menjadikan “Cerita Sebuah Kampung Cahaya” sebagai kritik masyarakat sama ada golongan penguasa atau rakyat umum agar memahami bahawa etika alam sekitar perlu dipraktikkan serta dihayati bagi menjamin kehidupan bukan sahaja terbangun dari segi fizikalnya tetapi juga dari segi keseimbangan kehidupan lain di muka bumi ini.