Rabu, 27 Januari 2010

KAMI PERLU PUISI TENTANG BAHASA

Kepada karyawan dan penyair budiman, kami memerlukan puisi2 tentang bahasa untuk diantologikan sempena HARI PEJUANG BAHASA. Tarikh akhir menghantar puisi berkenaan pada 30 Januari 2010. Sila emelkan karya tuan/puan ke smzakir90@gmail.com atau jfar@dbp.gov.my
Harap maklum

Isnin, 25 Januari 2010

YANG BESAR LUPA

Barangkali resam, atau satu peralihan yang menakutkan. Kerana yang besar lupa tentang peranan dan yang kecil sedaya upaya memberi makna.
Mungkin juga, selalu yang di atas akan lupa tentang yang di bawah kerana yang di atas merasakan berada di kemuncak, walhal yang di bawah mendukung dan menjulang.
Apapun, yang besar atau yang di atas, akhirnya turut juga menjadi kecil dan kebawah, apabila maut menjemput, maka, apa bezanya...

Ahad, 24 Januari 2010

JANUARI 2010

Januari 2010 semakin ke hujung. Kesan pemotongan belanja kerajaan 30% menjadi cukup meresahkan. Bayangkan, bagaimana sesuatu itu hendak dilaksanakan tanpa dana dalam dunia kini. Walhal, nak buang air pun kena bayar 30 sen apatah lagi menjayakan perancangan yang sedia diatur.
Tapi yang peliknya, satu bahagian dipotong untuk tujuan jimat tetapi satu bahagian berbelanja dengan penuh rakus!
Apa ke hal...

Rabu, 20 Januari 2010

152

Benarlah, kita hanya merancang dan Tuhan menentukan....
Maka, Hari Pejuang Bahasa 2010 akan berubah tempat. Program akan diadakan di Rumah GAPENA. Namun tarikh dan masa tidak berubah.
Begitulah kehendak-Nya...

Rabu, 13 Januari 2010

HARI PEJUANG BAHASA "152"

Salam,
Kepada semua Pejuang Bahasa Kebangsaan,
Sukacita dimaklumkan bahawa "Hari Pejuang Bahasa" akan diadakan pada 15 Februari 2010 (Isnin) bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Acara ini TERBUKA dan PERCUMA untuk penulis, seniman, budayawan, karyawan, artis, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, polis, tentera, mahasiswa, pelajar dan semua pejuang serta pencinta bahasa, sastera dan budaya.

"MARILAH BERSAMA-SAMA HADIR MENYOKONG DAN MENDUKUNG PERLEMBAGAAN 152 DEMI BAHASA KITA"
Kepada yang berminat untuk hadir, sila hubungi sdr.Taib 017 2760100, sdr. Ikram 012-2908429, sdr. Ritah 03-21483039 dan sdr. Salleh 013-2450808

JARANG-JARANG ATAU KADANG-KADANG?

Mungkin masih ramai mengingati dialog cerita-cerita P.Ramlee, khususnya dalam cerita "Pak Belalang". Paling ironis, pertaruhan dalam cerita tersebut adalah negara. Paling jelas mesejnya, apabila orang berkuasa pelbagai perkara yang diluar jangka akan dilakukan andai menjadi tamak dan haloba.
Namun, dalam situasi kita sekarang ini, persoalan jarang-jarang tidak lagi berlaku. Begitu juga dengan hal kadang-kadang. Yang pasti sekarang ini, banyak-banyak menjadi semacam satu kemestian pula. Apa-apa sahaja semuanya menjurus kepada banyak-banyak. Sama ada hal keriuhan, kepoltikan, kebejatan, kesosialan, ketamakan, kehalobaan, ketaksuban dan sebagainya.
Kini kita menjadi cukup keliru untuk berdepan dengan sebarang persoalan yang kita pasti ada jawapan tetapi dimanipulasikan secara cukup teliti sehingga jawapan tidak ada tetapi berlaku juga "tergadainya" segala. Mungkin kita tidak pernah mahu meneliti apakah yang wajar kita jarang-jarangkan atau yang perlu kita kadang-kadangkan.

Selasa, 12 Januari 2010

TERHIMPIT ATAU TERSEPIT?

Tiada siapa yang tahu angkara siapa. Bukan mudah meneka. Apatah lagi menuding jari. Semuanya punya hujah masing2. Mungkin benar. Mungkin juga tidak. Namun, semuanya mengetahui, itu adalah agenda. Lakonan yang memakan diri.
Sama ada berjaya atau tidak, tindakan sedemikian memang bodoh. Walhal, dalam zaman orang boleh berfikir secara waras dan normal, tidak mungkin tertipu. Melainkan sudah ada penanda bahawa masyarakat semakin menjadi orang gila kerana kebodohan yang keterlaluan.
Paling ironis andai hal itu sengaja dilakukan oleh golongan yang merencana sesuatu yang lebih besar dan lebih merbahaya. Kelompok ini sebenarnya sudah sekian lama menanti peluang dan ruang untuk muncul dengan suasana sebegini, maka, kita harus menilai setiap apa yang terjadi dan terpapar di depan kita. Kalau tidak kita akan terhimpit dan akhirnya tersepit dalam gelora yang tiada kesudahannya.

Isnin, 11 Januari 2010

BUKAN KERANA NAMA

Mendengar lagu Ramli Sarip "Bukan Kerana Nama" terasa amat kesiratan yang ingin dikongsikan bersama-sama pendengarnya tentang perjuangan. Dan, kalau hal ini dikaitkan dengan apa yang sedang dan akan berlaku, jelas sekali kita serig mengabaikan prinsip yang sebenarnya.
Mungkin, ini buka salah sesiapa, kerana kita sering disogok dengan pelbagai nilai yang mengelirukan, mengutamakan dan mengabaikan hal yang sebenar. Kita dibuai dengan "Malaysia Boleh", lalu membolehkan apa-apa sahaja. Kita dihidang dengan "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang" sehingga kita lupa siapa yang sebenarnya wajar dan harus sedemikian.
Kini, kita dibuka dengan ruang "1Malaysia" dengan prinsip "Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan". Mungkin dalam perkiraan yang menjurus ke arah satu pandangan, keutamaan itu cukup minima maksudnya. Rakyat menjadi keliru tentang apa yang hendak diutamakan? Walhal dari semasa ke semasa, keadaan rakyat semakin menghimpit oleh pelbagai masalah dan cabaran.
Ini bukan maksud mempertikaikan slogan sebegini tetapi, sesudah negara merdeka hampir 54 tahun, kita masih menjadikan retorik sebagai mimpi indah yang membuai kita dengan seribu cerita enak. Ingatlah, kita bukan setakat punya negara bernama Malaysia, tetapi juga kita punya sejarah yang cukup banyak nama!

KITA JADI MAINAN MAKNA...

Kini, kita sebenarnya dalam delima yang kasar. dalam kemelut yang kotor. Dalam gundah yang jijik. Akhirnya, tangan2 tersembunyi yang mengintai peluang sekian lama, sudah mula bergerak dan menjalankan tindakannya. Kita dikaburi dengan kehalusan yang amat nakal. Dan kita menjadi mainan makna yang terlalu sukar untuk ditafsirkan.
Kita sering bertindak apabila sesuatu perkara menjadi tenat. Kita tidak pernah untuk mencegah. Kita terlalu percaya, sekeliling kita seakan sudah kita lingkari dengan persefahaman dan ketahuan. tetapi sebenarnya sekali lagi kita menjadi mainan makna yang tidak mampu untuk kita huraikan.
Dan, kita sedang berdepan dengan fenomena makna itu sendiri. Kita menjadi kaku untuk memberitahu bahawa kita semua telah tertipu oleh mainan kita sendiri. Tentu sahaja, kita semakin tenggelam dalam mainan makna yang kini menjadi pegangan kita selamanya. Ya, kita jadi mainan makna yang maha KEJAM oleh mereka yang tidak peduli tentang MATI.

Khamis, 7 Januari 2010

SIAPA YANG BIJAK, SIAPA PULA YANG BODOH?

Kemelut demi kemelut seakan tidak ada titik noktah. Baik yang menyangka dirinya bijak, atau yang mengata orang itu bodoh, semuanya mengundang kelemahan masing2. Yang jelas, hal demikian hanya tercatat sebagai satu yang sensasi. Menjadi tajuk2 berita. Paling malang, menjadi bahan yang mengelikan hati sesetengah pihak.
Memang sukar untuk menerima hakikat ini. Kerana masing2 tidak pernah mengaku salah. Masing2 mahu mendabik dada menunjukkan diri. Masing2 bertindak kononnya atas nama kebijaksanaan. Walhal, di situlah bermulanya kebodohan yang amat.
Kini, yang dicari bukan jawapan tetapi menzahirkan siapa yang bijak dan siapa yang bodoh. Walhal, kedua-dua sama, kerana yang bijak dah membodohkan diri dan yang bodoh cuba menunjukkan bijaknya...

Rabu, 6 Januari 2010

KITA BERTELAGAH, ORANG LAIN KETAWA

Akhirnya terserlah bijak pandai kita untuk cuba menyelesaikan masalah "kepercayaan" kita. Ada yang berhujah seakan dialah yang terbijak atau yang terbodoh. Semuanya berligar antara sesama memahami situasi sebenarnya. MEDIA dijadikan medan menyalurkan kewibawaan yang tergambar keangkuhan dan kesewelan. Apakah tidak ada ruang untuk bertemu dan berbincang?
Sedangkan yang dibincang dan diperkatakan soal diri, kepercayaan, keyakinan dan harga sebuah maruah agama. Bukan cerita pasal politik pasar dan politik tahi telinga. Begitulah, apabila orang sudah mula lupa, apa yang sebenarnya wajar dan harus diperjuangkan. Inilah kesan apabila populariti menjadi nadi pemikiran insan sehingga mengadai makna diri dan terpapar kebodohan yang amat.
Kini, kita masih bertelagah untuk menyatakan yang kita betul, dia salah, dan dia mengatakan dia betul dan kita salah. Namun disebalik semua itu, ketawa orang lain semakin riuh rendah melihat kesewelan, kedegilan dan kebodohan kita yang amat. Sekali lagi, KEBODOHAN KITA YANG AMAT!

Selasa, 5 Januari 2010

KENAPA DIUNDANG SENGKETA?

Saat mencari kedamaian dan keamanan, mengapa ada yang sengaja menjolok rasa? Apakah sememangnya sedemikian kejinya manusia yang tidak pernah syukur nikmat-Nya. Kini, kerajaan harus belajar mengerti dan memahami bahawa keterbukaan yang terlampau sebenarnya jalan mengundang malapetaka.
Mungkin tidak salah bertegas, apabila orang sudah mula menampakkan taring. Kerana Malaysia yang kucinta ini semakin menjadi tidak keruan. Seperti hilang rasa kesentosaan. Paling peliknya, kita sebagai tuan, sentiasa mengalah dan memberi semahunya, sedangkan yang mendatang dan menumpang semakin ghairah mengali dan mengali tanpa peduli siapa kita.
Mengapa?

Ahad, 3 Januari 2010

JANUARI

Pernah pepatah cina, "Setiap permulaan, bermula dengan langkah pertama". Sekilas pengertiaan, kehadiran Januari dianggap sebagai langkah pemula bagi setiap tahun yang mendatang. Tapi peliknya, sekian lama, Januari sentiasa hadir dan pergi tanpa sesiap mahu menilainya. Berapa kali sudah diberi peluang dan ruang itu untuk berfikir dan berubah. Namun masih ramai lagi yang seakan-akan tidak mempedulikannya.
Ini soal harga diri. Soal pengertian. Soal pemahaman. Soal keinsafan. Soal kesedaran. Terlalu banyak ruang dan peluang diberikan, tetapi entah mengapa peluang dan ruang itu hanya seketika diterjemahkan menjadi sandaran pengertian dan selebihnya menjadi bagai angin yang hanya dirasai tanpa dipeduli.
Kini, Januari datang lagi, dengan seribu pengertian yang tiada kesudahan. Dan terpulang kepada sesiapa untuk merebutkannya sebagai peluang dan ruang bagi memaknakannya dengan semaksima mungkin.