Isnin, 31 Ogos 2009

BERSEDEKAHLAH...

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r. a menyatakan bahawa: Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: Wahai Rasulullah, Sedekah manakah yang paling besar pahalanya? Rasulullah bersabda: "Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila roh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata: Harta ini untuk si pulan, harta ini untuk si pulan, padahal harta engkau itu memang akan diwarisi (dimiliki) oleh orang lain. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: Ya Allah, berikanlah ganti (kembangkanlah harta) bagi orang-orang yang berinfak (menghulurkan sedekah) dan satu yang lain pula berdoa, "Ya Allah, binasakanlah harta orang-orang yang kikir (kedekut). (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Khamis, 27 Ogos 2009

CERITA UNTUK RENUNGAN

FATIMAH az-Zahra adalah puteri bongsu nabi Muhammad, hasil perkahwinannya dengan Khatijah. Fatimah dilahirkan pada tahun ke-5 setelah nabi Muhammad diutus menjadi Nabi, bertepatan dengan tiga tahun setelah peristiwa Israk dan Mikraj. Beliau dilahirkan pada hari Jumaat 20 Jamadilakhir tahun 605 Masihi semasa masyarakat Quraisy sedang memperbaiki dan membangun kembali Kaabah disebabkan banyak kerosakan pada bangunan tersebut.
Siti Fatimah mendapat gelaran as-Siddiqah (wanita terpercaya); at-Tahirah (wanita suci), al-Mubarakah (yang diberkati Allah) dan yang paling sering disebutkan adalah Fatimah Az-Zahra (yang cemerlang). Beliau juga digelar Al-Batul, iaitu yang menumpukan perhatian kepada ibadah dan menjauhi keduniaan. Fatimah selalu bersujud ketika setiap kali berasa lapar dan berzikir setiap kali berasa susah.
Fatimah mencintai ayahandanya melebihi cintanya kepada siapa pun. Apabila ibunya meninggal dunia ketika berusia enam tahun, Fatimah sentiasa berusaha untuk menggantikan peranan ibunya. Fatimah sentiasa mengajak nabi berbual-bual dengan kata-kata yang menggembirakan dan menyenangkan hati nabi. Justeru nabi memanggilnya dengan panggilan manja Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh Fatimah kepada ayahnya.
Fatimah mempunyai tiga orang kakak iaitu Zainab, Rugayah dan Ummi Kalsum. Fatimah adalah anak yang paling dicintai dan dikasihi nabi sehingga beliau berkata, "Fatimah adalah darah daging saya, apa yang menyusahkannya juga menyusahkan saya dan apa yang mengganggunya juga mengganggu saya". Fatimah menyerupai ayahnya dari sisi rupa dan akhlaknya. Ummu Salamah menyatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah.
Demikian juga dengan Aishah yang pernah menyatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya. Zaman kanak-kanaknya diwarnai oleh pelbagai penentangan yang ditujukan kepada agama Islam yang dibawa oleh ayahnya. Penyeksaan, celaan yang keji, gangguan mental dan fizikal dan fitnah dilakukan oleh golongan kafir Mekah terhadap umat Islam. Allah telah mengurniakan Fatimah dengan sifat lemah-lembut, cerdas dan berani yang tidak dimiliki oleh kanak-kanak lain yang seusianya. Fatimah melihat cabaran dan dugaan yang menimpa keluarga terutama pengalaman pahit yang menimpa ayahnya.
Cabaran dan dugaan itu mampu difahami oleh Fatimah pada usia yang muda dan ini telah mendewasakan pemikiran Fatimah supaya cekal menghadapinya dengan lebih cekal dan berani. "Uqbah bin Abi Muit menyimbah kotoran unta pada ayah kamu yang sedang bersujud di Kaabah!," kata seorang wanita kepada Fatimah yang sedang duduk di rumahnya. "Apa! Sampai hati mereka berbuat demikian kepada ayah saya," jawab Fatimah yang bergegas keluar dari rumahnya.
Fatimah berlari sekuat hati menuju ke arah Kaabah. Jantungnya berdegup dengan pantas memikirkan apa yang telah berlaku pada ayahnya. Apabila sampai di hadapan Kaabah, Fatimah melihat pembesar-pembesar Quraisy sedang ketawa kuat sambil menunjuk jari mereka kepada ayahnya. Beliau pantas menghampiri ayahnya yang tengah bersujud di Kaabah. Fatimah melihat perut-perut unta yang berdarah dan bernajis di atas kepala ayahnya. Beliau membersihkan kotoran itu dengan pantas.
Air mukanya kelihatan sedih bercampur geram kerana kotoran itu terpalit keseluruhan jubah ayahnya. Fatimah bangun dan menghampiri Uqbah bin Abi Muit dan pembesar Quraisy lain yang berdiri sombong bongkak tanpa perasaan takut. Beliau menjeling tajam kepada semua wajah-wajah itu dengan air mukanya yang benar-benar marah dengan tindakan mereka terhadap ayahnya.
"Mengapa kamu melakukan perkara keji ini kepada ayah saya?" tanya Fatimah dengan nada keras dan marah. "Suka hati kamilah. Mari kita tinggalkan tempat ini. Puas hati saya melihat jubah Muhammad penuh dengan kotoran unta," kata Uqbah lalu beredar dari situ bersama pembesar Quraisy lain meninggalkan Fatimah yang masih sedih dan marah.
Pada satu peristiwa lain pula, Fatimah sedang berjalan di sebuah lorong ketika berselisih dengan Abu Jahal yang terkenal dengan permusuhannya terhadap agama Islam. Abu Jahal menahan Fatimah lalu menampar muka Fatimah beberapa kali. Fatimah terkejut dengan perbuatan Abu Jahal terus berlari menuju khemah pemimpin Quraisy yang sedang duduk berbincang.
"Ya Abu Sufian, ketua pemimpin Quraisy. Saya ingin mengadu tentang sikap buruk Abu Jahal yang tiba-tiba menampar muka saya tanpa sebab. Saya mahu keadilan!," kata Fatimah di hadapan Abu Sufian tanpa perasaan takut.
"Apa! Abu Jahal menampar kamu tanpa sebab. Pergi panggil Abu Jahal ke sini," arah Abu Sufian kepada pengawal di sebelahnya.
Abu Jahal pun datang dengan tergesa-gesa menuju khemah tempat pemimpin-pemimpin Quraisy sedang berbincang. Dia tak menyangka Fatimah akan datang mengadu kepada Abu Sufian tentang perbuatannya terhadap Fatimah. Dia berharap Abu Sufian akan menyebelahinya dalam perkara itu. Dia masuk ke dalam khemah itu dengan muka sombong memandang wajah Fatimah yang kelihatan tenang.
"Mengapa kamu menampar muka Fatimah tanpa sebab, Abu Jahal?," tanya Abu Sufian.
"Sahaja. Saya geram dengan ayahnya". Jawab Abu Jahal dengan bongkak.
"Kamu tak ada hak berbuat demikian terhadap budak kecil ini," kata Abu Sufian lalu memandang wajah Fatimah.
"Hulur muka kamu supaya Fatimah boleh menampar muka kamu," arah Abu Sufian kepada Abu Jahal yang kelihatan terkejut mendengar keputusan Abu Sufian itu.
Fatimah tidak melepaskan peluang itu untuk menampar muka Abu Jahal yang selama ini banyak menyakitkan hati ayahnya. Beliau menampar muka Abu Jahal dengan sekuat hati dan pulang dengan hati gembira ke rumahnya. Fatimah menceritakan perkara yang berlaku itu kepada ayahnya. Nabi gembira kerana Abu Sufian telah memberikan keputusan yang adil kepada aduan anaknya.

Rabu, 26 Ogos 2009

KENAPA YA...

Kadang-kadang sukar kita memahaminya secara langsung. Kalau tidak mengetahui hujung pangkalnya. Benar atau tidak, hanya Dia yang maha mengetahui. Walaupun demikian, sesungguhnya apa yang berlaku tentu ada hikmahnya tersendiri, maka, reda sajalah dengan ketentuan-Nya.
Apatah lagi dalam bulan Ramadan yang mempunyai seribu nikmat dan berkat ini, sewajarnya kita rebut semaksimunnya demi pengertian kita sebagai hamba-Nya
SELAMAT BERPUASA

Ahad, 23 Ogos 2009

SEBUAH TEORI - CATATAN DARI RUSIA

Seperti yang telah kami teorikan sebelum ini di dalam dua artikel, kini siaran televisyen Russia Today telah mendedahkan bukti bahawa selsema babi adalah ciptaan pihak-pihak tertentu untuk mewujudkan ‘panic situation’.

Pada 25 Jun 2009 lepas, Russia Today telah menemuramah seorang penyiasat konspirasi dari Amerika secara langsung berkaitan usaha pihak Amerika membangunkan virus Swine Flu. Menurut maklumat di dalam temuramah itu (lihat video di bawah), penyiasat konspirasi berkenaan mengesyaki bahawa virus tersebut telah dibangunkan dari dua buah universiti di Amerika dan Kanada.

Daripada temuramah di dalam video di bawah, ada dua maklumat yang boleh kita kemukakan. Pertamanya, bukti bahawa Amerika sebagai dalang penciptaan virus selsema babi adalah hampir jelas.

Persoalan kedua, mengapa stesen TV Russia yang beriya-iya mendedahkannya?

Jawapan ini telah pun kami jawab dalam teori kami pada artikel Bahagian 3. Di dalam artikel ke-3 ini telah kami kemukakan bagaimana kerajaan Rusia telah menghidu lebih awal projek-projek senjata biologi Israel yang bakal dibangunkan dan salah satunya adalah virus selsema babi.

Konspirasi Wabak Selsema Babi (Bahagian 1)
May 1st, 2009 ·

Penyakit berbahaya ini mula menjadi popular apabila dilaporkan lebih 80 orang telah mati di Veracruz, Mexico akhir April 2009. Kemudian ia terus menyerang dengan pantas dan beberapa kematian lagi dilaporkan di New York, Kanada, New Orleans dan Israel.

Swine Flu atau selsema babi bukanlah penyakit baru, ianya telah pun dijumpai pada lewat 1918 di Sepanyol dahulu.
Tetapi pada ketika itu, jangkitan hanya merebak dikalangan individu-individu yang terlibat dengan perusahaan khinzir sahaja hanya sedikit terkena kepada orang awam.

Sejak kes di Mexico, laporan berita TV khususnya di Malaysia masih melaporkan kegilaan penyakit ini. Malaysia antara negara yang bernasib baik kerana pantas mengambil langkah kawalan di lapangan-lapangan terbang, stesen keretapi dan pelabuhan.

Namun, penyebaran penyakit Swine Flu selepas tamatnya konflik Gaza perlu diambil perhatian dari beberapa aspek. Ia mungkin dilihat seperti “kejadian alam” tetapi ia sebenarnya juga boleh dirancang.

Permulaan Konspirasi Selsema Babi

Tidak ramai mahu melihat isu Swine Flu dari sudut konspirasi melainkan seseorang itu sememangnya fanatik fakta konspirasi. Maka teori yang kami bentangkan ini, dikira sebagai agenda permulaan untuk menarik perhatian masyarakat tentang sebarang isu dunia.

Semua laporan Swine Flu di akhbar dan TV adalah tepat dan amat meyakinkan dan tiada apa yang perlu dicurigakan. Cuma ada beberapa perkara yang tidak diberi perhatian.

Perkara itu ialah …

Empat hari sebelum terjumpanya kes Selsema Babi di Mexico, Pengarah Makmal Univerisiti Rockefeller iaitu Dr.Ralph Steinman telah diberi Anugerah Perubatan Albine. Anugerah tersebut diberi beserta saguhati USD500,000.

Khamis, 20 Ogos 2009

SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADAN

Salam Ramadan,
Kesempatan ini, aku doakan kesejahteraan yang berpanjangan kepada semua, kerahmatan daripada-Nya, serta keberkatan rezeki yang sentiasa diberi-Nya. Semoga kehadiran Ramadan akan memberi segala nikmat yang tidak terhingga buat kita.
MAHA SUCI ALLAH...

Rabu, 19 Ogos 2009

SESEKALI SEBEGINI

Sesekali kita dihimpit kesukaran dan kita jadi celaru mentafsir, walhal semuanya kehendak-Nya. Maka, kita harus menjadikan setiap apa yang terpapar sebagai satu takdir mutlak. Memang kita perlu berusaha dan berdoa, namun, kepastian tidak mampu kita ubah kecuali dengan keizinan-Nya. Insya Allah, setiap baik akan menjadi baik juga, dan begitulah sebaliknya.
Sempena kehadrian Ramadan yang penuh berkat dan rahmat ini, marilah kita sama-sama menjadikannya Ramadan ini sebagai perintis nilai yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam kehidupan kita selamanya. Dan, marilah kita berdoa, agar kita sama-sama dirahmati-Nya.
Buat teman-teman,
SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL-MUBARAK

Isnin, 17 Ogos 2009

RAMADAN

Kehadiran yang dinanti-nanti bagi mereka yang memahaminya. Kerahmatan yang amat besar. Kesucian yang amat tinggi. Kenikmatan yang maha segalanya. Tentu, akan berdepanlah kita dengan segala cabaran luar dan dalam tentang makna diri, sebagai hamba dengan Nya.
Kemenangan bukan tertakluk kepada kejayaan berpuasa semata-mata tetapi meletakkan nilai puasa sebagai kehidupan yang mutlak, hidup yang jelas terhadap pengertian kita dan Dia serta hidup yang termaktub sebagai "hubungan kepada-Nya dan hubungan sesama manusia"
Insya Allah, niatlah menentukan segalanya...

Ahad, 16 Ogos 2009

BOLA, BOLA, BOLA...

Masih terasa penat sekembalinya dari Arau, Perlis. Bermian bola sepak dalam usia yang kian senja, terasa amat desak yang tegang. Melihat dengan beraksi jauh sekali bezanya. Walhal, dahulu semuanya dapat dikecapi dan diaksikan dengan penuh dedikasi. Tapi sekarang, jelas sekali bibit ketuaan itu mengamit keletihan yang tidak mampu dihalang.
Apapun, pasukan DBP di Arau, hanya sempat melalui pusingan pertama, dan menerima kekalahan dengan reda. Bukan kerana tidak mampu bersaing tetapi pasukan orang lebih baik berbanding dengan pasukan DBP. Hakikat itu wajar diterima. Dan kini, EPL sudah mula mengisi saluran sukan Astro, dan Ramadan juga akan kunjung tiba dengan penuh rahmat daripada-Nya, maka kini terpulang kepada diri kita untuk memilih yang terbaik dan BENAR.

Selasa, 11 Ogos 2009

PENAWAR SELSEMA BABI?

Semalam menerima emel seorang teman tentang penawar Selsema Babi. Syukur, itu salah satu usaha yang wajar, selain berdoa, perlu juga dipertingkatkan usaha. Memang, dalam beberapa hari, minggu dan bulan ini, isu tentang penyakit yang sukar dijangkakan ini menjadi satu fenomena yang tidak terdaya untuk diperkatakan sebegitu sahaja.
Maka, dalam suasana yang sebegini, wajar kita merenung kembali, mengapa ia terjadi sedemikian rupa? Benar, kita boleh memberi seribu alasan dan kenyataan, tetapi pernahkah kita menilai kembali kenapa?
Marilah bersama-sama kita membuat muhasabah diri, apatah lagi dengan kehadiran bulan Ramadan Al-Mubarak, dengan mengisi makna kehadirannya kerana-Nya

*Petua seorang teman, rendamkan kurma bersama-sama air kelapa, kemudian minum air dan makan buah kurma tersebut...insya Allah, dengan izin-Nya...*

Isnin, 10 Ogos 2009

SEMAKIN TENAT?

Rupanya semakin tenat. Seakan tidak ada jalan keluar. Mahu tidak mahu terpaksa berdepan dengan keadaan. Tidak ada daya yang lain. Kecuali menadah tangan memohon kepada-Nya bahawa inilah natijah kelalaian kita. Mungkin inilah tanda untuk kita memahami betapa dunia kini tidak lagi larat menanggung "nilai makna" manusia yang semakin jauh terpesong dalam mensyukuri nikmat-Nya.
Dan, dalam suasana ini, barangkali kita sudah mula insaf bahawa tiada apa pun yang lebih penting selian daripada kesihatan untuk menjamin niali makna kita sebagai hamba-Nya.
Marilah bersama-sama kita berdoa, agar dijauhkan malapetaka ini dan menginsafi bahawa kehidupan ini hanya pinjaman semata-mata.
A-Fatihah.

Ahad, 9 Ogos 2009

SELSEMA BURUNG DAN SELSEMA BABI

Barangkali kepelikan yang berlaku wajar kita renungi bersama. Tentang kenapa? Mungkin masih segar dalam ingatan kita, sewaktu petaka selsema burung, maka dititah bunuhlah segala burung dan ayam demi untuk kesejahteraan rakyat.
Namun, semenjak selsema babi menular sedikit demi sedikit sehingga menjadi wabak petaka terbesar abad ini, "jiwa-jiwa" babi terselamat untuk "dihapuskan". Bahkan sejak awal-awal lagi dimaklumkan bahawa selsema babi tiada kena mengena dengan babi. Ye ke? Maka, kenapa diberi namanya?
Penyakit ini akan terus tersebar dengan wujudnya "babi" yang jelas termaktub HARAM dalam Al-Quran, dan yang lebih membimbangkan MALAYSIA antara negara yang PALING BANYAK memeliharanya.
Kadang2 kesian melihat kelemahan kita tidak kena pada tempatnya. Nauzubillah...

Khamis, 6 Ogos 2009

KEMBALI BERMAIN BOLA SEPAK

Walaupun EPL belum lagi bermula, entah bagaimana minat untuk bermain bola kembali meresap dalam diri. Setelah hampir seminggu berlatih (itupun kerana persiapan kejohanan bola sepak badan-badan berkanun) terasa amat kekurangan diri. Selain faktor usia, tampak jelas fokus serta kreatif dalam permainan ini semakin menipis.
Mungkin jurang teknikal permainan tidaklah begitu jauh tertinggal tetapi, proses mengawal dan membuka peluang dalam bentuk permainan yang wajar teramat berbeza dengan waktu muda-muda dahulu.
Walaupun demikian, bekalan semangat begitu kental untuk membuktikan bahawa skil dan kudrat itu masih boleh dikerah walaupun peratusan yang dicurahkan tidak mencapai prestasi sewaktu 20-an dahulu. Barangkali, inilah tanda bahawa kudrat dan minat ada dalam tubuh yang sama tetapi berjauhan dalam kehendak kehidupan...

Selasa, 4 Ogos 2009

SEMINAR ANTARABANGSA LEGASI PEMIKIRAN SYED HUSSEIN ALATAS

Sedang berlangsung seminar antarabangsa legasi pemikiran Syed Hussein Alatas di Dewan Seminar, Aras 2, Menara DBP. Semalam kertas utama dibentangkan oleh Profesor Emeritus Dr. Clive S. Kessler dari Austalia dengan judul Satu Penghormatan Ilmiah Kepada Allahyarham Profesor Dr. Syed Hussein Alatas.
Menarik, tetapi sedikit keliru. Kenapa perlu Clive S. Kessler? Bukan orang lain? Entah.
Kemudian skop rasuah dan integriti dibentangkan oleh Profesor Dato' Dr. Abdul Rahman Embong dan Dr. Mohd. Nizam Sahad.
Pun juga menarik, tetapi masih banyak ruang yang terlopong oleh penyataan fakta atau andaian, maka tercetus osal jawap, pun juga amat menarik, tetapi berkisar dalam lingkungan "sudah terjadi baharu nak bertindak"
Barangkali wajar kita renung kata-kata Dr. Syed Hussein Alatas tentang rasuah...
"...bahawa rasuah mempunyai autonominya sendiri. Struktur ekonomi, politik mahupun sosial, apa jenisnya semua dapat dijangkiti oleh rasuah..."

Isnin, 3 Ogos 2009

YANG DIKEJAR DAN YANG DIBAWA

Sudah kita dengar bermacam-macam misi dan visi negara digembar gemburkan. Dengan WAWASAN 2020 ke Cemerlang, Gemilang dan Terbilang hingga ke Satu Malaysia, seakan tidak ada titik yang benar-benar memberi tanda itu termaktub sebagai aras yang wajar. Peralihan berlaku bukan sahaja membuka ruang persendaan tetapi juga membawa satu nilai yang tidak upaya menganjak selain hanya dorongan kepolitikan.
Keterbukaan yang kini terserlah, mula memakan diri sedikit demi sedikit. Antara yang banyak dan sedikit, jelas memihak kepada siapa. Namun, seakan dialpakan dengan janji, telah banyak kali kita mengiyakan secara mutlak dan akhirnya, kita terima apa yang telah kita restui.
Entah apa yang dikejar dan apa pula yang kita bawa...

Ahad, 2 Ogos 2009

KINI MELAYU BENAR-BENAR SUDAH LUPA

Apa yang berlaku pada Sabtu lalu benar-benar memalukan "Melayu" yang selama ini mengakui Malaysia ini sebuah negaranya. Entah apa yang tersirat dalam niat yang sebenar hanya DIA sahaja yang mengetahui. Tetapi, sebagai manusia yang waras, apa yang berlaku adalah kerana desakan nafsu yang amarah, angkuh, sombong dan bongkak.
Apa yang lagi pelik, "Melayu" juga yang menjadi punca dan mangsanya juga orang "Melayu" sama ada mereka peniaga, pembeli dan awam. Persoalannya, mengapa tiada bangsa lain yang terlibat? Disinilah kependekkan akal orang "Melayu" yang mengikut rasa, walhal telah turun temurun pepatah pujangga mengatakan "ikut hati mati, ikut rasa binasa".
Benarlah, orang "Melayu" makin lupa diri, kerana dalam kesibukkan mereka mencetuskan kacau bilau, "orang lain" merancang strategi, lantaran itu kekalutan ini tidak ada hentinya. Kesian, "orang Melayu" masih tidak mahu belajar memahami tentang nasib dirinya...
Melayu semakin LAYU...