Rabu, 8 April 2009

Selain diri dan keluarga, pihak yang ketiga turut menyumbang ke arah pencapaian matlamat ini ialah adalah kawan-kawan. Menurut Azman Che Omar. Dalam bukunya berjudul Pengurusan Di Malaysia Dari Perspektif Islam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka menegaskan bahawa manusia dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai makhluk sosial yang memerlukan pertolongan manusia lain. Sejak dilahirkan sehingga akhir hayat manusia memberi dan menerima pertolongan. Ini merupakan amalan yang lazim bagi setiap manusia yang normal.
Justeru itu, kawan-kawan juga berfungsi dalam membina, merangsang dan menyokong hasrat bagi mencapai matlamat individu. Kalau diteliti kenyataan tersebut, kerjasama dan permuafakatan di kalangan ahli masyarakat yang sedia sanggup menerima dan berusaha ke arah itu, mampu memberi hasil yang memuaskan. Perkongsian hasrat pelbagai pihak memastikan kejayaan dicapai memberi impak cukup besar kepada perkembangan ini.
Perkara yang seterusnya menyumbang kepada proses pencapaian matlamat adalah faktor persekitaran. Persekitaran penting sebagai faktor utama perubahan. Persekitaran juga mampu menjadi perangsang dan juga penghalang. Justeru itu, persekitaran perlu ditangani dengan kepekaan individu untuk menyesuaikan diri agar memenuhi tuntutan persekitaran. Ini akan memudahkan seseorang individu bagi melaksanakan proses untuk mencapai matlamat yang disasarkan.
Persekitaran ini juga berkaitan dengan usaha kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan. Di samping memberi bantuan berbentuk peralatan ataupun kewangan. Namun, kejayaannya tertakluk kepada penggunaan itu sendiri. Perkara ini telah kita bincangkan bersama dalam keluaran yang lepas-lepas. Maka, kita sewajarnya menyedari dengan memikirkan secara rinci bagi membantu diri kita, keluarga kita, kawan-kawan dan sebagainya agar dapat bersama-sama memanfaatkan perkembangan ilmu yang berkaitan mahupun pengaplikasian penggunaannya.
Menurut Goran Hedebro dalam bukunya yang telah diterjemahkan oleh Mokhtar Muhamah yang berjudul Komunikasi dan Perubahan Sosial Negara-Negara Membangun menyatakan bahawa perubahan berlaku jelas sekali dibentuk oleh komunikasi yang melibatkan pertukaran mesej dan ia wujud dalam persekitaran masyarakat yang mengutamakannya. Ini bermakna perubahan berlaku dalam persekitaran dengan adanya pengaliran maklumat.
Bagi menjayakan perubahan yang hendak dilakukan beberapa sumber diperlukan. Perkara asas dalam menentukan perubahan adalah ilmu yang diperoleh melalui pendidikan. Ia meliputi dalam hal memberi kemahiran, pengetahuan dan ilmu baru. Dalam konteks ini pembangunan diri dilihat dari segi pendidikan diri sepanjang hayat. Pendidikan ini tentu sekali selaras dengan kehendak perkembangan semasa.
Alvin Toffler dalam bukunya yang berjudul Powershift: Knowledge, Wealth and Violence At The Edge Of The 21st Century menegaskan bahawa ilmu pengetahuan itu adalah kuasa dan sesiapa yang menguasai pada masa depan akan menguasai dunia. Justeru itu, ilmu yang diperlukan adalah ilmu yang sesuai dengan tuntutan individu bagi mendepani perkembangan tersebut. Perkara ini pun telah kita bincangkan pada keluaran yang lepas-lepas.
Sumber kedua yang juga penting sebagai pelengkap kepada perubahan individu adalah kewangan. Tanpa kewangan yang teguh, sukar untuk mengaplikasikan perubahan secara tuntas. Kewangan melibatkan wahana memperoleh ilmu dan juga peralatan. Sekiranya kewangan tidak mampu memenuhi tuntutan tersebut, maka timbul masalah dari segi pengaplikasiannya bagi membentuk kesinambungan perubahan dan seterusnya menyulitkan pencapaian matlamat.
Walaupun kerajaan membantu dari segi prasarana, peralatan dan pendidikan, namun keperluan lain yang juga memerlukan kewangan harus diambil kira. Kesejajaran dengan peruntukan kewangan seharusnya seiringan bagi membina celik ilmu terhadap pemanfaatan perkembangan E-Komuniti
Peralatan juga merupakan sumber yang diperlukan dalam proses perubahan. Ini sesuai dengan era kepesatan sains dan teknologi masa kini. Ia ditambah lagi dengan fenomena “dunia tanpa sempadan”. Peralatan seperti komputer sebagai alat menyediakan internet bagi memperoleh maklumat perlu dipelajari dan dikuasai kecanggihannya. Justeru itu, sebagai seorang individu yang bertanggungjawab dalam mendepani kehidupan masa kini, usaha yang berterusan ke arah membentuk diri dan keluarga bermaklumat perlu dilakukan dengan penuh kesedaran.
Sememangnya ada kebenaran bahawa membincangkan hal-hal seperti E-Komuniti sebagai satu medium baru, wajar hasrat yang berbentuk memberi, membina dan menyampaikan maklumat terperinci tentang sesuatu hal perlu diambil kira. Apa pun, kaitan dengan perkembangan semasa dan berterusan haruslah dibina dalam suasana yang membudayakan keintelektualan yang benar dan bernas, bukan tersasar dan mempengaruhi pemikiran ke arah yang salah. Justeru, pengisian E-Komuniti yang hendak dimasyarakatkan wajar dititik berat soal pembinaannya. Jadi, akhirnya terpulang kepada diri kita sendiri. Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan