ETIKA ALAM SEKITAR
DALAM
"CERITA SEBUAH KAMPUNG CAHAYA" *
Memupuk kesedaran terhadap alam sekitar sudah sekian lama dilakukan. Apatah lagi dengan keadaan dunia yang semakin terdesak untuk memajukan kehendak manusia di samping tuntutan pemodenan prasarana demi kelangsungan hidup yang lebih canggih. Fenomena ini menjadikan sains dan teknologi mendominasi aplikasi kehidupan manusia. Usaha menyedarkan manusia tentang peri pentingnya alam sekitar kepada kehidupan manusia bukan hanya didorong oleh perlunya kehidupan tetapi juga keseimbangan yang menjadi faktor kelangsungan kehidupan. Sekiranya terabai, maka kesannya amat buruk terhadap manusia itu sendiri.
Alam sekitar adalah suatu perkataan yang amat biasa digunakan oleh manusia bagi menggambarkan fenomena yang wujud di sekeliling mereka. Perkataan "alam sekitar" atau dalam bahasa Inggeris disebut environment membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Oleh kerana itu, sekiranya berdasarkan kepada terjemahan literal, perkataan "alam sekitar" adalah merujuk kepada apa sahaja yang melingkungi dan mengelilingi manusia.
Definisi alam sekitar seperti yang dinyatakan tersebut secara langsung menolak fenomena sekeliling yang bukan fizikal. Di antara fenomena sekeliling yang bukan fizikal ialah fenomena yang meliputi suasana politik, ekonomi dan budaya sesebuah masyarakat. Namun, fenomena sosial seperti ini termasuk di dalam pengertian alam sekitar menurut pengajian Sains Sosial. Selain daripada itu, dalam pengajian keagamaan pengertian alam sekitar tidak terhad hanya kepada alam sekitar fizikal tetapi juga alam sekitar metafizikal yang dihubungkan dengan kuasa ketuhanan.
Istilah “etika” berasal daripada bahasa Yunani kuno. Kata Yunani ethos dalam bentuk tunggal mempunyai banyak erti antaranya tempat tinggal yang biasa, kandang, adat, akhlak, cara berfikir dan sebagainya. Dalam bentuk jamak, ethos bermaksud adat kebiasaan. Berdasarkan pengertian yang jamak ini maka terbentuk istilah “etika” oleh tokoh besar Yunani iaitu Aristotles (384-322 SM) dalam konteks falsafah moral.
Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia terdapat tiga ciri yang ditekankan sebagai bentuk tafsiran kepada makna etika ini iaitu;
a. etika yang dapat digunakan dalam erti nilai dan norma moral yang menjadi pegangan seseorang atau sekelompok dalam mengatur tingkah lakunya atau dianggap sebagai sistem nilai yang dapat berfungsi dalam hidup manusia individu mahupun pada tahap sosial.
b. etika sebagai ilmu bagi menentukan yang baik dan yang buruk. Atau juga sebagai kod etika
c. etika yang sama ertinya dengan falsafah moral
“Kemoralan” (daripada kata sifat Latin moralis) mempunyai erti yang pada dasarnya sama dengan moral, hanya mempunyai nada yang lebih abstrak. Justeru, yang dibicarakan tentang “kemoralan suatu perbuatan”, bermaksud moral suatu perbuatan atau baik buruknya. Etika dalam perbincangan ini nanti adalah menjurus kepada falsafah moral dalam konteks alam sekitar.
Krisis alam sekitar yang dihadapi oleh dunia hari ini, mula tercetus selepas Revolusi Industri yang berlaku di Eropah pada abad yang ke-18. Revolusi Industri ini membawa kesan yang menyeluruh bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi dan pertambahan populasi manusia tetapi juga kepada alam sekitar global. Aktiviti industri yang menghasilkan barangan bagi keperluan manusia mengeksploitasi sumber-sumber alam sekitar semula jadi secara besar-besaran. Perkembangan urbanisasi yang pesat pula menyebabkan berlaku kesesakan penduduk di kawasan bandar serta menyukarkan pengurusan persekitarannya.
Fenomena ini menggalakkan berlakunya pencemaran ke atas alam sekitar hasil daripada aktiviti-aktiviti manusia terutamanya perindustrian, sehingga mengganggu keselesaan hidup penduduk khasnya di bandar. Kesedaran secara langsung tentang krisis alam sekitar mulai timbul ekoran daripada terbitnya sebuah buku yang bertajuk Silent Spring pada tahun 1962.
Buku ini adalah hasil kajian seorang saintis wanita yang bernama Rachel Carson. Walaupun buku ini hanya menumpukan penjelasannya kepada kesan-kesan pencemaran akibat industri kimia ke atas alam sekitar, ia berjaya menyedarkan masyarakat dunia berhubung dengan krisis alam sekitar yang semakin meluas akibat sains dan teknologi di zaman moden.
Kesedaran alam sekitar yang dicetuskan Rachel Carson ini bukan sahaja menarik perhatian golongan saintis tetapi turut mempengaruhi para sarjana di dalam bidang-bidang yang lain. Pada tahun 1967 seorang ahli sejarah, Lynn White Jr., menulis sebuah artikel yang bertajuk The Historical Roots of Our Ecological Crisis. Artikel ini memuatkan pandangannya berhubung dengan faktor utama yang menyebabkan berlakunya krisis alam sekitar.
Menurut beliau, faktor utama yang mengakibatkan krisis alam sekitar ialah doktrin Yahudi-Kristian yang dikatakan melahirkan suatu pandangan alam atau worldview dalam kehidupan manusia, iaitu mereka diizinkan oleh Tuhan mengeksploitasikan alam sekitar demi kelangsungan atau survival hidup mereka. Lynn White Jr. mendakwa dengan berpegang kepada pandangan alam tersebut masyarakat barat khasnya menggunakan sains dan teknologi yang bersifat dinamik bagi mengeksploitasi alam sekitar tanpa batasan. Fenomena inilah yang menyebabkan gangguan dan kemerosotan kualiti alam sekitar secara lokal dan global.
Melalui sains dan teknologi, manusia mempunyai potensi besar untuk bertindak ke atas alam sekitar semula jadi menurut cita rasa mereka. Cita rasa manusia yang mendorong sesuatu tindakan atau aktiviti ke atas alam sekitar adalah dipengaruhi oleh pandangan semesta yang ada pada diri seseorang. Oleh yang demikian, krisis alam sekitar yang dihadapi oleh manusia hari ini adalah berkait rapat dengan pengaruh pandangan semesta seseorang.
Pandangan semesta yang tidak harmoni mendorong manusia menggunakan sains dan teknologi bagi merosakkan keseimbangan alam sekitar. Seharusnya disedari penyelesaian krisis alam sekitar zaman ini tidak memadai sekadar melaksanakan program perawatan alam sekitar, sebaliknya reformasi pandangan semesta adalah perlu ke arah pendekatan yang lebih holistik.
Kesedaran akan pentingnya pemuliharaan alam sekitar mula bangkit di dunia ekoran daripada krisis alam sekitar yang melanda. Menurut Zaini Ujang (1992) kesedaran itu begitu menyerlah sepanjang abad ke 20 sehingga mempengaruhi pelbagai bidang kehidupan, malah kemunculannya menjadi alternatif kepada pembentukan tata baru dunia atau new world order.
Justeru, pemikiran yang berteraskan alam sekitar dilihat mempunyai daya tolakan yang dominan untuk menentukan arah segala aspek kehidupan bagi mencapai matlamatnya. Gerak tindak serta arah tuju membina pembangunan dengan memelihara alam sekitar, memerlukan falsafah moral sebagai tunjang utama. Melalui Etika Alam Sekitar, dapat kita lihat dari DUA aspek yang utama iaitu kekaguman terhadap keindahannya dan keprihatinan terhadap kemusnahannya.
Kumpulan puisi Cerita Sebuah Kampung Cahaya (CSKC) karya Hipani Alwi menghimpunkan sebanyak 61 buah puisi dan 61 keping gambar. Gabungan kedua-duanya dibuat bagi menampakkan kaitan gambaran secara luahan penyair dengan paparan secara objektif melalui realiti dalam gambar. Walaupun tidak menepati secara total namun memberi pemahaman yang lebih kepada pembacanya.
Sekadar renungan bersama, sengaja saya petik prakata penulis, katanya “dalam penciptaan karya ‘Cerita Sebuah Kampung Cahaya’ saya mempunyai tujuan dan niat ingin meletakkan kampung pada kedudukan yang tinggi dalam pembangunan negara. Saya ingin melihat kampung tumbuh dari segi kecanggihannya, kemanusiaannya, ilmu-ilmunya. Saya tidak ingin melihat kampung tumbuh membesar dan menjadi sebuah kota”
Hampir ke semua puisi dalam CSKC ini menjadikan Etika Alam Sekitar sebagai temanya. Baik secara langsung atau tidak. Ia tergambar sama ada menjadi kekaguman terhadap keindahan alam sekitar dan juga keprihatinan terhadap kerosakan terhadap alam sekitar. Dari segi aspek keprihatinan perlambangan dan juga nilai digambarkan oleh penyair melalui puisinya. Sebagai contoh saya perlihatkan beberapa puisi tersebut.
Sebuah kota
mulai terbakar
adalah kota kita (Sebuah Kota; hlm 1)
Penyair memulakan dengan perlambangan tentang kota terbakar. Kalau kota itu kota kita, maka kita juga turut terbakar. Namun perlambangan di sini menuntut kita menentukan bentuk kota yang hendak kita jadikan kota kita.
Akan bangunkah nanti seorang nelayan
dengan sebuah luncur angin
(Kampung Ini; hlm 3)
Kampung yang dijadikan kota dipersoalkan oleh penyair dalam konteks ekonomi. Apakah proses kampung menjadi kota memberi jaminan tentang kebiasaan seorang “nelayan” dengan kemodenan untuk membangunkan ekonominya? Ini dikaitkan dengan tradisi kampung yang saling bekerjasama dalam apa-apa juga aktiviti. Apabila pembangunan berlaku, kekitaan mula longgar. Ini dibuktikan oleh penyair melalui perlambangan kerisauannya dalam puisi “Cerita Sebuah Negeri Industri” pada rangkap keempat.
Sebuah negeri industri terbina
berlari mengepung wawasan
kota-kota bertambah liar
kampung dan desa semakin terbiar
rumah batu dipagari besi
hati penghuni dihasut dengki
manusia terpenjara di negeri merdeka
(Cerita Sebuah Negeri Industri;
hlm 13)
Penyair berharap biarlah kota terbangun sendiri. Bukan melalui kampung. Kalau pun terbangun dari sebuah kampung, biarlah ciri-ciri kampung itu masih tertanam utuh dalam kota. Perhatikan puisi “Sebuah kota II” pada tiga rangkap terakhir, bagaimana penyair melambangkan kampung dan kota dapat menjadi satu tetapi masih kekal asas kewujudannya.
Sebuah kota
harusnya kita bangun sendiri
di hutan belantara
Sebuah kota
harusnya kita bangunkan sendiri
seperti sebuah kampung
Sebuah kota
mulai terbina di kampung
(Sebuah Kota II; hlm 20)
Penyair membuat perlambangan dua tempat yang sedang dan telah melalui pembangunan yang pesat. Pembangunan yang terjadi seakan tetap membawa bencana kepada alam sekitarnya. Ini yang cuba penyair jelaskan melalui puisi “Dua Muara Yang Berbeza” pada rangkap kedua dan rangkap kelima.
Kuala Sibuti adalah kampung
dibangunkan oleh nelayan sejak berkurun
tidak ada yang menyeksa hidupnya
kecuali orang kota yang datang
membeli tanah
untuk disimpan bertahun-tahun
dan apabila lebuh raya siap terbina
kondo-kondo dan motel mewah
datang mencurah mencemarkan
pantai-pantai nelayan
bersama hatinya sekali.
---------------------------------------
Dan Kuala Baram datang menerjah
pantainya musnah demi gah
kampung nelayan kehilangan arah
udara resah dengan sisa toksik
dan anak-anak pun terpelihara
di dalam sebuah kota
(Dua Muara Yang Berbeza; hlm 66)
Walaupun demikian, penyair cuba memberi alternatif agar kota dibina dengan model kampung. Maju tetapi mempunyai erti kekampungan. Gesaan ini untuk memperlihatkan kota penuh dengan kebermaknaan sebagai tempat yang dihuni atau didiami. Penyair membuat perlambangan harapan ini melalui sajak “Cerita Sebuah Kampung Cahaya II”. Cuba perhatikan pada rangkap kedua dan rangkap terakhir.
Katanya kampung cahaya dengan resah manusia
bisa saja ia berdoa untuk kerinduan
tapak kaki lebih akrab daripada sepatu kulit
di sini manusia bercinta lebih bererti
daripada kata-kata di lorong sempit.
-----------------------------------------------
Kampung cahaya sinarnya besar
tidak tergapai tangan mencapai
bangunkan tamadun baru
daripada sebuah kampung cahaya
(Cerita Sebuah Kampung Cahaya II;
hlm 86)
Sekiranya Kampung Cahaya yang diimpikan tidak mampu dibina, penyair menjadi resah. Keresahannya tergambar melalui perlambangan dalam puisi “Kasih Orang Pa’Dalih Dengan Pembangunan”
kami rela hidup di hutan
tanpa sebatang jalan yang sempurna
tapi kami tidak rela
kehilangan jari untuk menikam perkataan
ke seluruh jendela dunia
Dia seorang pegawai
bersih cekap dan amanah
bergaji besar hidup serba mewah
anak dua dan bersekolah luar negeri
isteri masih muda dan eksekutif di sebuah firma
berumah batu dan dirikan atas
keringat mereka yang miskin
dan tak mampu dan dia tahu
-----------------------------------------
Rumahnya telah terbakar
dia setinggan mencemar kota.
(Cerita Seorang Setinggan; hlm 5)
Berdasarkan puisi di atas, penyair meletakkan nilai kemanusiaan semakin terhakis apabila desakan pembangunan menjadi fokus kemodenan. Penindasan dan tindakan yang tidak mengambil kira nilai insani sewenang-wenangnya dilakukan atas dasar keperluan. Walaupun terpaksa bertindak kejam. Fenomena ini terserlah dalam puisi “Di Muara Sebatang Sungai”. Perhatikan nilai bangsa yang semakin tercabar dalam kenyataan penyair pada rangkap kedua.
Bisakah engkau kembali
membawa nikmat ketara
dari sebuah hutan belantara
engkau telah terlambat
untuk menidurkan kota besar
yang semakin galak
mencabar bangsa.
(Di Muara Sebatang Sungai;hlm 25)
Nilai yang diingini oleh penyair dalam membangunkan kota daripada sebuah kampung adalah nilai kemanusiaan. Penyair menerima pembangunan tetapi tidak mahu pengabaian nilai dilakukan hanya kerana tuntutan pembangunan semata-mata. Penyair sanggup hanya kota kecil yang wujud asalkan mampu membina kemanusiaan. Ini dapat diperhatikan dalam puisi “Kota Kecil” pada rangkap terakhir.
Benarkan mereka membina kemanusiaan
di atas pusara kota gergasi
kehidupan terlalu anggun
untuk dibangunkan
ke dalam sungai
kota kecil pun terserempak
wajah manusia sempurna.
(Kota Kecil; hlm 35)
Penyair juga menyedari kesan kota terhadap kampung. Kesan ini bukan sahaja menjadi nilai semakin terpinggir tetapi juga memberi dua pilihan kepada generasi baru. Kota mampu menjanjikan apa-apa sahaja. Sedangkan kampung semakin tertinggal atas alasan tetap menjadi kampung. Ini terkesan dalam puisi “Sepanjang Jalanan Ke Bakam V”
Benarlah kota bertambah besar
desa dibiarkan terbiar
anak-anak di sengaja sengsara
jalannya tiada
sungainya tercemar
gunung pecah berkecai
anak-anak pun berlari
berhamba pada bandar raya.
(Sepanjang Jalanan Ke BakamV ;hlm 54)
Dalam puisi “Tanjung Balipat” penyair begitu tegas memperkatakan tentang nilai kemanusiaan apabila kemajuan mendatang. Bagi penyair kampung yang hilang menjadi kota seakan melangkah ke dunia kejam. Desakan ini memungkinkan manusia hilang nilai diri. Perhatikan pada rangkap keempat.
Bisakah engkau kembali menghukum diri
kampung kita hilang di tengah kekejaman
anak-anak terseksa mencari harta
tanah telah tiada dibongkar kemajuan
rohani hilang upaya untuk mengasihani
manusia yang ada hati
(Tanjung Balipat; hlm 68)
Keresahan penyair tentang kota yang memamah nilai bukan sahaja tertumpu kepada manusia tetapi juga lingkungannya. Dalam sajak “Cinta Sungai Bencana” nilai alam sekitar telah diganggu gugat. Perhatikan gambaran nilai sekitarnya pada baris berikut.
Dan sepanjang sungai Baram
ketenangan telah mula tergoda
---------------------------------------
kesunyiannya telah tercemar
sepanjang sungai bencana
(Cinta Sungai Bencana; hlm 96)
Nilai dalam etika alam sekitar menuntut agar keseimbangan antara alam sekitar dan manusia itu wujud. Keseimbangan ini memberi satu kehidupan yang lebih bermakna. Dalam puisi “Ledakan Kota Raya” penyair mengakhiri puisinya dengan penuh pengertian. Perhatikan rangkap terakhir tersebut.
Dan yang membangunkan tubuh itu
adalah hati manusia
dan alam sekitar
(Ledakan Kota Raya; hlm 73)
Kekaguman terhadap alam sekitar bukan sahaja kerana keindahannya. Tetapi juga terhadap pembinaannya, pemuliharaannya dan keseimbangannya. Dalam konteks kekaguman ini, kebaikan dan keburukan dapat diperjelaskan. Ini penting sebagai satu perbandingan, bahawa setiap yang dilakukan mengambil kira semua aspek.
Berdasarkan CSKC ini penyair memberi perspektif kekaguman sebagai etika alam sekitar dengan menimbulkan falsafah alam sekitar itu sendiri. Contohnya, dalam puisi “Membangunkan kota-kota kecil”, penyair begitu berharap agar kota yang terbina dengan ciri-ciri yang mampu menimbulkan kekaguman. Perhatikan dua rangkap yang dipilih sebagai renungan bersama dalam puisi ini.
Aku memilih untuk membangunkan
kota-kota kecil
terbina merata negeri
dengan keperibadiannya
-------------------------------------------
Aku memilih untuk membangunkan
kota-kota kecil
terbina di dalam hutan rimba
untuk saling memahami
erti kehidupan
manusia dan alam
(Membangunkan Kota-Kota Kecil; hlm 22)
Etika kekaguman melalui falsafah alam sekitar ini juga tergambar dalam proses pembangunan itu sendiri. Penyair menginginkan dan berharap agar pembangunan yang terbina masih juga mementingkan keperluan masyarakat. Ini digambarkan dalam puisi “Negeri Kemenangan”. Antara yang menjadi idaman penyair ialah;
Gedung ilmu bercambah
negeri kecil bertambah makmur
teknologi semakin cepat
meninggalkan yang kalah
ke zaman purba
makmur rakyat jelata
dengan teknologi maklumat
binalah manusia sempurna
dengan kota kecil
di seluruh negeri
(Negeri Kemenangan; hlm 28)
Keinginan itu turut digambarkan dalam puisi “Kampung Penakub dan Kuala Lumpur”. Penyair sengaja mengagumi Kuala Lumpur sebagai sebuah kota pesat dan pada waktu yang sama juga mengagumi kampung Penakub yang masih segar dengan nilai kekampungannya. Penyair berhasrat sekiranya lahir sebuah kota yang mempunyai kekaguman yang terdapat daripada kota dan kampung itu.
Sebaiknya Kuala Lumpur
adalah sebuah kampung kecil
seperti kampungku
Kampung Penakub Hilir
telah dipenuhi rumah kaca
seabad datang
Manusia adalah seri
sebuah kota kecil
bangunan intelek
canggih keperibadian
gunung diselaputi kabus
belantara adalah kehidupan
anak-anak kita
(Kampung Penakub dan Kuala Lumpur;
hlm 42)
Penegasan ini juga digambarkan oleh penyair dalam puisi “Kampung Kedayan Tiris: Sebuah Kampung Seribu Impian Sejuta Harapan III” dalam dua rangkap terakhir.
Akulah yang mereka pilih itu
untuk membangunkan rumah batu
bercahayakan tenaga suria
air dari sungai yang sungguh bersih
rimba dengan beraneka warna
kampung kita adalah sebuah tanam
di dalam hutan
Kampung Kedayan Tiris
akan aku bangunkan engkau
sebuah kehidupan sempurna
dari zuriatmu sendiri.
(Kampung Kedayan Tiris; hlm 51)
Begitu juga dengan kekaguman penyair dengan keindahan yang masih terpelihara seperti yang diungkapkan dalam puisi “Paya Selanjau II” pada rangkap kedua.
Aku akan selalu kembali ke daerahmu
melihat ladang yang luas terbentang
pohon-pohon hijau dan hutan tebal
langitmu nan sentiasa damai
suara-suara alam gemercik bayu
berjalan di atas kakiku
(Paya Selanjau II; hlm 76)
Proses keberterusan kehidupan bergantung kepada keseimbangan antara manusia dan alam sekitarnya. Etika ini penting dipatuhi kerana melalui kefahaman ini maka alam akan memberi balasan terhadap persekitarannya termasuklah kepada manusia. Penyair menyedari hakikat ini. Penyair menyatakannya dalam puisi “Cerita Dari Sebuah Rumah Panjang IV”. Perhatikan rangkap kedua.
Lembah ini telah bertahun-tahun
membahagiakan hutan belantara
anak-anak kecil bermain air
di Sungai Merah dan Sungai Putih
lembah Saeh akan membangun
manusia yang kasihkan alam
langit tidak akan sentiasa kosong
awam pasti datang membasahi bumi
kerana pohon-pohon yang berdoa
(Cerita Dari Sebuah Rumah Panjang IV;
hlm 88)
Kekaguman yang penyair rasakan terhadap pembangunan dalam lingkungannya harus terbina daripada kesedaran yang perlu dirasakan oleh semua pihak. Ini yang ditegaskan oleh penyair dalam “Membina Kampung I” pada rangkap terakhir.
Membina kampung
harusnya bermula dari hati tersentuh
dan puncak kuasa yang bersedih
bersama tangisan anak-anak berlari
ke hujung sebuah gunung
dan kampung terbina
malangnya dari kertas berpangkah salah
(Membina Kampung I; hlm 112)
Kumpulan puisi “Cerita Sebuah Kampung Cahaya” terhimpun perasaan resah dan terpancar harapan tinggi tentang pembangunan dan kemajuan yang mewarnai kampung yang bakal menjadi kota. Resah bertandang sekiranya kampung kehilangan peribadinya apabila berstatus kota. Harapan tertanam, sekiranya kota yang dibina berasaskan nilai yang terpupuk di dalam kampung.
Justeru, Hipani Alwi menjadikan “Cerita Sebuah Kampung Cahaya” sebagai kritik masyarakat sama ada golongan penguasa atau rakyat umum agar memahami bahawa etika alam sekitar perlu dipraktikkan serta dihayati bagi menjamin kehidupan bukan sahaja terbangun dari segi fizikalnya tetapi juga dari segi keseimbangan kehidupan lain di muka bumi ini.
Rabu, 15 April 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan