Pertama-tama sekali, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada yang maha Esa, kerana dengan limpah rahmat dan keizinan-Nya juga maka kita dapat bersama-sama untuk menikmati hidup sehingga ke hari ini. Banyak perkara yang berlaku tanpa kita sedar. Kalau pun kita menyedarinya barangkali kita sekadar memandang mudah. Kecuali sesuatu kejadian itu berlaku terhadap diri kita ataupun yang dekat dengan kita
Sesungguhnya, dalam kesibukan negara kita membina pembangunan ekonomi serta memperbetulkan tanggapan beberapa pihak tentang apa yang berlaku dan mempergiatkan lagi pelbagai kempen khususnya tentang pencapaian negara kita, pelbagai pula kejadian yang meresahkan kita. Kemunculan penyakit yang menyerang kanak-kanak sehinggalah kenaikan harga minyak, di samping diberatkan lagi dengan kenaikan harga barangan keperluan asas, semuanya menjadikan kita tersentak dalam kelekaan kita selama ini menikmatinya.
Justeru, kita amat berterima kasih kepada keprihatinan pihak kerajaan yang sedaya upayanya membetulkan keadaan dengan mengadakan beberapa langkah tindakan yang bukan sahaja memberi ruang untuk rakyat berfikir tetapi juga bertindak dengan rasional yang murni. Sememangnya, kerjasama antara kerajaan dan rakyat mampu menghasilkan keputusan yang memenuhi kehendak masing-masing. Ini penting kerana kerajaan adalah rakyat dan rakyat adalah kerajaan. Pengertian ini harus kita dalami dengan renungan yang panjang. Bukan hanya dilihat dalam konteks politik semata-mata.
Apabila kita menyedari hakikat ini, maka usaha mengilmukan masyarakat adalah di bawah tanggungjawab bersama sama ada kerajaan mahu pun rakyat. Konteks ilmu yang hendak kita bincangkan bersama di sini adalah yang menyentuh soal-soal kesedaran terhadap tanggungjawab bersama. Kemakmuran yang kita hajati bersama. Kecemerlangan yang kita cita-citakan bersama. Kejayaan yang kita harapkan bersama.
Untuk mewujudkan suasana keilmuan ini dalam rutin harian kita, mahu tidak mahu kita harus bersedia dengan sebarang perubahan. Tetapi perubahan yang kita rencanakan atau yang kita janakan haruslah menguntungkan semua pihak. Khususnya generasi muda kita. Seandainya hal ini tidak kita pandang dengan penuh kesedaran kita akan mengalami peristiwa yang lebih mengejut di masa depan. Bahkan sekarang ini, bibit-bibit kekhuatiran itu mula menapak sedikit demi sedikit.
Kita percaya, untuk mengetengahkan pemikir muda dalam konteks kini, negara kita sudah berjaya. Tetapi dalam konteks pemikir muda yang bersahsiah tinggi, kita memerlukan lebih usaha agar dari segi puratanya, kita bukan setakat melahirkan yang bijak pandai tetapi juga yang arif dengan kebermaknaan kehidupan. Usaha ini tentu sekali memerlukan komitmen, kerjasama dan perancangan yang rapi daripada semua pihak.
Namun kita semua harus percaya bahawa berkat kesungguhan, ketabahan dan keikhlasan pelbagai pihak yang mahu melihat generasi muda membina sahsiah masyarakat ke arah masyarakat bermaklumat perlu didukung oleh aspirasi kerajaan yang juga mahu melihat perpaduan dan keharmonian sentiasa dipelihara. Justeru, tanggungjawab ini harus kita pikul bersama dengan penuh iltizam dan suci.
Kini kita harus mula bertindak untuk melakukan usaha yang berterusan bagi menyediakan generasi muda dengan pelbagai program yang mampu menganjak pemikiran mereka dengan menguasai pelbagai ilmu agar mampu bertindak pro-aktif, berpandangan ke depan, sentiasa memelihara dan mempertahankan budaya bangsa serta bersedia dengan sebarang bentuk ancaman minda. Kita harap generasi muda kita mampu meletakkan diri mereka sebagai pemikir ke arah tersebut.
Pembentukan budaya global bukan sahaja meliputi perubahan dalam gaya hidup masyarakat tetapi juga corak pemikiran, kepenggunaan, produk dan identiti masyarakat. Keadaan ini secara tidak langsung menuntut kita supaya mentakrif semula istilah budaya yang diguna pakai memandangkan budaya nasional dan tempatan pada hari ini telah dipaksa untuk melawan tekanan globalisasi.
Umum mengetahui, negara kita Malaysia kini begitu pesat membangun khususnya dari segi ekonomi. Malah negara kita tersenarai sebagai negara ketiga yang paling pesat membangun. Maka, perkembangan ini perlu dilihat dari sudut pro dan kontranya. Kita perlu berhati-hati bagi memastikan arah dan masa depan negara, budaya, agama dan bangsa Malaysia masih utuh dipertahankan. Wallahualam.
Ahad, 5 April 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan