PERTENTANGAN;
CEMERLANG PADA WAKTUNYA,
GEMILANG DI ALAF BARU·
Novel ini memaparkan kekalutan pemikiran watak-wataknya yang berhadapan dengan kecamuk ideologi atau “ism” yang baru mereka kenali. Ia merupakan manifestasi suasana sosial dan kekalutan minda cerdik pandai Melayu dalam era 1960-an yang terdedah kepada pengaruh ilmu dari Barat
(Laporan Panel Anugerah Sastera Negara 2003)
PENDAHULUAN
Makalah yang kecil ini, cuba membuat satu tanggapan terhadap Pertentangan, novel Sasterawan Negara S. Othman Kelantan dalam penelitian teori estim. Tanggapan ini berlandaskan kepada dua faktor iaitu pemikiran pengarang yang tersadur dalam novelnya dan hasil analisis terhadap beberapa kritikan yang telah dilakukan oleh pengkritik sebelum ini yang kemudiannya dijadikan sebagai satu perbandingan yang mungkin dapat menimbulkan hasrat baru bagi membincangkan novel Pertentangan ini. Penelitian yang dilakukan dengan teori estim terhadap novel ini juga sekadar memberi nafas baru serta percubaan untuk mengetengahkan elemen baru dalam kritikan sastera iaitu dalam konseptual motivasi.
Hasrat baru ini selaras dengan tuntutan semasa yang mendesak kita menilai semula fenomena yang ada di sekeliling kita. Perubahan demi perubahan sentiasa berlaku dan mengkehendaki paradigma kita turut terangsang untuk lebih ke depan mencari makna yang lebih jitu dalam sastera. Di samping keperluan kita menjana pelbagai kaedah dan pendekatan yang memungkinkan sastera dapat diperhalusi nilainya dengan teori-teori yang dirasakan mampu membuka horizon baru dalam kritikan. Usaha ini sebenarnya telah lama dilakukan.
Mohamad Daud (2002) pernah menegaskan bahawa kita perlu menyedari kepentingan teori sastera dalam menentukan keobjektifan hala tuju genre sastera dalam memecahkan idea, imej, gaya, teknik, komposisi, bahasa, budaya dan pelbagai elemen terkandung dalam teks sastera yang sesuai dengan peredaran zaman, maka wajarlah jika kita ditawarkan dengan pelbagai teori sastera dalam menganalis teks sastera.
Sohaimi Abdul Aziz (2003) turut menyakini bahawa kritikan sastera akan berkembang pesat apabila kehadiran pelbagai teori kritikan sastera dapat dimanfaatkan melalui pemahaman, penerimaan dan penggunaan yang bijaksana. Menurut A. Wahab Ali (2000) karya sastera mempunyai kedudukan yang unik. Di satu pihak mengandungi fakta dan unsur antara lain; sosial, psikologi, ekonomi, sejarah, budaya dan sebagainya. Hal ini sama juga dengan karya ilmiah lain. Misalnya karya ekonomi, sejarah dan budaya. Maka itu ada pula kecenderungan disiilin-disiplin ilmu tertentu mengkaji karya sastera daripada disiplin ilmu masing-masing.
Hashim Awang (1978) mengatakan bahawa seorang psikologis melihat sastera mungkin bagi tujuan mempelajari manusia termasuk penyakit-penyakit jiwa manusia yang terolah dalam sesebuah sastera itu. Andaian mereka bahawa seseorang pengarang itu menghidap penyakit jiwa. Oleh sebab pengarang itu sakit jiwa maka ia melepaskannya sakit jiwanya di dalam bentuk tulisan
Berdasarkan keinginan dan pendapat tersebut, dengan rasa rendah diri, penulis cuba untuk mengemukakan satu tanggapan melalui teori estim terhadap sebuah novel yang cukup tinggi mutunya; buah tangan seorang Sasterawan Negara. Justeru, akan timbul pelbagai kelopongan yang memerlukan teguran, komen dan penambahbaikan daripada peneliti yang lain.
MOTIVASI DAN INSPIRASI
Setiap individu mempunyai pelbagai keperluan jasmani dan rohani. Ada di antara keperluan itu amat penting di mana manusia tidak boleh hidup tanpanya manakala di antaranya tidak begitu penting, kalau tidak ada pun manusia masih boleh hidup juga. Keperluan-keperluan itu menyebabkan manusia sangat mudah terpengaruh. Pengaruhnya wujud melalui inspirasi sebagai tindakan pemikirannya dan motivasi sebagai tindakan tingkah lakunya
Inspirasi ialah perubahan dalam pemikiran dan motivasi ialah perubahan dalam tindakan. Inspirasi wujud kerana motivasi dan motivasi wujud kerana inspirasi. Kedua-duanya saling berkaitan. Gabungannya seperti duit siling yang mempunyai dua permukaan. Saling lengkap melengkapi.
Menurut Shiv Khera (1998) motivasi bagaikan api yang akan padam melainkan “bahan api” sentiasa diberikan kepadanya. Bagaimanapun, jika sumber motivasi tersebut lahir dari kepercayaan terhadap nilai diri sendiri ia akan kekal lama. Potensi manusia tidak ada batasnya cuma kadang kala manusia sendiri membataskan dirinya untuk maju. Batasan ini adalah disebabkan oleh terbatasnya pemikiran mereka. Menurut Abdul Rahman (1998) individu semestinya menyemaikan mindanya dengan pemikiran besar kerana individu tidak boleh naik lebih tinggi daripada apa yang mampu mereka fikirkan
Menurut Abdullah Hassan (2001) semua teori motivasi mempunyai objektif yang sama iaitu masing-masing cuba menerangkan mengapa manusia melakukan apa yang mereka lakukan. Semua teori motivasi percaya bahawa setiap kelakuan manusia mempunyai sebabnya. Ia bukan sesuatu yang berlaku disebabkan faktor-faktor yang rawak. Ini bererti semua teori-teori itu percaya bahawa tingkah laku manusia dapat diterangkan sebab dan akibatnya.
Sesetengah teori motivasi memberi tumpuan kepada jenis-jenis tingkah laku yang dihasilkan oleh punca-puncanya. Teori-teori itu menumpukan perhatian kepada peranan proses pengukuhan tingkah laku. Sesetengah teori memberi tumpuan kepada peranan faktor-faktor kognitif iaitu merujuk kepada cara-cara manusia berfikir. Teori-teori jenis ini percaya setiap tingkah laku manusia didorong oleh tujuan. Ia percaya pemikiran manusia bertanggungjawab menentukan kelakuannya. Tumpuan teori ini fokus kepada apa yang mendorong kelakuan manusia dan mengapa manusia terdorong untuk melakukan sesuatu perbuatan.
Menurut Azlena (2004) perbezaan di antara manusia biasa dan manusia genius bukannya terletak pada gen tetapi terletak pada diri manusia sendiri. Menurut pakar neurosains manusia biasa dan manusia genius berbeza dari segi sejauhmana mereka berjaya menggunakan potensi otak secara berkesan untuk mencapai sesuatu matlamat. Ziglar (1974) juga menegaskan bahawa kita dilahirkan untuk menang/berjaya tetapi suasana yang menyelubungi hidup kita telah memerangkap diri kita untuk kalah/gagal sekiranya kita tidak mampu mendepaninya.
TEORI ESTIM
Menurut Ainon Mohd. (2003) konsep “estim” di Barat banyak persamaan dengan konsep “maruah” dalam psikologi orang Melayu. Maka, teori estim dikaitkan dengan ciri-ciri tingkah laku yang menjadi sebahagian daripadanya iaitu;
a. Menghargai diri sendiri
b. Menganggap diri sendiri sesuatu yang penting
c. Sanggup bertanggungjawab atas tingkah laku dan perbuatan sendiri
d. Menganggap orang lain mulia dan berinteraksi dengan mereka itu dengan cara-cara yang memuliakan mereka.
Estim ialah perasaan yang dirasai berkenaan nilai diri sendiri. Sisi yang lain estim menjawab pertanyaan. Adakah anda seronok dengan keadaan diri anda sekarang? Maka tidak hairanlah apabila individu-individu yang berjaya berasa seronok dengan keadaan diri mereka. Estim ialah sebahagian daripada unsur dalam konsep diri, di mana estim adalah bahagian yang menilai diri sendiri. Estim mempunyai kaitan yang amat kuat dengan keyakinan diri dan kejayaan..
Di pandang sudut yang lain, estim ialah sejauh mana seseorang itu menyukai dirinya sendiri. Estim dikatakan rendah apabila dia tidak berapa suka pada dirinya manakala estim tinggi apabila dia seronok menjadi dirinya. Estim ialah penilaian yang menyeluruh ke atas diri sendiri. Ia adalah gabungan antara konsep diri seseorang dengan semua dirinya yang mungkin. Ada pakar-pakar psikologi yang mengatakan estim ialah sejauh mana seseorang itu menerima diri kita sendiri sebagaimana yang sebenarnya (Ainon;31)
Maksudnya dapatkah seseorang itu menerima bahawa dia mempunyai ciri-ciri yang istimewa pada dirinya dan juga ciri-ciri yang tidak istimewa? Dia juga menerima bahawa dia bukan hanya sudah banyak melakukan perkara baik dan bijaksana tetapi juga pernah melakukan perkara-perkara yang bodoh dan tidak bijaksana. Dia dapat mengakui ada masanya dia berjaya, tetapi ada masanya dia gagal kerana tersilap.
Menurut Edward (1999) estim mempunyai kaitan dengan sejauh mana seseorang itu menghargai dirinya sendiri. Estim juga memberitahu sejauh mana seseorang itu berasa dirinya seorang yang baik dan berguna tanpa mengira apa yang sudah berlaku pada dirinya selama ini.
SEPINTAS LALU TENTANG PERTENTANGAN
Novel Pertentangan terilham daripada pembacaan S. Othman Kelantan akan tulisan Muhammad Nasir, ulama dan mantan Perdana Menteri Indonesia. Isinya sarat dengan perdebatan falsafah Islam dengan falsafah Barat. Golongan falsafah Barat diwakili oleh Burhan manakala Islam diwakili oleh bapanya Haji Saleh dan sahabatnya Abu Bakar. S. Othman Kelantan jelas mencuba sesuatu cara yang baru di Malaysia ketika itu kerana memasukkan teknik nota rujukan dalam novelnya bagi menjelaskan konsep yang sukar dan tokoh-tokoh falsafah dunia seperti Montesquieu, Solon, Karl Marx, Immanuel Kant, Al-Farabi, Ibnu Khaldun, Ibnu Rush, Ibnu Tufail, Pierre Joseph Proundhon, Julien Offroy, Jean Jacques Rousseau, Rene Descrates, Aristotle, Plato, Socrates dan lain-lain (Mohd. Saleeh Rahamad; 4)
Yang menjadi pertentangan dalam novel Pertentangan ialah agama dengan atheisme. Burhan, tokoh utamanya berubah sikap menjadi penganut fahaman "universal humanisme" setelah berkawan dengan orang-orang yang berfikiran bebas seperti Bung Kahar, Salim, Gan Guan Sing, Gobinda Raju dan Xavier. Dia terseret lebih jauh apabila hatinya jatuh cinta kepada Su Jun Chin. Dia juga berfikiran bebas. Perpisahannya dengan kekasihnya itu berlaku apabila Salim cuba merogolnya. Salim dan Bung Kahar tertangkap kerana menjalankan kegiatan subversif sementara Su Jun Chin melarikan diri ke Singapura untuk mengelak rasa malu.
Burhan serba salah apabila seorang demi seorang kawannya tidak lagi percaya kepada konsep perjuangan Bung Kahar dan See Sin, tokoh anarkis itu. Dia lantas ke Ipoh menemui Raju. Pada waktu yang sama, Su Jun Chin balik ke Kota Bharu. Setelah mendengar berita tersebut, Burhan ingin pulan menemui kekasihnya itu yang sudah bermesra pula dengan seorang duda, Ustaz Abu Bakar, ulama muda yang radikal. Dia merupakan wakil rakyat dari Parti Persatuan Rakyat.
Isterinya, Zarina (bekas tunangan Burhan) meninggal dunia. Su Jun Chin memeluk agama Islam dengan nama Azizah. Dia tidak percaya lagi kepada konsep yang masih dianuti oleh Burhan. Dia lebih tertarik kepada Untaz Abu Bakar. Burhan membunuh wakil rakyat itu. Selepas itu dia pulang untuk meminta maaf daripada ayahnya, Haji Salleh. Akhirnya Burhan ditangkap kerana melakukan pembunuhan.
Pada keseluruhannya Pertentangan merupakan novel yang berat persoalannya. Di samping keberanian pengarang yang pada waktu itu masih lagi dalam tahap awal penciptaan novel menerjuni daerah yang luar biasa dengan pertentangan di antar fahaman keagamaan yang maju dengan fikiran muda yang bebas, patut sekali dipuji. Yang meletakkan kejayaan pada novel ini ialah paduan di antara teknik, pokok persoalan dan pengetahuan pengarang sendiri yang tidak dangkal terhadap apa-apa yang diperkatakannya. (Ilias Haji Zaidi; 150)
Novel ini mengisahkan Burhan, anak kepada Haji Saleh yang merupakan guru agama mengambil keputusan melanjutkan pelajarannya di kota dan terpengaruh dengan idea-idea falsafah Barat. Burhan menyertai kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai humanism, revolusiner dan anarkism. Ada beberapa sebab Burhan menyertai kumpulan ini; pertamanya terpengaruh oleh perkembangan teknologi yang dihubungkan dengan perkembangan cara berfikir yang rasional. Keduanya, bertentangan dengan cara berfikir keagamaan yang dianggap bersifat dogmatik. Ketiganya, kerana cintanya kepada Su Ju Chin. ( Umar Yunus;52)
Di dalam novel S. Othman Kelantan ini peristiwa-peristiwa yang dikemukakannya melompat-lompat, tidak ada perpaduan yang rapat antara satu sama lain. Di dalam Bab I , tidak ada perpaduan yang rapat antara satu sama lain. Di dalam Bab I, kita diperkenalkan dengan Burhan seakan-akan benar-benar yakin pada kepercayaannya.
Akan tetapi di dalam Bab 2, kita diperkenalkan dengan Burhan yang pendiam, yang tidak berani dan yang ragu-ragu. Sebenarnya cerita bermula di dalam Bab 2 ini. Di dalam bab ini yang penting ialah peristiwa perpisahan Burhan dengan kekasihnya Su Ju Chin. Perpisahan ini merupakan suatu turning point di dalam hidup Burhan. Hidupnya menjadi tidak tenteram kerana cintanya yang amat mendalam terhadap gadis itu.
Dia mengembara ke Singapura, ke Ipoh dan akhirnya kembali ke Kota Bharu kerana mencari kekasihnya. Apabila kedua-dua kekasih dipertemukan kembali, di dalam keadaan di mana percintaan itu sudah jadi tiga segi, maka cerita pun tamat dengan satu pembunuhan. (Mohd. Affandi Hassan; 244)
Watak-watak yang dilukiskan oleh S. Othman nampaknya lebih banyak membicarakan soal Tuhan dan soal agama. Sedangkan orang marxis tidak banyak bicara soal Tuhan dan soal agama. Orang atheis tidak semestinya anti-kolonial dan anti-kapitalis. Banyak kapitalis yang menjadi atheis. Orang-orang yang dikatakan atheis dalam “Pertentangan” itu lebih banyak merupakan orang-orang cynist tanpa pegangan ideologi apa-apa.
Kelemahan watak-watak itu ialah watak-watak tidak menyakinkan. Kalau sekiranya mahu dikatakan Kahar seorang marxis, dia tidak pula berbicara dan berlakuan sebagai marxis. Kalau sekiranya dia pejuang besar, dia cuma omong-omong sahaja , tidak bergerak dan tidak berjuang. Kalau mereka atheis mereka berbicara sebagai anak-anak liar sahaja. (A. Samad Ismail; 307)
S. Othman Kelantan (2003) menjelaskan bahawa novel Pertentangan merupakan novel yang pertama menekankan pemikiran dan idea. Sewaktu menulis novel ini, beliau sedang mempelajari falsafah Islam secara pemondokan dan banyak membaca sejarah dan pemikiran Barat terutamanya mengenai ideologi sosialis. Oleh sebab pemikiran ini agak sukar difahami terutama istilah seperti The Trias Politika, undang-undang Solon, teori dialektika, Modjokertensis Pithecantropus, Homo Neanderthlensis, falsafah kenegaraan al-Farabi, ibnu Khaldun, ibnu Tfail, anarchism, sinar-X, sinar Gamma, sinar Infrared, sinar Cosmics dan sebagainya. Beliau telah menulis footnote atau catatan hujung di tiap-tiap bab novel Pertentangan ini.
Novel ini mendapat pelbagai reaksi; ada pihak yang mengatakan novel ilmiah sukar difahami, ada pihak mengatakan penulisnya hendak memperagakan ilmunya yang sedikit, ada pihak yang mengatakan penulisnya tidak mempunyai benar-benar ilmu dan ideologi yang diperkatakan dan ada pihak pula mengatakan novel ini merupakan satu turning point dalam perkembangan novel Melayu. Ada pihak juga yang megatakan penulis telah menjadikan novel Atheis oleh Achdia Kartamihardja sebagai model utama.
Yang jelas, S. Othman Kelantan orang yang pertama di Nusantara yang menggunakan nota kaki atau catatan hujung dalam novel iaitu pada tahun 1967. Novel Pertentangan banyak menimbulkan pro dan kontra. Walaupun beliau dipuji dan diejek, beliau berasa gembira kerana beliau telah menghasilkan sesuatu idea atau pemikiran yang mungkin berlainan daripada kewujudan novel waktu itu.
Setelah membaca dan meneliti Pertentangan dari sudut pro dan kontranya serta pendapat dan komen yang pelbagai daripada pengkritik yang cukup berwibawa, penulis dapat membuat sedikit rumusan bahawa Pertentangan sememangnya “cemerlang” pada waktunya dan “gemilang" di alaf baru ini. Pertentangan telah “menujahkan” cara berfikir dan memaknakan nilai “orang kita” yang selalu menjadi pengikut semata-mata.
Kita tidak pernah menghargai apa yang telah kita punyai; Islam sebagai jalan hidup. Setiap yang baru dianggap mempunyai nilai yang tinggi. Tanpa disaring dengan akal budi dan penilaian makna kehidupan sejati. Lantas, dunia pemikiran kita bercelaru, lalu menjadikan kita sentiasa menjadi pengikut ilmu yang ditentukan oleh orde baru. Inilah perkara pokok yang dilontarkan oleh S. Othman Kelantan dalam Pertentangan pada waktu itu.
Justeru, dalam alaf baru yang didominasikan dengan fahaman global atau globalisme ini; fahaman yang sentiasa mendesak kita menerima apa sahaja atas alasan dunia tanpa sempadan, Pertentangan menjadi cukup bernilai untuk diperlihatkan kembali dengan nada dan rasa yang baru bagi memberi nilai kegemilangan pemikiran kita terhadap alaf baru. Peristiwa yang digambarkan oleh S. Othman Kelantan dalam Pertentangan, kini berulang walaupun berlainan praktiknya tetapi asasnya masih sama kerana masih ramai di kalangan “cerdik pandai” serta masyarakat (terutamanya remaja) kita memuja-muja ideologi atau fahaman luar kerana kita masih menjadi pengikut ilmu; bukannya peneroka ilmu baru.
PENELITIAN PERTENTANGAN DENGAN TEORI ESTIM
Menurut Ainon (2003) pakar psikologi mengatakan bahawa ada beberapa faktor yang menjadi sumber estim yang mampu mempengaruhi tingkah laku iaitu;
a. agama sebagai pegangan nilainya
b. pemikiran yang sihat dan positif
c. bakat dan kebolehan
d. berkomunikasi/ bahasa yang positif
e. persekitaran dan pencapaian terbias
Penelitian terhadap Pertentangan dengan menggunakan teori estim ini hanya tertumpu kepada nilai diri yang ada pada watak utama dari segi nilai estim positif dan negatif melalui garapan pengarang. Justeru, pemikiran pengarang terlebih dahulu dimaknakan dalam penelitian teori estim ini kerana pada tanggapan penulis, daya fikir pengaranglah yang mampu menjadikan novelnya sebuah novel yang mendorong, mengajak dan merangsang pembaca untuk membuka minda dan beralih untuk berfikiran positif.
Pada pendapat penulis, S. Othman Kelantan melahirkan Pertentangan kerana ada nilai agama sebagai pegangannya. Selaras dengan tuntutan amal makruf nahi mungkar. Di samping mengingatkan kita tentang hubungan manusia dan tuhan serta hubungan manusia dengan manusia. Lantaran sedar atas tanggungjawab sesama inisan ini menuntut pengarang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Pembinaan ke arah pemikiran yang sihat dan positif ini, pengarang mencetuskan dua ideologi dalam Pertentangan untuk dibuat perbandingan iaitu yang mana baik dan yang mana tidak baik melalui falsafah Barat dan Islam. Menurut Wan Hashim Wan Teh (2004) wajah Melayu adalah manusia keliru apabila mempelajari sesuatu ilmu itu separuh selesai; dan apabila berdepan dengan pelbagai “ism” dari Barat. Hal ini digambarkan dengan jelas melalui novel Pertentangan.
S. Othman Kelantan (2004) sendiri menegaskan keberanian inteletual harus dimiliki oleh penulis. Misalnya pembaca kini sedang menghadapi kekeliruan global yang dicurahkan ke atas umat Islam di seluruh dunia melalui media, yang mengikut sahaja tanpa memikirkan cara untuk membantahnya secara intelektual.Tambahnya, secara lumrah penulis manusia biasa, tetapi daripada psikologi atau dalaman penulis mempunyai peribadi yang berlainan dengan orang biasa.
Penulis mempunyai sensitiviti dan persepsi yang tajam terhadap sesuatu kejadian atau pergolakan yang berlaku dalam masyarakatnya. Melalui dua pendapat ini, jelas sekali Pertentangan terbina dari desakan pengarang untuk menyedarkan pembaca khususnya masyarakat dalam bentuk bantahan intelektualnya.
S. Othman Kelantan mempunyai daya fikir yang tinggi sesuai dengan nilai estimnya sebagai seorang berjiwa Islam yang berada dalam kelompok masyarakat Islam dan dipayungi oleh sebuah negara Islam.
Justeru, penulis cuba menyusuri watak yang dibina oleh pengarang bagi melontarkan keresahan serta bantahannya terhadap apa yang dilalui oleh masyarakat waktu itu. Watak Burhan dalam Pertentangan digambarkan sebagai seorang yang mempunyai estim yang rendah. Walaupun Burhan mempunyai pendidikan agama, namun mengabaikan agama sebagai pegangan nilai hidupnya. Inilah yang dimaksudkan oleh Mohd. Saleeh (1998) bahawa watak Burhan dimalangkan oleh kejahilannya sendiri.
Burhan hanya terangsang estimnya apabila menerima fahaman yang memberi kebebasan berfikir dan bertindak. Pada awalnya, Burhan beranggapan dia dan kumpulannya merupakan generasi baru yang lebih ke depan dalam makna kehidupan hingga sanggup menentang ayahnya sendiri dan menyanjungi fahaman barunya..
Dan rasanya, kehidupan yang ayah tempati sekarang akan menemui jalan akhirnya. Iaitu apabila Angkatan Baru datang menggantikannya
(halaman 3)
Dalam soal mewujudkan satu prinsip besar manusia, ayah perlu mengenal Montesquieu dengan falsafah-falsafah perjuangan dan politiknya untuk membebaskan umat manusia. Perlu mengkaji asas hukum Solon untuk persamarataan manusia. Perlu kita ikuti study masyarakat dari konsep Karl Marx menegakkan kaum proletariat. Dan untuk tujuan mengenal manusia sejati kita perlu berpegang teguh kepada kudrat sendiri, menjadi ratioanalist, walaupun kita tidak perlu mengosongkan fikiran menjadi free-thinker. Malah perlu kita memasuki walau dunia anarchist pun!
(halaman 5)
Di samping itu rasa kecintaannya kepada seorang wanita; Su Ju Chin, menjadi sumber inspirasinya untuk terus bergelumang dalam kumpulan tersebut. Apabila Su Ju Chin dan Burhan berpisah, Burhan menjadi ragu-ragu tentang kebenaran perjuangan kumpulannya. Apatah lagi tempias daripada berita tertangkapnya Bung Kahar menjadikan estimnya semakin negatif
Burhan tidak dapat menjawab. Tenggoraknya tersekat. Sekali pun percintaan itu merupakan hasil tertinggi dari seluruh perasaan akan tetapi dadanya masih berat oleh tekanan-tekanan agama yang telah ditanamkan oleh keturunannya turun temurun.
(halaman 31)
“Bung Kahar dituduh subversib, penabur kuman revolusi untuk menderhaka” Guan Sin bersuara seperti menahan perasaan marah.
“Tak apa, Han, See Sin akan menjadi ketua kita” Guan Sing menamatkan perkataannya tanpa di minta
“Kita terus berjuang menentang mereka” seru See Sin setelah Burhan menamatkan bacaan surat Bung Kahar.
“Kita tentang imperialis dan kapitalis yang berleluasa di tanah air kita. Selamat berjuang!”
See Sin dan Gan Guan Sing bergerak keluar dari kamar. Burhan tinggal tercengang di dalam seruan-seruan yang kurang difahaminya.
(halaman 64)
Burhan yang sudah meletakkan dirinya dalam persekitaran yang merendahkan nilai estimnya, hilang pertimbangan sebagai seorang manusia yang berfikiran sihat dan akhirnya mengambil tindakan membunuh sebagai penyelesaian. Menurut Ainon (2003) kajian-kajian yang pernah dibuat ke atas penagih dadah dan penjenayah di Amerika, perampas-perampas kapal terbang dan pembunuh tokoh-tokoh dunia mendapati mereka mempunyai estim yang amat rendah. Individu-individu yang berestim rendah malu menjadi diri mereka sendiri yang asal. Berdasarkan kajian ini, Burhan tidak lagi menghargai dirinya yang asal.
Watak Abu Bakar walaupun tidak dianggap watak utama tetapi menyerlahkan seorang insan yang mempunyai estim tinggi. Abu Bakar menjadi agama sebagai pegangan hidupnya serta landasan untuk menuju kejayaan. Abu Bakar sentiasa berfikiran positif walaupun Burhan menyanjungi fahaman luar, namun dinasihatinya dengan nasihat yang berfakta serta bahasa yang positif.
“Yang menghairankan saya hanya sedikit sahaja. Iaitu mengapa kau tidak menderetkan nama-nama Al-Farabi, Ibnu Rush atau di Eropah dikenali dengan nama Averrus, Ibnu Bajah atau di Eropah dikenali dengan nama Avenpace, Ibnu Khaldun, Ibnu Muskawaih dan Al-Kindi? Mungkin nama-nama ini sengaja kau tinggalkan demi kepentingan cita-cita anarkisma atau ilhad yang kau bentangkan. Kalau benarlah demikian, maka mengapa kau tidak pelajari pula nama-nama Descartes, Spinzo, Immanuel Kant, Socrates, Plato atau Aristotle. Kankah mereka itu orang-orang Eropah juga? Saya yakin bahawa kau tidak meninggalkan dunia ketuhan itu, Burhan. Rangkaian fikiran manusia di dalam sejarah telah banyak membuktikan bahawa tanpa agama itu adalah “dasar bankrup” yang paling halus”
(halaman 70)
Abu Bakar juga mempunyai bakat dan kebolehan sebagai seorang penulis dan juga pemimpin. Setelah menjadi wakil rakyat, Abu Bakar membuka sekolah agama. Bakat dan kebolehannya menulis itu telah membuahkan hasil sehingga ramai orang asing yang masuk Islam.
Keadaan dalam setahun lebih itu banyak benar perubahan. Sejak Sekolah Al-Saiyarah, kemajuan bertambah-tambah. Yang mengkagumkan bahawa Ustaz Abu Bakar kelulusan Al-Azhar itu, menjadi wakil rakyat ke Dewan Undangan Negeri.
(halaman125)
Sekitar sekolah agama itu telah terdiri beberapa buah rumah. Gudang-gudang kecil. Berderet. Ada pula rumah sewa. Dan para pelajar dari jauh menyewa rumah-rumah itu.
(halaman 126)
Perjuangan itu adalah lautan. Di dalamnya penuh tenaga-tenaga hidup yang boleh mengorbankan atau dikorbankan.
(halaman133)
Abu Bakar pejuang negara. Pemimpin yang dikasihi. Dia tahu betul. Banyak cerita dalam surat khabar. Dia rasa kagum. Kagum kebesaran perjuangan Abu Bakar. Dihargai masyarakat
(halaman 157)
Abu Bakar juga menjadikan rumahnya sebagai persekitaran yang mewujudkan estim positifnya dengan memperlihatkan percapaian terbias; hasil ilmu yang dituntutnya di Universiti Al-Azhar dan dimanfaat sebaik mungkin demi masyarakatnya.
Rumahnya sering jadi tumpuan. Menjadi tempat singgah para pelajar. Tempat berehat para politus. Tempat menumpang para rakyat.
(halaman133)
“Ini sahabat baru kita. Pulang dari merantau” kata Abu Bakar dengan gurau “Dan tentunya, tenaga sahabat kita ini perlu untuk sama-sama menggerakkan jalannya perjuangan kita”
“Tentu , tentu. Dan setiap orang perlu memajukan perjuangan mengembalikan jiwa Timur yang harmoni” sampuk seorang yang diketahui kemudiannya oleh Burhan dengan nama Ustaz Jailani, kelulusan M.A dari Universiti Al-Azhar.
(halaman 165)
Menurut Maslow (1987) keperluan estim itu terbahagia kepada dua iaitu keperluan estim dalaman dan keperluan estim luaran. Keperluan estim dalaman merupakan orang yang merdeka, bebas, yakin, kuat, berjaya, bijaksana, istimewa dan perasaan yang senang membuat kebaikan. Keperluan estim luaran pula ialah orang yang disenangi oleh orang ramai, disayangi, dikasihi, ternama atau terkenal, penting, mulia, disegani dan lain-lain yang menyumbang kepada nilai positifnya.
Menurut Ainon (2003) keperluan estim ini diiktiraf dalam Islam. Rasulullah SAW amat banyak menggunakan keperluan jenis ini dalam dakwahnya. Kisah Abu Suffian yang “tinggi hati” kerana mempunyai kedudukan sosial istimewa. Abu Suffian tidak memusuhi Rasulullah tetapi belum masuk Islam. Dalam suatu peperangan Rasulullah mengeluarkan arahan kepada tentera Islam supaya jangan memerangi musuh yang mencari perlindungan di dalam masjid atau rumah Abu Suffian. Keistimewaan yang diberi oleh Rasulullah kepada Abu Suffian memenuhi keperluan estimnya dan akhirnya Abu Suffian memeluk agama Islam.
Bagi watak Bung Kahar, Salim, Gan Guan Sing dan See Sin mempunyai estim yang rendah kerana mereka berjuang tanpa pegangan yang mampu menuju kesejahteraan hidup dan kejayaan. Justeru, pengarang mengakhiri watak mereka dengan cara yang mudah; tertangkap dan melarikan diri. Bagi watak Gobinda Raju, Xavier dan Su Ju Chin/Azizah mempunyai estim yang positif apabila mencari kebenaran tentang hidup. Mereka menghargai diri mereka. Mencari kejayaan dan kesejahteraan hidup.
KESIMPULAN
Pertentangan; buah tangan S. Othman Kelantan bukan sahaja menemukan formula baru dalam waktunya sebagai bahan dahwah bagi menyedarkan masyarakat bahawa di sebalik yang baru itu belum tentunya semua baik belaka. Bahkan lontaran ideanya dalam Pertentangan ini masih relevan dan bernilai dengan suasana atau fenomena yang terjadi masa kini.
Barangkali, Pertentangan harus dilihat dalam alaf baru ini sebagai satu renungan untuk membina Islam Hadhari (saranan Perdana Menteri kita) bagi mendepani fahaman global yang wujud hasil globalisasi dan menjadikan warga dunia menerima segalanya tanpa batasan. Yang benar menjadi salah dan yang salah menjadi benar. Menurut Mohd. Kamil (2004) Islam Hadhari membawa maksud ajaran Islam yang menfokuskan kepada kehidupan untuk meningkatkan mutu hidup. Ia membawa manusia dari hidup secara baduwi dan ketinggalan kepada peradapan dan kemajuan
Usaha ini memerlukan estim yang tinggi dan positif. Apatah lagi untuk membina peradapan dengan nilai harga diri. Maka estim atau harga diri(maruah) ini perlu di tanam dalam setiap individu melalui karya sastera agar generasi sekarang dan akan datang sentiasa terbina dalam suasana positif agar berfikiran positif, mempunyai bakat dan kebolehan positif dan berkomunikasi dengan bahasa yang mempunyai nilai positif. Estim pengerak inspirasi dan inspirasi menggerak motivasi. Motivasi mendorong perubahan yang lebih baik dan positif.
Kalaulah nilai dalam Pertentangan versi 60-an "melahirkan" seorang Burhan, maka nilai yang terangkat dalam Pertentangan versi abad ke-21 ini mungkinkah terlahirnya beratus-ratus Burhan?. Fenomena ini sebenarnya sedang berlaku dan akan terus berlaku selagi peranan “Abu Bakar” semakin dipinggirkan. Justeru, peranan sastera sebagai pembina tamadun bangsa semakin rumit sekiranya kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya harga diri semakin tertimbus oleh keasyikkan menerima fahaman yang baru.
Kekhuatiran tentang fahaman baru memuncak apabila Islam cuba diliberalkan oleh pihak-pihak tertentu. Menurut Abu Hamzah Agus (2003) agenda Islam Liberal ini adalah untuk meletakkan kepentingan konseptual ijtihad, komitmen terhadap rasional dan pembaharuan, penerimaan terhadap majmuk sosial dan agama serta memisahkan agama dari parti politik dan yang tidak membezakan golongan.
Maka, Pertentangan telah mendahului zaman dalam isu ini, lantaran itu penulis berani menyatakan bahawa Pertentangan, sebuah novel yang cemerlang pada waktunya dan gemilang maknanya dalam abad baru ini. Justeru kita mengharapkan akan wujud bangsa yang terbilang iaitu bangsa Malaysia kerana kata orang berjaya, kejayaan bukan diperolehi dengan melakukan perkara berbeza tetapi kejayaan diperolehi dengan cara yang berbeza.
Wallahualam.
Selasa, 14 April 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan