Khamis, 29 Oktober 2009

APA NAK JADI?

Entahlah, apa nak jadi. Kemelut kiri kanan berduyun-duyun membuka horizon kehidupan. Malangnya, cerita itu berkisar tentang orang kita. Yang kononnya punya agama dan perjuangan murni. Di satu pihak begini dan satu pihak lagi begitu.
Terlalu sukar mencari kekuatan kerana masing-masing memandang rendah antara satu sama lain. Apakah, sememangnya tidak ada ruang atau jalan yang wajar mengembalikan pengertian persefahaman? Atau apakah ini tandanya keegoan menjadi pilihan utama berbanding toleransi?
Sifat dan sikap yang angkuh tanpa tujuan selain kepentingan diri sebenarnya akan mengundang seribu satu kehancuran secara perlahan yang kemudiannya akan mencetus satu letupan yang mungkin tidak dapat diselamatkan lagi.
Dan kala itu, kesedaran tidak lagi membawa apa-apa pengertian selain kekesalan yang menjadi sejarah anak cucu kita.
Sedarlah...

Rabu, 28 Oktober 2009

PENYIMPANGAN KITA YANG LEKA

Kalau difikirkan, sememangnya sekarang ini, banyak perkara mengelirukan. Peminggiran hukum Allah jelas dan semakin dimanupulasikan selaras dengan kepentingan semasa. Dalam hal ini, Barat berjaya memperbodoh dan menyelewang cara pemikiran kita, sehingga kita melupai bahawa kita punya pegangan yang cukup utuh iaitu Al-Quran dan hadis. Namun, kita semua kini telah TERPESONA dengan "hidangan" yang disajikan oleh Barat dan akhirnya kita "GHAIRAH" menyakini mereka berbanding dengan keyakinan yang kita sedia ada.
Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyebut (mafhumnya): "Pada suatu zaman nanti, umat Islam akan berhadapan dengan pelbagai percanggahan yang banyak, ingatlah ketika itu, pemerintah dengan al-Quran akan berpisah dan janganlah kamu berpisah daripada al-Quran."
Ertinya Nabi pernah memberi peringatan bahawa pada suatu zaman selepas baginda, pemerintah tidak lagi berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, hukum al-Quran terpisah dan diketepikan oleh pemerintah.
Nabi mengingatkan kita, jangan sesekali kita terpisah daripada al-Quran, kerana itu maka, perjuangan untuk mendaulatkan Islam menjadi suatu keperluan untuk diperjuangkan sehingga akhirnya.

Selasa, 27 Oktober 2009

BAHASA MELAYU KU...

Meminjam kata-kata Rais Yatim ..." pada pagi ini, setelah luput 52 tahun merdeka, kita masih berada di DBP sambil mengulangi seruan-seruan lama, ungkapan-ungkapan lama dan mengamalkan perlakuan-perlakuan lama. Kita masih berkempen bahasa kebangsaan; kita masih mengeluarkan dengusan dan kadangkala kata-kata perli dan sinis, kenapa bahasa Melayu tak begitu dan tak begini. Kadang-kadang kita masih bersuara seolah-olah kita belum merdeka..."
Menghayati kata-kata itu, banyak tafsir yang mampu mengugah pemikiran kita. Kenapa ya? Pertanyaan inilah yang tidak pernah ada jawapannya. Banyak perkara dan persoalan dibiar bergentayangan menjadi angin senja, akhirnya kita dimomokkan dengan slogan dan kempen yang tiada kesudahannya.
Mungkinkah benar kita belum merdeka? lantas kita dipertikaikan dari pelbagai segi, termasuk memaknakan perpaduan, dan akhirnya jua, wujudlah slogan SATU MALAYSIA, walhal, perlembagaan 152 jelas menjadikan BAHASA MELAYU sebagai bahasa pemersatu dan perpaduan di Malaysia sejak dahulu lagi. Kenapa ya?

Isnin, 26 Oktober 2009

SENSASI?

Ada pun suatu cerita, berlaku di sebuah benua yang tidak pernah ada petanya. Teramatlah mashyur dan terkenal, sehingga ke pelosok dunia. Kehebatan dan keberanian yang tidak tergambar. Kesaktian dan keanehan yang tidak mampu dibayangkan. Keunikkan dan kepelikkan yang tidak dapat diperkatakan.
Maka, setelah sekian waktu menanti gunung dirata, sungai ditimbus dan darat dibukitkan, berlakulah kemarau yang berbulan-bulan lamanya. Rakyat menderita dengan keadaan air yang semakin mengering, angin semakin membahang dan langit cerah memancar cahaya mentari.
Lalu bertitah Paduka Alam Pendeta, bahawa inilah akibatnya apabila semakin lupa tentang kehidupan dan pencipta-Nya. Kini, peluang untuk kembali aman dan damai hanya perlu melihat tanjung yang bernama sejahtera. Ya sejahtera, katanya...

Ahad, 25 Oktober 2009

BAJET 2010?

Akhirnya terlerai segala penantian tentang bajet 2010. Apapun yang terhidang, itulah perasa dan nikmatnya. Sama ada suka atau tidak, itulah rumusan dan perancangannya. Dalam soal, memaknakan kehidupan, banyak ciri nilai menjadi bandingan dan penyesuaiannya. Begitu juga dengan hal bajet 2010.
Tiada apa yang dapat memberikan satu alasan yang paling munasabah tentang kewajaran dalam mempersoalkan keperluan diri, masyarakat dan negara. Semuanya dianggap betul dan benar. Soal diyakini atau tidak, itu menjadi perkara lain. Yang perlu, amanah itu sering kali mengemukakan kekeliruan dalam memberi pengertian tentang nilai tersebut.
Akhirnya, tentu sahaja kita wajar menyerahkan kepada yang maha ESA...

Khamis, 22 Oktober 2009

ASN KE-10

Tahniah buat Dato' Mohd. Anuar Haji Rethwan atau lebih dikenali sebagai Anwar Ridhwan atas pengurniaan ASN ke-10. Sesungguhnya beliau merupakan seorang sasterawan yang punya wawasan tersendiri. Karyanya penuh dengan gagasan perjuangan dan analogi kepincangan yang semakin menidakkan nilai dan prinsip budaya itu sendiri.
Seperti mana karyanya "Naratif Ogonshoto" yang dianggap sebagai "rhizome" yakni bersifat metanaratif. Selaras dengan gagasannya untuk "mencipta karya yang bermutu menurut teori sastera Melayu dan menurut piawai antarabangsa"
Tahniah!

Rabu, 21 Oktober 2009

AKADEMI SASTERA 2009

Akhirnya Akademi Sastera 2009 selesai terlaksana. Tahniah kepada pemenang dan semua peserta yang begitu bergaya dan berwibawa melakukan tanggungjawab masing2. Kepada mentor mereka tentu sahaja ilmu yang tercurah bukannya sedikit. Tentu mereka amat merasakan keberuntungan.
Apapun, pengharapan melalui Akademi Sastera ini, akan muncul pemikir muda yang mampu memberi nilai baharu terhadap peredaran dunia kesusasteraan yang semakin sukar untuk ditafsirkan. Walaupun demikian, kita percaya, asas perjuangan yang pasti wajar dan amat dituntut untuk diutamakan.
Semoga apa yang kita lakukan ini mendapat rahmat daripada-Nya dan seterusnya memberi manfaat kepada nilai keinsanan di dunia yang fana ini.

Ahad, 18 Oktober 2009

PERHIMPUNAN PENUH SLOGAN?

Entah kenapa, seringkali kita disajikan dengan slogan yang berkobar-kobar dan penuh semangat. Seakan setiap kali berhimpun masing-masing mendabik dada untuk berjiwa besar. Walhal, suara-suara itu lenyap apabila perkara yang sewajarnya untuk menyuarakan pandangan dan perjuangan diperlukan.
Ini bukan alasan atau satu tohmahan. Tetapi sudah menjadi tradisi yang sekian lama berakar umbi dalam nilai maruah diri dalam pengertian perjuangan yang diamalkan. Justeru, banyak kali kita digembar gemburkan dengan slogan yang tidak sudah-sudah menunjuk arah tetapi semuanya hanya impian yang seumpama mimpi dalam mimpi.
Apapun, kewajaran dan kesediaan untuk berubah bukan hanya terlerai bersama-sama kata-kata tetapi memerlukan niat dan tindak yang betul dan tulus demi untuk mendapat kerahmatan-Nya.

Khamis, 15 Oktober 2009

SECUPAK TERASA SEGANTANG

Kadang-kadang sesuatu yang berharga pada kita amat bernilai dalam pengertiannya. Mungkin bagi kita ya, tetapi bagi orang lain tidak. Perbezaan nilai ini terjadi kerana pengharapan juga berbeza dalam mentafsir kehidupan ini.
Maka, sering kali kita melihat sesuatu perkara dalam tafsir yang keliru, celaru dan tidak pasti. Bagi kita, apa yang memberi nilai diri, itulah yang terbaik. Walhal, bagi orang lain itu mungkin menyusahkan.
Apapun, dalam hal-hal sebegini, kita perlu mempunyai rasa yang peka terhadap apa-apa jua perkara, sama ada untuk diri kita, orang lain atau kehendak bersama. Justeru sememangnya kita sering berharap agar yang secupak menjadi segantang!

Rabu, 14 Oktober 2009

DALAM PENGERTIAN LAIN

Selalunya kita bersetuju andai kata sesuatu yang dibuat atau dicadangkan itu memenuhi keperluan diri kita. Kita akan menyokong tanpa berbelah bahagi, kerana kita menyakini itu yang terbaik buat kita.
Kita sering terlupa dan acap kali tidak peduli kepentingan orang lain, kerana orentasi pemikiran kita sudah terlalu lama menidakkan hak orang lain. Justeru, pertembungan harga diri dan ego kita sentiasa berlaku pergolakkan yang memungkinkan kita tewas dalam penilaian diri kita.
Barangkali, kita tidak pernah mensyukuri apa yang telah kita dapat dan kita peroleh kerana desakan nafsu yang sememangnya tidak pernah padam dalam diri kita. Mungkin, selepas ini kita wajar membina pengertian lain dalam memberi reaksi kehidupan ini. Tentu sahaja kita wajar sedara bahawa kehidupan ini hanya untuk berkhidmat kepada-Nya.

Isnin, 12 Oktober 2009

MENANG ATAU KALAH?

Memang pun setiap pertandingan pasti ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang mendapat kegembiraan yang tidak terkata dan yang kalah mencari punca penyebabnya. Tetapi, menang dan kalah pada dasarnya serupa, cuma dibezakan dengan cara seseorang menerimanya.
Andai kata pemenang memahami bahawa kemenangan adalah suatu tanggungjawab yang cukup besar dipegang dan dihayati maka pemenang pasti merasa gerun, namun selalunya pemenang hanya memikirkan apa dan apa selepas ini yang akan diterimanya.
Begitu juga dengan yang kalah, sewajarnya menyedari bahawa hikmah di sebaliknya juga cukup besar kalau dihayati dengan makna qada dan qadar. Justeru setiap kejadian memaknakan kehidupan ini dengan cara dan kaedah kita memahaminya.
Yang pasti, sebagai hamba, kita terlalu kecil dan daif untuk mengerti kebesaran-Nya.

Ahad, 11 Oktober 2009

BERITA DALAM CERITA

Tiada apa yang dapat dikatakan lagi, andai persoalan sentiasa menjadi persoalan tanpa jawapan. Kerana, persoalan yang menjadi pertanyaan sentiasa dihimpit dengan kekeliruan yang tiada penghujungnya.
Pentafsiran demi pentafsiran menjadi wadah kekeliruan semakin meluas dan sukar disempadani dengan akar yang berhemah. Punca tiada lagi menjadi perkiraan. Semuanya memberi jawapan berdasarkan persepsi diri yang jumud dan mati.
Kini, terpulang buat diri kita, menentukannya melalui nilai rasa kesedaran dan keinsafan, moga-moga kita berada dalam kerahmatan-Nya.
Amin.

Rabu, 7 Oktober 2009

SEBUAH CERITA KLISE

Dalam dekad yang penuh dengan cabaran kini, kehidupan menjadi amat-amat mendesak. Bukan sahaja tuntutan hidup, bahkan nilai kemanusiaan semakin menipis. Paling menakutkan, seakan tidak ada apa-apa tindakan yang sewajarnya untuk membendung. Sekadar cakap dan lepas, cadang dan hilang, suasana menjadi terbiasa juga.
Dan kebiasaan yang tumbuh ini, kian mula menular menjadi budaya dan tradisi, paling ironis, ia menjadi pegangan dan kepercayaan. Agama dipesongkan melalui landasan akal logik semata-mata dengan mengambil yang mudah dan menepis yang susah. Lantaran, warna kebinasaan semakin jelas memenuhi kanvas nilai masyakarat.
Semoga ada kesedaran dalam kalangan kita untuk sama-sama mengusahakan satu pendekatan yang lebih berfokus membina semula nilai yang semakin terhakis ini dan keinsafan akan mengisi segala kekosongan yang dimomok oleh keseronokkan di sebalik undangan kemusnahan!
Semoga kita sama-sama dalam rahmat-Nya.

Khamis, 1 Oktober 2009

ANTARA POLITIK DAN GEMPA BUMI

Kalau dilihat secara kasar, kedua-duanya fenomena. Satu kejadian yang melibatkan alam dan satu lagi melibatkan masyarakat. Walaupun demikian, kedua-duanya saling berkaitan. Kedua-duanya mengundang ketakutan yang sukar dijangkakan.
Sesekali menilai situasi sebegini, kita sering mengintai salah silapnya. Jarang kita memikirkan mengapa ia harus terjadi? Kenapa sekarang ia terjadi? Mungkin, gempa bumi kita anggap sebagai satu tanda daripada-Nya tentang kita, tetapi politik begitu juga.
Tanggungjawab yang memimpin bukan hanya pada laungan dan jeritan janji dan impian tetapi tanggungan amanah yang menentukan masa depan masyarakatnya.
Begitulah cerita-cerita tentang dunia ini...