Ahad, 12 April 2009

SASTERA?

Pelbagai pertikaian timbul apabila penyempadanan tentang aras sastera diperkatakan. Sastera popular dianggap menjadi ”duri dalam daging” dalam kelompok sastera. Sastera serius dianggap sebagai satu nilai yang tiada bandingannnya. Walaupun demikian, pendefinisian yang mantap dan takrif yang unggul tentang sastera popular di Malaysia masih belum termaktub jelas dalam persada sastera nasional.
Perkembangan ini penting bagi memberi jaminan bahawa sastera kita turut sama dalam arus semasa. Sama ada kita mempersetujui sastera serius sebagai sastera jaminan peradaban kita atau menerima sastera popular sebagai cerminan pola budaya kita, kedua-duanya harus dimurnikan. Beberapa pandangan dan pendapat sarjana yang masih belum begitu mantap dan rinci dalam usaha memberi pengertian tentang konsep sastera popular dalam konteks negara Malaysia.
Walaupun demikian, beberapa tanggapan dan pandangan sarjana luar negara dan juga peneliti sastera di Malaysia juga boleh menjadi asas untuk memahami sastera popular ini. Sastera popular dianggap sebagai sebuah karya yang memperlihatkan kebebasan imaginasi untuk tidak mematuhi nahu naratif, seperti mana sastera moden Barat yang meletakkan unsur realisme sebagai ukuran. Lazimnya sastera popular mudah difahami dan dinikmati dengan menampilkan nilai sastera dan moralnya yang diragui.
Sastera popular merupakan sastera yang tidak menuntut daya intelektual yang tinggi untuk menghadamkannya, tidak mementingkan aspek moral, hanya bercerita secara permukaan sahaja dan tidak mengandungi falsafah. Sering kali sastera popular dikaitkan dengan penulisan yang mengutarakan isu cinta, kasih, sayang dan rindu. Ini jelas dengan penegasan oleh S. Othman Kelantan bahawa sastera popular banyak mengisahkan percintaan.
Neuburg, dalam sebuah bukunya mentakrifkan sastera popular sebagai karya yang dibaca oleh pembaca yang unsophisticated (tidak terpelajar atau tidak berfikir secara serius) dan hanya untuk tujuan keseronokan. Gibson juga dalam sebuah bukunya menegaskan bahawa sastera popular dilihat sebagai artistik dalam skalanya yang tersendiri.
Leo Lowenthal, seorang penulis menjelaskan dalam sebuah bukunya bahawa sastera popular boleh juga memberi kompleksiti budaya dan komoditi popular berfungsi sebagai indikator sifat sosio-psikologikal masyarakatnya. Menurut Walter Nash dalam bukunya Language In Popular Fiction, bahawa sastera popular ialah karya pop mudah dibezakan kerana ia tidak ada merit: Karya pop, adalah umpama satu artikel yang boleh dibuang, hanya ditunjangi satu moral yang amat mudah dan paling ringkas, disuntik psikologi yang paling kasar dan hanya dihidangkan dengan satu dua pendapat yang disangka falsafah.
Apa yang dimaksudkan oleh Nash di atas dapat ditafsirkan sebagai karya popular merupakan sebuah karya yang senang untuk penulis dan menyenangkan pembaca, dan sekadar disisipi pengajaran moral yang ringan (serta sudah sedia difahami umum) selain ditabur elemen psikologi yang tidak diperhalusi ketika kraf atau penciptaannya. Untuk melindungi novel pop ini dari jatuh terjerumus ke dalam kelompok picisan, maka disarankan satu dua falsafah yang tidak ada kepentingan.
Sastera popular selalunya dikaitkan dengan novel. Ini selaras dengan perkembangan semasa apabila Dewan bahasa dan Pustaka sendiri mengadakan Bengkel Kajian Novel Popular pada tahun 2006. Hasil bengkel berkenaan telah membuka korpus baharu dalam pemaknaan sastera popular di Malaysia.
Scott McCracken dalam bukunya Pulp: Reading Popular Fiction mengatakan novel popular hanya mementingkan aspek-aspek struktural novel semata-mata. Penulisnya amat mementingkan plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan dan sebagainya sambil mengabaikan bahagian yang paling penting dalam novel iaitu makna.
Menurut McCracken, bentuk novel boleh menjadi apa sahaja. Pengarang bebas memilih genre roman cinta, detektif, fantasi, sains fiksyen, dan seram tetapi makna dan pengisian karya adalah yang paling penting. Apakah matlamat penulisan karya tersebut? Apakah yang dapat dikongsi oleh pembaca menerusi karya? Apakah ilmu pembaca bertambah dan dirinya didorong untuk melakukan kebaikan serta meninggalkan keburukan, tidak diberatkan.
Ini bermaksud sesebuah karya itu dinilai sebagai pop atau tidak menerusi falsafah dan pemikiran yang dikemukakan olehnya. Seandainya kita hanya menemukan satu dua falsafah yang biasa dan tidak berjejak maka novel tersebut berhak dikategorikan dalam kelompok novel popular.
Sekiranya novel tersebut kukuh dan tepu pemikiran sekalipun tetapi gagal dalam estetika bentuk, di mana plotnya lemah, gaya bahasanya tunggang langgang dan ceritanya adalah terdiri dari kisah lingkungan dekat yang gagal menangkap pembaca, maka ia masih terkelompok dalam kategori novel pop.
Pembahagian novel popular dan novel serius telah lama berakhir dalam kalangan masyarakat sastera di Barat. Pada tahun 1964 Stuart Hall dan Paddy Whannel telah menyenaraikan sejumlah doktrin yang menjelaskan fenomena karya pop. Fenomena ini mereka hubungkan dengan budaya popular waktu itu. Doktrin-doktrin tersebut ialah:
Pertama, penciptaan karya tersebut dikawal oleh kehendak persekitaran dan kreativiti penulis disekat. Misalnya, adalah lazim bagi penerbit karya pop mengatakan, awak tidak boleh menulis karya dengan plot jungkir balik, atau awak tidak boleh memuatkan terlalu banyak elemen dakwah kerana pembaca tidak faham atau tidak ada pasaran.
Kedua, pembaca tidak lagi dilihat sebagai mereka yang terlibat dalam pembinaan bangsa dan agama tetapi dipandang sekadar pembeli semata-mata. Ketiga, dunia pseudo diciptakan oleh penguasa media sehinggakan pengalaman kita menjadi stereotaip menerusi karya-karya pop tersebut.
Keempat, dunia pembaca yang dikecilkan menerusi karya-karya ini amat jelas dan terasa. Novel popular menjadikan pembaca duduk dalam acuan yang sama sehingga dunia mereka ikut terperangkap. Sebagai misalan, penulis novel popular menghidangkan perangkap cinta tiga segi atau konflik yang diulang-ulang dan hanya diubah watak dan latar dalam karya-karya berikutnya.
Kelima, novel popular juga memutuskan diri dari pendekatan bercerita akar tradisi bangsa seperti sastera rakyat, termasuk pengabaian aspek sejarah. Kehidupan kontemporari ditekankan melebihi latar dan persoalan masa lampau. Novel popular juga sekadar untuk memenuhi kepuasan dan selera rendah pembaca. Pembaca tidak akan dipaksa berfikir sebaliknya hanya didorong untuk mendapat kenikmatan dan rasa terhibur di hujung bacaan.
Keenam, novel popular menyediakan satu pembebasan dari realiti. Khalayak ditujah dan disuguhi dengan dunia khayal yang penuh mimpi semata-mata seperti yang dapat dikesani pada tele novela yang bercambah dalam media elektronik.
Itu adalah pandangan Hall dan Whannel. Bagaimana pula kita meletakkannya dalam konteks Malaysia, sastera Melayu? Kita harus memahami bahawa novel popular di negara kita secara mudahnya dapat dikesani menerusi, pertamanya nilai seni yang rendah (tiada strategi naratif/teknik). Misalnya kerosakan bahasa.
Kedua, pemikiran kerdil contohnya masalah peribadi, atau masalah lingkungan seperti masalah rumah tangga yang bergolak dan sebagainya. Karya seumpama ini digerakkan menerusi dialog, dan trivia (pembangunan hero dan heroin).
Sebenarnya novel popular juga ada kategorinya sendiri. Kategori yang paling rendah ialah karya porno, erotik, karya dengan penjahanam bahasa, atau novel yang tiada pegangan dan lingkungan, struktur karyanya pula hancur, tiada garis cerita dan sebagainya. Tahap kedua, yang baik sedikit dari kategori sebelumnya ialah karya tersebut tidak lagi porno, tetapi tidak teliti dalam hal moral, bahasanya sederhana dan tiada pemikiran.
Masih dalam lingkungan novel popular ialah karya yang bahasanya baik, ada unsur puitis yang keterlaluan, tidak teliti dalam hal moral meski berusaha untuk menjunjungnya. Karya ini mungkin berusaha untuk mencapai estetika makna tetapi dari segi bentuknya tidak ada teknik, tiada falsafah, tiada signifikan untuk masyarakat dan ummah, dengan paparan realisme langsung yang kosong.
Sekiranya begitu, apakah pula batas untuk novel serius? Inilah satu lagi persoalan yang perlu dijawab. Novel serius yang dimaksudkan di sini ialah novel yang dapat diangkat kedudukannya dalam kelompok persuratan. Novel begini tentulah memiliki asas-asas yang kukuh. Asas-asas yang kukuh itu ialah karya harus mempunyai fungsi intelek dan fungsi estetik. Kesepaduan ini harus pula didukung dengan hakikat ilmu dan amal.
Hakikat ilmu dan amal dalam konteks persuratan ialah ilmu yang benar (bermaksud ia tidak mengelirukan dan meragukan) kerana ia kelak akan menjadi asas kepada amal manusia. Ilmu yang salah menyebabkan amal dan usaha sia-sia. Ilmu yang benar akan mendatangkan keyakinan. Pandangan Syed Muhammad Naguib al-Attas boleh dijadikan pegangan di sini. Beliau mentakrifkan ilmu itu sebagai penitisan makna sesuatu ke dalam diri, di mana ilmu akan membuatkan manusia sampai kepada makna sesuatu.
Tiga sumber ilmu pada manusia datangnya dari wahyu, akal dan pengalaman. Ketiga-tiganya memiliki perbezaan besar pada beliau: Pengetahuan diperoleh melalui akal dan pengalaman, manakala ilmu hanya dapat dicapai melalui iman, tetapi pengetahuan yang mendalam boleh menguatkan iman, mengukuh keyakinan dan membuat orang insaf kepada keterbatasan akal serta pengalamannya.
Ilmu dengan itu menjadikan manusia berhikmah dan bijaksana sedang pengetahuan menjadikan manusia pandai dan mahir melakukan sesuatu. Ilmu membawakan manusia ke arah amal salih sedang pengetahuan membawa manusia kepada fasad.
Pandangan Profesor Hamka dalam sebuah bukunya tentang “hikmah” turut menarik untuk direnung kembali. Ilmu menurut Buya Hamka ialah hikmah. Dalam konteks ini kita dapat katakan sastera itu pemikiran, pemikiran itu ilmu, ilmu itu hikmah, hikmah itu rahsia untuk kembali kepada kebenaran Tuhan. Hikmah meliputi pemikiran, hukum dan falsafah. Dalam Islam gagasan keindahan sesuatu karya ialah ilmu justeru orang yang tiada ilmu tidak dapat mencapai keindahan.
Menerusi bahasa mudah novel serius yang dapat dipertanggungjawabkan sebagai karya persuratan ialah sebuah karya yang mementingkan percambahan pemikiran, ilmu dan mendorong manusia berfikir dan melakukan amal yang baik. Ini dapat dicapai menerusi kerjasama estetik dan intelektual yang saling berjalinan.
Aspek fiksyen tidak lagi terkurung pada sifat penuh khayal, imaginatif, atau sekadar tersekat sekitar daya reka dan cipta seniman. Sebaliknya ilmu adalah tunjang paling utama dalam membezakan mutu sesuatu fiksyen itu.
Novel serius menurut acuan persuratan jika begitu boleh sahaja tampil dalam apa juga genre dan bentuk (termasuk detektif, fantasi, seram mahupun sains fiksyen) asalkan memberi kesedaran dan membawa ke arah unsur positif. Watak jahat misalnya boleh ditampilkan tetapi mesti diberi kesedaran dan membawa ke arah unsur baik. Apa yang penting ialah value judgement ke arah kebaikan harus ditonjolkan di akhir cerita. Selain itu, pengarang tidaklah dalam keadaan merdeka untuk melakukan apa sahaja. Pengkarya tidak bebas kerana mereka terikat untuk menyempurnakan karya dan diri mereka sendiri.
Inilah permasalahannya tentang aras sastera negara kita. Sastera popular dianggap karya yang tidak memenuhi teknik dalaman yang seharusnya ada pada sesebuah karya sastera Melayu di samping tidak mempedulikan gagasan fikiran serta falsafah kehidupan yang dipertalikan dengan nilai intelektualisme masyarakat kecuali menjadikan unsur-unsur kemewahan dan keseronokan yang menyebabkan manusia leka dan khayal dengan kehidupan serba maju dan moden. Dengan kata lain sastera popular mengabaikan keindahan maknawi tetapi menumpukan keindahan lahiriah semata-mata.
Perkembangan semasa dalam korpus sastera Malaysia memperlihatkan bahawa kemunculan dan kelahiran novel popular begitu giat dan mengisi segenap ruang pembacaan khususnya generasi muda/remaja. Fenomena ini tentu sahaja membentuk pola pemikiran yang akan mengisi masyarakat masa depan.
Justeru konsep yang jelas dan utuh tentang sastera popular wajar dan harus dimurnikan dengan harapan bahawa karya yang lahir melalui sastera popular ini nanti mempunyai nilai komersialisme yang tinggi dan turut juga mempunyai nilai intelektualisme yang memberangsangkan.
Pemahaman terhadap konsep sastera popular ini bukan bermaksud untuk menyempadani sastera secara mutlak. Tetapi sebenarnya perkara ini perlu untuk menggariskan batasan atau ruang lingkup dalam mana-mana kajian yang mengkhusus. Apatah lagi sekarang ini kemunculan penulis muda di negara ini yang begitu prolifik dalam penghasilan karya yang popular sifatnya.
Ini merupakan petanda yang baik bahawa karya sastera itu tidak terpinggir dalam era globalisasi atau zaman serba canggih (siber) dan walaupun bersifat ringan, sastera popular diharapkan dapat menyumbang ke arah pemartabatan sastera kebangsaan dan tidak akan terus dilupakan kewujudannya oleh generasi akan datang. Pemahaman ini diharapkan akan dapat memperkenalkan kepada khalayak bahawa dalam konteks negara Malaysia, sastera popular menjadi salah satu dimensi yang turut serta memberi impak kepada perkembangan sastera dan budaya fikir masyarakatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan