Selepas melihat rancangan ISU TV1, tentang isu PPSMI, jelas amat masyarakat masih mencari yang mana hujung yang mana pangkal dalam hal ini. Pelik, lucu dan aneh. Peliknya, masyarakat masih terlalu ramai yang tidak memahami tentang konsep. Lucunya, ada masyarakat yang mendabik dada menyatakan bahawa ini satu malapetaka apabila PPSMI dimansuhkan. Dan lagi aneh, undian SMS (melalui rancangan itu) memberikan 68% menyatakan akan merosot penguasaan BI setelah PPSMI dimansuh.
Inilah natijahnya apabila masyarakat tidak memahami antara konsep dan konteks. Jangan dikatakan BI merosot, setelah 50 lebih tahun merdeka, BM pun masih terlalu amat dipinggirkan dan dikesampingkan. Apakah perkara pokoknya? Mudah sahaja, kalau bahasa sendiri pun tidka mahir, inikan pula nak belajar bahasa orang lain? Tambah-tambah lagi untuk belajar ilmu sesuatu bidang.
Mungkin inilah akibatnya apabila sesuatu dasar yang menimbulkan kecelaruan dan kekalutan dalam pemikiran masyarakat, yang akhirnya menjadikan masyarakat tampil dengan idea dan fikiran yang keliru dan menakutkan. Barangkali, sudah sampai masanya, mereka yang bertanggungjawab, kembali melakukan muhasabah diri tentang apa yang telah dilakukan dan apa yang hendak dilakukan. Kalau tidak, kita akan terus menerus mencari yang mana hujung dan yang mana pangkal dalam hal ini...