Rabu, 17 Februari 2010

SYUKUR

Segala puji bagi-Nya, kerana dengan izin-Nya juga maka Hari Pejuang Bahasa 152 terlaksana dengan jayanya. Walaupun kehadiran sederhana tetapi jiwanya hidup, rohnya wujud dan maknanya menjadi sejarah yang amat besar dalam kewujudan bangsa Melayu.
Sesungguhnya, kejayaan itu bukan kerana ketekunan atau kerajinan ajk kerja tetapi kerana rahmat-Nya yang penuh Rahman dan Rahim. Apapun, terima kasih kepada semua teman dan lawan yang sudi menyokong dan mengkritik bagi memastikan kesempurnaan acara.
Syukur kepada-Nya

Selasa, 9 Februari 2010

TIADA ALASAN

Mahu tidak mahu, akan diteruskan. Tidak ada alasan. Sesuatu yang dilakukan dengan niat suci dan murni tanpa ada selitan makna yang lain pasti akan membuahkan nilai yang cukup bererti.
Biarlah apapun tanggapan dan tohmahan, itu biasa dalam rencah kehidupan. Ia harus diteruskan walaupun melalui liku yang maha perit, atau ranjau yang maha seksa.
Benar, kini tiada alasan, waima seribu dalih yang bertatah mutiara kata penuh janji buta...
Perjuangan tetap perjuangan...

Isnin, 8 Februari 2010

APABILA PERJUANGAN DIPERSOALKAN

Perit luka kadang2 hanya dirasai atas nikmat kepuasan. Namun sakit kelukaan terlalu bisa sehingga merentap segala nikmat. Biarpun persoalan faham atau tidak boleh menjadi inti rasa, tetapi itu bukan jaminan untuk kita mempertikaikan sesuatu tanpa memahaminya terlebih dahulu.
Situasi berbeza dalam setiap detik yang ada. Tujuan mungkin jelas, tetapi untuk mencapainya memerlukan rasa tanggungjawab dan semangat yang suci. Dunia telah melakar pelbagai suasana bagi memunculkan segala tanggapan, namun dalam masa yang sama kita diminta mentaati segala perintah-Nya.
Justeru, pertikaian yang hanya melemahkan rasa diri sebenarnya adalah jalan mereka yang tewas sebelum berjuang.

Rabu, 3 Februari 2010

15 FEBRUARI

Pada 14 februari ada dua perayaan pada tahun ini iaitu, Hari Valentine bagi yang bercinta dan sambutan Tahun Baru Cina. Tentu sahaja warna merah akan mengisi segenap ruang kerana sambutan itu.
Namun, pada 15 februari, akan tercatat sejarah yang cukup bermakna apabila Hari Pejuang Bahasa mula diadakan. Pemilihan tarikh 15 februari cukup bermakna kerana cuba menterjemahkan nilai yang seakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan 152, yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Namun, ujian paling getir akan memaparkan sejauh mana kejituan jiwa perjuangan terhadap bahasa Melayu apabila 15 februari adalah hari cuti, yang mungkin akan mereka hadiri atau mereka tidak ambil peduli!

Isnin, 1 Februari 2010

KEPUTUSAN YANG PELIK

Kadang2, sering kali orang membuat keputusan kerana desakan emosi, benci dan dendam. Walauapun rasionalnya ada, atas kapasiti kebencian itu, semuanya tergendala. Namun, dalam hal yang sama tetapi ditangani oleh orang lain, semuanya lancar tanpa sebarang bantahan.
Begitulah prinsip serta ciri2 kemunafikan mula terserlah. Apakah manusia seperti ini mampu untuk dijulang dan dijadikan pemimpin yang memberi pedoman?
Mungkin, tanda2 kehancuran itu mula menitik dari semasa ke semasa dengan jiwa penuh dendam dan hasad dengki. Yang akhirnya menjahanamkan segalanya.

Rabu, 27 Januari 2010

KAMI PERLU PUISI TENTANG BAHASA

Kepada karyawan dan penyair budiman, kami memerlukan puisi2 tentang bahasa untuk diantologikan sempena HARI PEJUANG BAHASA. Tarikh akhir menghantar puisi berkenaan pada 30 Januari 2010. Sila emelkan karya tuan/puan ke smzakir90@gmail.com atau jfar@dbp.gov.my
Harap maklum

Isnin, 25 Januari 2010

YANG BESAR LUPA

Barangkali resam, atau satu peralihan yang menakutkan. Kerana yang besar lupa tentang peranan dan yang kecil sedaya upaya memberi makna.
Mungkin juga, selalu yang di atas akan lupa tentang yang di bawah kerana yang di atas merasakan berada di kemuncak, walhal yang di bawah mendukung dan menjulang.
Apapun, yang besar atau yang di atas, akhirnya turut juga menjadi kecil dan kebawah, apabila maut menjemput, maka, apa bezanya...