Khamis, 29 Oktober 2009

APA NAK JADI?

Entahlah, apa nak jadi. Kemelut kiri kanan berduyun-duyun membuka horizon kehidupan. Malangnya, cerita itu berkisar tentang orang kita. Yang kononnya punya agama dan perjuangan murni. Di satu pihak begini dan satu pihak lagi begitu.
Terlalu sukar mencari kekuatan kerana masing-masing memandang rendah antara satu sama lain. Apakah, sememangnya tidak ada ruang atau jalan yang wajar mengembalikan pengertian persefahaman? Atau apakah ini tandanya keegoan menjadi pilihan utama berbanding toleransi?
Sifat dan sikap yang angkuh tanpa tujuan selain kepentingan diri sebenarnya akan mengundang seribu satu kehancuran secara perlahan yang kemudiannya akan mencetus satu letupan yang mungkin tidak dapat diselamatkan lagi.
Dan kala itu, kesedaran tidak lagi membawa apa-apa pengertian selain kekesalan yang menjadi sejarah anak cucu kita.
Sedarlah...

Rabu, 28 Oktober 2009

PENYIMPANGAN KITA YANG LEKA

Kalau difikirkan, sememangnya sekarang ini, banyak perkara mengelirukan. Peminggiran hukum Allah jelas dan semakin dimanupulasikan selaras dengan kepentingan semasa. Dalam hal ini, Barat berjaya memperbodoh dan menyelewang cara pemikiran kita, sehingga kita melupai bahawa kita punya pegangan yang cukup utuh iaitu Al-Quran dan hadis. Namun, kita semua kini telah TERPESONA dengan "hidangan" yang disajikan oleh Barat dan akhirnya kita "GHAIRAH" menyakini mereka berbanding dengan keyakinan yang kita sedia ada.
Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyebut (mafhumnya): "Pada suatu zaman nanti, umat Islam akan berhadapan dengan pelbagai percanggahan yang banyak, ingatlah ketika itu, pemerintah dengan al-Quran akan berpisah dan janganlah kamu berpisah daripada al-Quran."
Ertinya Nabi pernah memberi peringatan bahawa pada suatu zaman selepas baginda, pemerintah tidak lagi berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, hukum al-Quran terpisah dan diketepikan oleh pemerintah.
Nabi mengingatkan kita, jangan sesekali kita terpisah daripada al-Quran, kerana itu maka, perjuangan untuk mendaulatkan Islam menjadi suatu keperluan untuk diperjuangkan sehingga akhirnya.

Selasa, 27 Oktober 2009

BAHASA MELAYU KU...

Meminjam kata-kata Rais Yatim ..." pada pagi ini, setelah luput 52 tahun merdeka, kita masih berada di DBP sambil mengulangi seruan-seruan lama, ungkapan-ungkapan lama dan mengamalkan perlakuan-perlakuan lama. Kita masih berkempen bahasa kebangsaan; kita masih mengeluarkan dengusan dan kadangkala kata-kata perli dan sinis, kenapa bahasa Melayu tak begitu dan tak begini. Kadang-kadang kita masih bersuara seolah-olah kita belum merdeka..."
Menghayati kata-kata itu, banyak tafsir yang mampu mengugah pemikiran kita. Kenapa ya? Pertanyaan inilah yang tidak pernah ada jawapannya. Banyak perkara dan persoalan dibiar bergentayangan menjadi angin senja, akhirnya kita dimomokkan dengan slogan dan kempen yang tiada kesudahannya.
Mungkinkah benar kita belum merdeka? lantas kita dipertikaikan dari pelbagai segi, termasuk memaknakan perpaduan, dan akhirnya jua, wujudlah slogan SATU MALAYSIA, walhal, perlembagaan 152 jelas menjadikan BAHASA MELAYU sebagai bahasa pemersatu dan perpaduan di Malaysia sejak dahulu lagi. Kenapa ya?

Isnin, 26 Oktober 2009

SENSASI?

Ada pun suatu cerita, berlaku di sebuah benua yang tidak pernah ada petanya. Teramatlah mashyur dan terkenal, sehingga ke pelosok dunia. Kehebatan dan keberanian yang tidak tergambar. Kesaktian dan keanehan yang tidak mampu dibayangkan. Keunikkan dan kepelikkan yang tidak dapat diperkatakan.
Maka, setelah sekian waktu menanti gunung dirata, sungai ditimbus dan darat dibukitkan, berlakulah kemarau yang berbulan-bulan lamanya. Rakyat menderita dengan keadaan air yang semakin mengering, angin semakin membahang dan langit cerah memancar cahaya mentari.
Lalu bertitah Paduka Alam Pendeta, bahawa inilah akibatnya apabila semakin lupa tentang kehidupan dan pencipta-Nya. Kini, peluang untuk kembali aman dan damai hanya perlu melihat tanjung yang bernama sejahtera. Ya sejahtera, katanya...

Ahad, 25 Oktober 2009

BAJET 2010?

Akhirnya terlerai segala penantian tentang bajet 2010. Apapun yang terhidang, itulah perasa dan nikmatnya. Sama ada suka atau tidak, itulah rumusan dan perancangannya. Dalam soal, memaknakan kehidupan, banyak ciri nilai menjadi bandingan dan penyesuaiannya. Begitu juga dengan hal bajet 2010.
Tiada apa yang dapat memberikan satu alasan yang paling munasabah tentang kewajaran dalam mempersoalkan keperluan diri, masyarakat dan negara. Semuanya dianggap betul dan benar. Soal diyakini atau tidak, itu menjadi perkara lain. Yang perlu, amanah itu sering kali mengemukakan kekeliruan dalam memberi pengertian tentang nilai tersebut.
Akhirnya, tentu sahaja kita wajar menyerahkan kepada yang maha ESA...

Khamis, 22 Oktober 2009

ASN KE-10

Tahniah buat Dato' Mohd. Anuar Haji Rethwan atau lebih dikenali sebagai Anwar Ridhwan atas pengurniaan ASN ke-10. Sesungguhnya beliau merupakan seorang sasterawan yang punya wawasan tersendiri. Karyanya penuh dengan gagasan perjuangan dan analogi kepincangan yang semakin menidakkan nilai dan prinsip budaya itu sendiri.
Seperti mana karyanya "Naratif Ogonshoto" yang dianggap sebagai "rhizome" yakni bersifat metanaratif. Selaras dengan gagasannya untuk "mencipta karya yang bermutu menurut teori sastera Melayu dan menurut piawai antarabangsa"
Tahniah!

Rabu, 21 Oktober 2009

AKADEMI SASTERA 2009

Akhirnya Akademi Sastera 2009 selesai terlaksana. Tahniah kepada pemenang dan semua peserta yang begitu bergaya dan berwibawa melakukan tanggungjawab masing2. Kepada mentor mereka tentu sahaja ilmu yang tercurah bukannya sedikit. Tentu mereka amat merasakan keberuntungan.
Apapun, pengharapan melalui Akademi Sastera ini, akan muncul pemikir muda yang mampu memberi nilai baharu terhadap peredaran dunia kesusasteraan yang semakin sukar untuk ditafsirkan. Walaupun demikian, kita percaya, asas perjuangan yang pasti wajar dan amat dituntut untuk diutamakan.
Semoga apa yang kita lakukan ini mendapat rahmat daripada-Nya dan seterusnya memberi manfaat kepada nilai keinsanan di dunia yang fana ini.