Isnin, 11 Januari 2010

KITA JADI MAINAN MAKNA...

Kini, kita sebenarnya dalam delima yang kasar. dalam kemelut yang kotor. Dalam gundah yang jijik. Akhirnya, tangan2 tersembunyi yang mengintai peluang sekian lama, sudah mula bergerak dan menjalankan tindakannya. Kita dikaburi dengan kehalusan yang amat nakal. Dan kita menjadi mainan makna yang terlalu sukar untuk ditafsirkan.
Kita sering bertindak apabila sesuatu perkara menjadi tenat. Kita tidak pernah untuk mencegah. Kita terlalu percaya, sekeliling kita seakan sudah kita lingkari dengan persefahaman dan ketahuan. tetapi sebenarnya sekali lagi kita menjadi mainan makna yang tidak mampu untuk kita huraikan.
Dan, kita sedang berdepan dengan fenomena makna itu sendiri. Kita menjadi kaku untuk memberitahu bahawa kita semua telah tertipu oleh mainan kita sendiri. Tentu sahaja, kita semakin tenggelam dalam mainan makna yang kini menjadi pegangan kita selamanya. Ya, kita jadi mainan makna yang maha KEJAM oleh mereka yang tidak peduli tentang MATI.

Khamis, 7 Januari 2010

SIAPA YANG BIJAK, SIAPA PULA YANG BODOH?

Kemelut demi kemelut seakan tidak ada titik noktah. Baik yang menyangka dirinya bijak, atau yang mengata orang itu bodoh, semuanya mengundang kelemahan masing2. Yang jelas, hal demikian hanya tercatat sebagai satu yang sensasi. Menjadi tajuk2 berita. Paling malang, menjadi bahan yang mengelikan hati sesetengah pihak.
Memang sukar untuk menerima hakikat ini. Kerana masing2 tidak pernah mengaku salah. Masing2 mahu mendabik dada menunjukkan diri. Masing2 bertindak kononnya atas nama kebijaksanaan. Walhal, di situlah bermulanya kebodohan yang amat.
Kini, yang dicari bukan jawapan tetapi menzahirkan siapa yang bijak dan siapa yang bodoh. Walhal, kedua-dua sama, kerana yang bijak dah membodohkan diri dan yang bodoh cuba menunjukkan bijaknya...

Rabu, 6 Januari 2010

KITA BERTELAGAH, ORANG LAIN KETAWA

Akhirnya terserlah bijak pandai kita untuk cuba menyelesaikan masalah "kepercayaan" kita. Ada yang berhujah seakan dialah yang terbijak atau yang terbodoh. Semuanya berligar antara sesama memahami situasi sebenarnya. MEDIA dijadikan medan menyalurkan kewibawaan yang tergambar keangkuhan dan kesewelan. Apakah tidak ada ruang untuk bertemu dan berbincang?
Sedangkan yang dibincang dan diperkatakan soal diri, kepercayaan, keyakinan dan harga sebuah maruah agama. Bukan cerita pasal politik pasar dan politik tahi telinga. Begitulah, apabila orang sudah mula lupa, apa yang sebenarnya wajar dan harus diperjuangkan. Inilah kesan apabila populariti menjadi nadi pemikiran insan sehingga mengadai makna diri dan terpapar kebodohan yang amat.
Kini, kita masih bertelagah untuk menyatakan yang kita betul, dia salah, dan dia mengatakan dia betul dan kita salah. Namun disebalik semua itu, ketawa orang lain semakin riuh rendah melihat kesewelan, kedegilan dan kebodohan kita yang amat. Sekali lagi, KEBODOHAN KITA YANG AMAT!

Selasa, 5 Januari 2010

KENAPA DIUNDANG SENGKETA?

Saat mencari kedamaian dan keamanan, mengapa ada yang sengaja menjolok rasa? Apakah sememangnya sedemikian kejinya manusia yang tidak pernah syukur nikmat-Nya. Kini, kerajaan harus belajar mengerti dan memahami bahawa keterbukaan yang terlampau sebenarnya jalan mengundang malapetaka.
Mungkin tidak salah bertegas, apabila orang sudah mula menampakkan taring. Kerana Malaysia yang kucinta ini semakin menjadi tidak keruan. Seperti hilang rasa kesentosaan. Paling peliknya, kita sebagai tuan, sentiasa mengalah dan memberi semahunya, sedangkan yang mendatang dan menumpang semakin ghairah mengali dan mengali tanpa peduli siapa kita.
Mengapa?

Ahad, 3 Januari 2010

JANUARI

Pernah pepatah cina, "Setiap permulaan, bermula dengan langkah pertama". Sekilas pengertiaan, kehadiran Januari dianggap sebagai langkah pemula bagi setiap tahun yang mendatang. Tapi peliknya, sekian lama, Januari sentiasa hadir dan pergi tanpa sesiap mahu menilainya. Berapa kali sudah diberi peluang dan ruang itu untuk berfikir dan berubah. Namun masih ramai lagi yang seakan-akan tidak mempedulikannya.
Ini soal harga diri. Soal pengertian. Soal pemahaman. Soal keinsafan. Soal kesedaran. Terlalu banyak ruang dan peluang diberikan, tetapi entah mengapa peluang dan ruang itu hanya seketika diterjemahkan menjadi sandaran pengertian dan selebihnya menjadi bagai angin yang hanya dirasai tanpa dipeduli.
Kini, Januari datang lagi, dengan seribu pengertian yang tiada kesudahan. Dan terpulang kepada sesiapa untuk merebutkannya sebagai peluang dan ruang bagi memaknakannya dengan semaksima mungkin.

Rabu, 30 Disember 2009

TAHUN BARU

Kini hampir tahun baru. Dekat amat. Dan yang pasti tidak ada sesiapa yang dapat melengahkannya kecuali dengan takdir yang maha Kuasa. Namun tidak ada sesiapa pernah lupa bahawa ketibaan tahun baru bermakna anjakan waktu semakin ke depan. Ada yang merayakannya sebagai satu keseronokkan. Entah dari segi apa?
Tetapi bagi yang memahami, tugas semakin berat setiap kali tahun berganti. Paling jelas, kita semakin hampir ke suatu waktu yang cukup abadi dan pasti. Dan waktu itu, semuanya akan saling membuktikan tentang penggunaan usia kita dalam kehidupan ini. Dan waktu itu juga, pilihan telah kita buat seawal kehidupan kita, sehingga titik itu, kita tidak punya pilihan lagi, selain hanya menerima "ganjaran" yang setimpal dengan apa yang telah kita lakukan.

APA SUDAH JADI?

Apabila membaca sebuah akhbar tentang perancangan anak kandung kembar untuk membunuh ayahnya, saya menjadi cukup kelu dan terlalu payah mentafsir, mengapa sehingga sedemikian hinanya pengertian tentang anak dan ayah. Apatah lagi ayah itu ayah kandungnya sendiri. Terlalu sukar untuk dimengertikan.
Mengapa hal-hal sebegini berlaku walhal dicanang masa kini orang semakin moden dan kononnya makin bijak. Tetapi apa yang berlaku dan sedang berlaku bertentangan dengan makna bijak itu. Bayangkan pembunuhan demi pembunuhan sama ada bapa bunuh anak, orang jual anak, anak bunuh ibu, anak saudara merompak ibu saudara dan banyak lagi kes-kes yang semakin memualkan.
Barangkali, jelaslah bahawa akhir zaman dinampakkan pelbagai kehinaan manusia apabila mereka melupakan siapa yang lebih berkuasa dalam dunia yang fana ini. Maka berterusan kehinaan ini, apabila yang bertanggungjawab semakin mengabaikan amanahnya. Nauzubillah...