Ahad, 29 Mac 2009

RESENSI KEDUA

SASTERA UNTUK MASYARAKAT


Sewaktu melalui jalan “Lebuh India” yang sekian lama tidak saya kunjungi, saya dioleng oleh riuh rendah suara manusia yang berpusu-pusu mewarnakan kehidupan. Walaupun khalayak yang ada di sekeliling sesak ternyata mereka tidak menghiraukan antara satu sama lain. Kalau berlaku kes ragut, memang sukar untuk meneka kelalaian yang dihidangkan kepada peragutnya. Apatah lagi untuk menangkapnya.
Sudut yang lain sekumpulan remaja yang mungkin di bawah umur (lelaki dan perempuan dengan pakaian ala “punk”) dengan ceria, ketawa dan bergurau di samping mengeluarkan kepulan asap dari mulut masing-masing. Barangkali, pada tanggapan saya, kesibukan dunia hari ini memungkinkan ibu bapa tidak lagi mempedulikan apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Mungkin juga disebabkan desakan globalisasi ini manusia kini tidak perlu lagi ambil tahu hal orang lain. Apa yang penting rona-rona hidup perlu diteruskan dengan kehendak masing-masing.
Saya agak terkejut oleh satu sapaan yang saya rasa sudah diulangi. Agak payah untuk menekuni suara yang memanggil nama saya dalam suasana yang sedemikian. Saya amati, seorang teman yang kebetulan merupakan seorang karyawan yang cukup prolifik di Sarawak suatu ketika dahulu dan sudah agak lama tidak saya ketemui mula menghampiri dan bertanya khabar. Saya menyambut dengan senyum menghantar suasana mesra.
Khabar yang ditanya berganti soal sastera di Sarawak. Akhirnya, kami rancak membicarakannya. Berkait-kait dengan pelbagai andaian dan tanggapan. Sesungguhnya pertemuan yang tidak dirancang itu terdorong untuk diteruskan di sebuah gerai makan yang berhampiran. Katanya ada isu yang wajar dibincangkan dengan lebih telus. Saya hanya mengangguk antara benar-benar mahu mendengarnya atau sekadar memenuhi kehendak teman yang sudah lama menyepikan diri dari sastera Sarawak.
Katanya, ada penulis yang sengaja membangkit kembali isu yang sudah lapuk. Lagi-lagi mempersoalkan tentang arah tuju penulisan yang akhirnya perlu dilakukan kerana peraduan dan mahu kemenangan. Lagi-lagi menekankan bahawa menulis ini akhirnya mendapat pengiktirafan dan anugerah. Justeru, katanya, apakah isu seni untuk seni masih menjadi pegangan penulis masa kini. Apakah seni untuk masyarakat hanya satu slogan yang sudah turut hilang dalam arus kemodenan ini.
Saya tersenyum, tidak menjawab. Bukan kerana tidak mahu memberi pendapat, cuma saya merasakan perkara tersebut tidak begitu penting. Bagi saya, kebanyakan penulis memang lahir daripada peraduan. Melalui kemenangan yang diperoleh maka orang mengenalinya. Secara logiknya, kalau karya tidak baik mana mungkin menang! Kalau setakat menulis begitu-begini sahaja, sukar untuk menempatkan diri. Untuk menghantar karya dengan hasrat untuk diterbitkan, saingan sudah tentu hebat. Justeru, jalan alternatifnya memperkenalkan diri melalui peraduan. Itu pun, kebanyakannya sekadar mencuba nasib.
Pernah seorang teman menasihati saya agar berfikir secara sedar terlebih dahulu dengan menyelami soalan yang ditanya oleh seseorang dengan penuh pengertian agar jawapan yang diberi tidak menampakkan kelompangan atau sengaja melepaskan diri. Soalan atau jawapan yang dihasilkan banyak dipengaruhi latar diri kita melalui pengalaman dan pembelajaran. Tidak adil kalau kita hanya melihat dari sisi kita sahaja. Mungkin dia salah, kita benar dan mungkin juga dia benar kita salah. Atau mungkin juga dia betul kita pun betul atau sebaliknya.
Sudah acap kali diperkatakan tentang kerja menulis ini. Ia bukan kerja yang boleh dilakukan dengan sehari dua untuk mematangkan daya fikir dan rasa dalam penulisan kita. Menulis juga bukan tawaran yang mampu memberi kemewahan yang mencurah-curah. Memang tidak dinafikan bahawa sekarang ini, penulis novel popular dapat hidup senang hasil daripada keupayaan penulisannya. Tetapi mereka melalui ranjau perjalanan yang cukup panjang dan berliku. Asasnya usaha dan kerja keras.
Walaupun demikian, tanggungjawab sebagai seorang yang hendak menulis perlu dilakar dengan niat yang betul. Sastera bukan hanya untuk sastera sahaja. Dengan kata lain, material, nama dan darjat semata-mata. Sastera adalah untuk dimasyarakatkan. Sastera perlu diberi jiwa dan dijiwai. Lantaran itu, karya yang kita hasilkan adalah untuk bacaan orang lain. Apabila dibaca oleh orang lain, kita harus bertanggungjawab atas apa yang kita hasilkan.
Mungkin, sasaran kita berkarya adalah untuk peraduan tetapi isi karyanya harus dan wajib untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Bayangkan sekiranya karya kita menang, sudah tentu akan diterbitkan dan diperkatakan. Pemikiran kita akan diteliti dan dibincangkan. Perkaitan fakta dan persoalan tema akan dibicarakan. Semuanya akan menampakkan isi dalam karya yang kita hasilkan.
Ini persoalan daya cipta yang menjadi asas untuk berkarya. Ilham boleh dicari. Bakat boleh diasah. Minat boleh dibina. Isu boleh diteroka. Teknik boleh dipelajari. Tetapi daya cipta perlu sentiasa dipelihara dengan kenikmatan hidup, kesan kehilangannya oleh kegelisahan dan tekanan realiti. Ini juga menjadi sumber utama bagi daya cipta mencari jalan yang sesuai dan benar untuk disajikan kepada pembaca. Ia tidak pernah terhenti kerana usia, selagi kita menggunakan kebijaksanaan akal sepenuhnya..
Sama seperti air yang mengalir. Sentiasa menurut alirannya sehingga ke laut dan akhirnya dimasinkan oleh lautan dalam. Justeru, daya cipta penulisan kita harus dimatangkan dengan “kemasinan” hidup kita yang akhirnya adalah untuk berbakti kepada tuhan. Ini jelas dalam penekanan “hubungan dengan tuhan dan hubungan manusia dengan manusia”
Barangkali, bagi penulis baru, daya cipta menjadi masalah. Satu penyebabnya, mungkin jarang mendapat tip tentang penulisan. Mungkin juga kerana tidak pernah mengikuti bengkel penulisan atau sememangnya tidak ada kesempatan untuk turut serta. Mungkin ada yang hanya didorong oleh minat tetapi kurang menyengat dari segi bakat. Harus diingat minta dan bakat harus digabungkan. Pernah suatu ketika dibincangkan tentang minat dan bakat.
Kalau ada minat kurang bakat, jawabnya perlu banyak membaca dan meneliti karya orang lain. Kalau ada bakat kurang minat, jawabnya perlu menyedari tanggungjawabnya sebagai seorang manusia di muka bumi ini. Harus juga kita sedar bahawa setiap yang kita lakukan bukanlah semudah yang kita jangkakan. Pelbagai cabaran dan dugaan harus didepani dengan akal budi, agar dapat memberi mematangkan diri kita dalam kehidupan.
Menurut Shahnon Ahmad, jangan menulis sesuatu yang tidak mesra dengan diri kita. Jangan menulis sesuatu yang jauh daripada diri kita. Jangan cuba menulis sesuatu yang besar lagi agung tetapi tidak terjangkau oleh akal budi dan hati nurani diri kita. Namun jangan pula membuntukan diri setakat langkah itu sahaja. Cuba menjangkau lebih jauh daripada pengalaman yang bermakna untuk menambah kemanisan hidup. Tajamkan daya sensitiviti selalu dan tanamkan minat membaca.
Datuk A. Samad Said pernah menyatakan bahawa membaca bermakna mengunyah isi buku yang kita baca. Selalunya kita tidak membaca secara demikian. Tegasnya, kita membaca hanya membaca, tanpa berada di dalam buku yang kita baca. Kita membaca hanya di luarnya bukan membaca dalam dirinya, yang mungkin menjadikan khayalan cepat tersemai, terbaja dan kemudiannya bermusim untuk dituai. Tentu sekali pembacaan haruslah sesuatu yang indah pada pandangan diri di samping benar-benar relevan dengan kecenderungan atau selera dalam kehidupan kita.
Lumrahnya manusia sentiasa dalam proses pencarian, tercari-cari akan sesuatu yang menjadi keperluannya. Sehingga pencarian mengabaikan banyak perkara lain. Tetapi tidak semua mahu atau sengaja tidak menyedari bahawa apa sahaja yang dilakukan demi kebaikan kepada orang lain akan mendatangkan kebaikan juga untuknya. Mungkin ini yang ditekankan oleh Zaini Oje bahawa falsafah barat yang mengatakan bahawa kita tidak perlu work hard tetapi work smart kurang sesuai dengan pengertian ketimuran dan tradisi kita.
Kita wajar bekerja keras dan pada waktu yang sama bekerja secara bijak. Kita jangan memanipulasi keadaan kerana kebijaksanaan kita demi kepentingan diri. Bukan bermakna dunia kini serba pantas dalam memacu nilai kehidupan, kita mengabaikan tanggungjawab serta tatasusila kita terhadap diri, keluarga, organisasi, masyarakat dan bangsa kita. Kita punya pilihan lain yang lebih baik, justeru manfaatkan sepenuhnya.
Untuk tidak menghampakan teman saya tadi, saya sarankan kepadanya bahawa isu-isu yang begini harus dilihat dari sisi yang positif dan usah dibesar-besarkan. Tidak salah berterusan menulis hanya kerana tuntutan peraduan. Teruskan. Menang atau tidak, jadikan perkara nombor dua. Hasilkan karya sebaik mungkin. Jangan takut bertanya dengan orang lain tentang upaya karya kita.
Jadikan kekalahan adalah langkah menuju kemenangan. Buangkan istilah putus asa dalam daya usaha kita. Insya Allah, kiranya tiada ganjaran di dunia, di akhirat kita akan menerimanya, dengan syarat niat kita harus benar dan betul. Teman saya mendiamkan diri sambil menenungkan saya dengan senyum sinis yang menduga. Kemudian kami kembali bercerita tentang kisah-kisah masa lalu yang telah mematangkan makna hidup ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan