Apabila tiba bulan Ogos, sudah tentu soal kemerdekaan yang paling dominan dikaitkan sebagai isu semasa untuk diperkatakan. Setiap sudut, setiap ceruk dan setiap ruang yang ada, semahunya memperkatakan tentang “kemerdekaan”. Ada yang memapar kembali perit sakit sejarah silam. Ada yang memperlihatkan kehebatan yang telah dikecapi. Tidak kurang yang masih mencari-cari kebenaran di sebalik kemerdekaan ini.
Soal kemerdekaan terlalu subjektif untuk dihuraikan dalam nilai kehidupan ini. Apatah lagi kalau pentafsiran itu mengikut kaca mata yang berbeza dengan kehendak dan keperluan masing-masing. Walaupun demikian, Getus Fikir akan sedaya mungkin mengajak pembaca untuk sama-sama membincangkan aspek kemerdekaan ini melalui beberapa “gelombang” yang telah dilaluinya dan yang akan dilaluinya kelak.
Tidak terkecuali negara kita, Malaysia, yang semakin gah mengetengahkan dirinya dalam lingkaran dunia ini. Apatah lagi dengan pelbagai gagasan serta wawasan yang menginginkan negara kita sebaris dengan negara-negara maju, khususnya pada tahun 2020. Tentu sekali, perancangan dan penambahbaikan dilakukan dari setiap detik ke detik bagi menjadikan hasrat itu satu realiti yang menjamin “Malaysia negara maju”
Namun, sebelum kita masuk ke dalam horizon yang akan menjadikan kita juga maju, maka sewajarnya kita membuat penilaian tentang diri kita dalam pengertian kemerdekaan ini. Apakah, kemerdekaan yang kita sambut saban tahun menjelang Ogos ini benar-benar menjadikan kita sebagaimana yang kita mahu atau sebaliknya. Atau kita masih juga sebagai “pengikut” yang masih setia dengan nilai-nilia kepengikutan itu?
Justeru, untuk minggu ini, kita akan berbincang tentang gelombang pertama dalam pengertian kemerdekaan. Gelombang yang menjadi punca segala nikmat yang kita kecapi pada hari ini. Iaitu gelombang yang merupakan gelora pencetus pertentangan untuk menuntut hak. Hal ini rasanya, semua sudah mengetahui. Cuma kerisauan kita, apakah yang kita ketahui itu, turut juga diketahui oleh generasi muda kini. Kerisauan ini berpijak melalui pengertian “menuntut” kemerdekaan itu.
Sejarah telah membuktikan bahawa sudah terlalu banyak keringat dan darah menjadi tanda bagi memaknakan “tuntutan” itu. Walaupun akhirnya dapat direalisasikan melalui meja perundingan namun, proses ke arah itu telah mencetuskan pelbagai gelora lain. Kesengsaraan, keperitan, ketakutan, kelaparan dan sebagainya, mengisi setiap ruang waktu mereka yang berada dalam gelombang pertama ini. Lantaran itu, lahirlah nama-nama besar yang menjadi lambang “keperwiraan” bagi golongan yang menuntut hak mereka.
Tidak perlu kita sebut satu persatu nama-nama mereka yang telah berkorban dengan penuh jiwa raga bagi mendapatkan hak masing-masing. Itu sudah menjadi tanggungjawab bagi mereka yang memahami tentang nilai maruah dan harga diri. Bahkan banyak lagi mereka yang tetap berjuang dan berdiri di belakang nama-nama perwira kemerdekaan tetapi mereka tidak dikenali dan diketahui. Ini mungkin disebabkan oleh keadaan semasa yang lebih melihat kepada pemimpin pada waktu itu.
Justeru, gelombang pertama dalam pengertian kemerdekaan ini, sememangnya terisi dengan air mata, kematian, darah, keringat, pembunuhan dan sebagainya. Ini bukan bermakna, bahawa itulah jalan terbaik untuk menuju sebuah kebebasan dan mengecapi makna kemerdekaan. Bukan. Tetapi, keadaan dan ketika itu, perasaan dan maruah diri cukup tercabar, apabila menjadi hamba di dalam negara sendiri.
Sedangkan dari segi hakikatnya, kita telah melalui alam yang cukup sempurna dan hebat apabila keagungan Melaka sebagai pusat pentadbiran dan pengurusan orang Melayu yang cukup ulung. Namun, disebabkan kesilapan dan permainan yang terlalu mementingkan “kuasa” maka akhirnya kita diulit dengan “ruang kegelapan” sehingga terjajah!. Maka, bagaimana kita melihat gelombang pertama yang telah mengelorakan nenek moyang kita dengan alun yang menyakitkan. Apakah wajar mereka berdiam diri sahaja tanpa memikirkan jalan yang terbaik untuk mereka lakukan?
Akhirnya, jalan yang dipilih melalui pertentangan terhadap penjajah setelah proses jajahan itu semakin “memamah” tentang nilai, kedaulatan dan budaya orang kita. Bayangkan waktu itu, nenek moyang kita hanya berbekalkan semangat kental menentang penjajahan tanpa memperdulikan diri mereka. Bayangkan juga, bagaimana mereka hanya mempunyai keris dan parang, sedangkan penjajah tersedia dengan senjata api?
Bayangkan juga kelengkapan pakaian perang penjajah dengan nenek moyang kita yang hanya berharap tingkah dan silat. Bayangkan juga kecanggihan penjajah merencana dengan keresahan nenek moyang kita merancang. Semuanya memerlukan kekuatan daya fikir dan cergas tindak yang mendorong dan merangsang mereka berjuang sekalipun kekurangan menjadi penghalang.
Mungkin sukar untuk kita menterjemahkannya dengan keadaan sekarang kerana gelombang pertama itu telah reda tanpa ada sesiapa lagi mengintai dan bermain dengannya. Gelombang itu sudah lama tidak memunculkan geloranya. Sekadar riak-riak dipermukaan, yang kemudian hilang mengikut alun ke pantai keselesaan. Tidak ada lagi yang mahu mengerti tentang hasrat dan niat gelombang pertama itu waktu ini. Bukan kerana tiada angin atau hukum alam menjelmakannya, tetapi kita sudah cukup selesa bermandi-mandian di tasik yang tidak ada gelombang dan geloranya! Wallahualam.
Ahad, 29 Mac 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan