Selasa, 30 Jun 2009

PERTEMUAN DAN PERBINCANGAN

Pertemuan Ilmuwan dengan pihak Pengurusan DBP mencetuskan perbincangan tentang hala tuju Bahasa Melayu. Ada baiknya pertemuan sedemikian. Namun, andaikata pertemuan itu hanya menzahirkan perbincangan tanpa ada tindakan, maka samalah pertemuan itu seperti sembang kedai kopi. Apapun kita percaya pertemuan itu sedikit sebanyak memberi impak sama ada kepada pihak DBP mahupun Ilmuwan.
Perkara pokok tentang Bahasa Melayu, berpunca desakan politik yang sedikit kalut antara kehendak dengan kekuasaan, maka, banyak hal dikorbankan. Walhal, jelas undang-undang dan perlembagaan dicabuli sewenang-wenangnya atas nama politik. Paling jelas, perkara mengenai Bahasa Melayu, sepatutnya tidak timbul, kerana Bahasa Melayu terpelihara dalam perlembagaan 152. Lalu, apakah yang sebenarnya berlaku? Tentu ada yang kita tidak ketahui disebalik permainan orang tertentu terhadap kesejahteraan negaraku Malaysia ini...
Ayuh, kita sama-sama mengembalikan kedamaian, keamanan, kesejahteraan, perpaduan, kesatuan dan kepercayaan demi Malaysia...

Isnin, 29 Jun 2009

ISU KITA

Ada beberapa hal yang menarik berlaku di negara kita. Pertama kes penyeludupan manusia. Kedua tentang kakitangan awam dibebani hutang. Selain kes Manohara. Namun dalam hal-hal tertentu, soal "hutang" mungkin wajar dilihat dari sisi yang berbeza. Kenapa berhutang? Itu persoalan pokok. Berdasarkan kenyataan Presiden Kesatuan Sekerja, keadaan hidup di bandar yang menjadikan kos hidup terlalu tinggi menyebabkan orang terpaksa berhutang. Itu mungkin benar, kalau dilihat dalam situasi di KL. Tetapi suasana dan keadaan negara juga mendorong ke arah orang untuk berhutang, antaranya kenaikan harga barang yang amat amat amat tinggi dan mendesak.
Lantas, apakah peranan kerajaan bagi mengimbangi tuntutan kehidupan kakitangannya? Kita lihat pendekatan dan kaedah menanganinya, pelik tapi benar, iaitu naik gaji, naik harga barang, lalu apa penyelesaiannya? Pelik kan?

Ahad, 28 Jun 2009

ANTARA BRAZIL DAN USA...SEPANYOL?

Apabila ada kejutan pasti ada sahaja andaian. Sesuatu yang dijangka tidak semestinya menjadi realiti. Nasib adalah cadang dalam pengandaian yang ditanggapi tetapi kenyataan akan menjadi satu persoalan yang cukup utuh untuk dirungkaikan.
Begitu halnya dengan apa yang berlaku dalam pertandingan bola sepak di Afrika Selatan yang memungkinkan satu andaian tidak semestinya menjadi satu realiti.
Yang penting, usaha dan keyakinan diri, pasti merubah segalanya.

Khamis, 25 Jun 2009

BULAN REJAB

Sudah dua hari berlalu dalam bulan Rejab 1430. Dan kita dalam jejak mendepani Syaaban dan Ramadan. Bulan-bulan yang penuh nikmat, berkat dan rahmat. Khusus untuk umat Islam. Bahkan, bulan-bulan ini menjadi medan untuk menyelesaikan hutang-hutang lama serta mempergiatkan amal ibadah bagi mengimbangi apa yang telah dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
Sesungguhnya, amat rugilah sesiapa tidak memanfaatkannya dengan rasa syukur, sedar dan insaf.

Rabu, 24 Jun 2009

HARI BAPA

Hanya airmata dapat menyatakan tentang betapa syukurnya menjadi ayah kepada anak-anakku. Dalam diam, mereka begitu menyayangi aku. Dengan penuh rasa kecintaan.
Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk terus berbakti sebagai hamba-Mu dan menjadi seorang ayah yang mampu melaksanakan tanggungjawab-Ku.
Ya Allah, ampunkan dosaku, kedua ibubapaku, isteriku dan anak-anakku, panjangkan umur dan murahkan rezeki kami dengan rahmat-Mu.
Amin.

PADA SEBUAH WAJAH

Terlalu sukar kita mentafsirkan apa yang ada pada sebuah wajah. Barangkali, terlalu mudah dijangka namun terlalu sukar pula dipastikan. Apatah lagi bayang senyum kadang-kadang menerbitkan persoalan yang lebih mengelirukan. Apa yang pasti penilaian dan pentafsiran bukan terletak hanya pada riak wajah namun nilai yang tulus dan suci melalui kefahaman bersama.

Selasa, 23 Jun 2009

TERUSKAN PERJUANGAN INI!


APA LAGI PAK MAHATHIR?

Sampai bila kita sedar? Tak kan disebabkan nilai penemuan kononnya tiada dalam bahasa kita maka ilmu itu tidak boleh diperkatakan? Mengapa cetek benar cara berfikir. Semudah itu kah? Walhal, banyak benda atau perkara tentang ilmu ini muncul dalam dunia kita juga, tetapi maish mampu diterokai oleh orang luar. Apakah kerana SATU ilmu, kita harus mengadaikan SEJUTA ilmu lain?
Sedarlah pak...

Isnin, 22 Jun 2009

KERAJAAN PERPADUAN

Keinginan seirngkali membatasi kemahuan. Namun, bukan semua melalui perhitungan yang mudah. Ada cabaran dan halangan yang kadang-kadang sukar difahami. Cabaran untuk memahami lebih mengelisahkan berbanding belajar memahami. Walaupun demikian, cabaran yang direstui dengan akal budi pasti mencetuskan satu nilai yang dapat dimanfaatkan.
Begitu juga halnya dengan halangan yang pasti mendatang. Sama ada kita rela atau tidak, halangan akan menjelmakan penilaian tentang kesempurnaan. Bukan mudah untuk memberi erti terhadap kesan dan impak yang dihadapi, andai kata dalam diri sudah tercipta tanggapan dan persepsi yang negatif. Secara mudahnya, bagaimana kita berfikir begitulah cara kita bertindak...

Ahad, 21 Jun 2009

CERITA DUNIA

Dalam kalut yang sering melanda fenomena dunia ini, banyak hal terlalu sukar untuk diertikan. Bukan kerana, kemelutnya tetapi perbezaan yang dikelirukan. Walaupun jelas yang dilakukan itu tidak benar, namun kerana kuasa yang ada, hal itu menjadi sesuatu yang betul dan benar. Ini berbeza dengan realiti serta kanun yang sedia ada. Apakah, corak kesesatan ini memang menjadi satu kepastian serta kehendak dunia? Andai benar, jelas, dunia sudah di penghujung perjalanannya...

Rabu, 17 Jun 2009

SEKADAR CATATAN

Aku akan ke Kelantan hari ini. Menumpang kenderaan seorang teman. Kebetulan ada program Bicara Karya di sana. Teruja juga. Barangkali dapat manfaat perkongsian ilmu dengan penulis di Kelantan. Pemergiaan sehingga hari Ahad itu, memungkinkan pengalaman bersama-sama penulis di sini sesuatu yang sukar untuk diterjemahkan dengan keterujaan itu.
Apapun, perjalanan itu nanti, pasti memberi satu ingatan yang cukup manis buat diri dalam meneroka alam Tuhan ini.

PAS PULAK KECOH?

Benarlah, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Dalam apa-apa perkara pun, kita hanya mampu merancang dan mengatur strategi. Yang menjadikannya realiti adalah dengan keizinan dan kebenaran-Nya jua. Apatah lagi dunia material sekarang banyak kali menidakkan sola kebenaran dan ketulusan, maka pelbagai masalah ditimbulkan.
Walhal, kalau difikirkan, kehidupan ini hanya seketika untuk kita mengisinya. Tetapi banyak kali kita seakan dijanjikan kehidupan ini abadi tanpa mati. lalu kita melanggar banyak etika kehidupan sebagai insan dan hamba kepada-Nya.
Kini, sedikit demi sedikit, kesan duniawi mula merubah pendirian dan harga diri. Itulah manusia, andaikata memilih jalan yang jauh dengan melalui jalan singkat, maka kecoh jadinya!

Selasa, 16 Jun 2009

SEMBANG KOSONG?

Arahan terbaru kerajaan kepada kakitangan kerajaan agar tidak menyalahgunakan rangkaian maya, kerana dikhuatiri mengganggu tumpuan kerja. Kenapa ya?
Dalam kepesatan dunia maklumat, komputer dan internet sudah menjadi keperluan bagi semua peringkat. Bahkan kerja rumah peringkat kanak-kanak sekolah pun menuntut adanya rujukan bersumberkan internet. Jadi kenapa ya?
Sememangnya banyak hal kita sering mundur kebelakang atas dorongan dan desakan yang hanya "ketakutan pada bayang-bayang".
Apa yang penting, kaedah dan pendekatan yang rasional bukan menyalahkan tetapi meneliti bagaimana untuk memanfaatkan kaedah dan pendekatan itu dengan telus, tulus, benar dan ikhlas.

Isnin, 15 Jun 2009

TAHNIAH AJK BAHARU PEKASA

Syabas dan tahniah buat AJK PEKASA sesi 2009-2011. Semoga terus bergiat aktif dalam usaha menyuburkan martabat sastera di Bumi Kenyalang. Sesungguhnya, perjuangan tiada titik noktah, kerana perjuangan yang suci adalah impian abadi untuk di bawa ke muka keadilan nanti.
Teruskan perjuangan anda...

Ahad, 14 Jun 2009

BAHASA INGGERIS WAJIB?

Belum selesai satu hal, timbul lagi satu masalah. Bagaikan tiada cara untuk melunakkan pemikiran maka tercetus satu persoalan yang sememangnya sudah ada jawapan tetapi sengaja dikemukakan. Seakan tiada arah yang lebih molek untuk memikirkan perkara yang lebih jauh dan matang.
Apakah itu sahaja kaedah untuk melihat pembangunan dan perkembangan semasa? Memang diakui kepentingan BI itu sebagai jaringan komunikasi dunia, namun, tidak kah menjadi satu keganjilan apabila kekuatan diri disembunyikan kerana takut kelemahan orang lain? Kita sudah menjadi bangsa yang cukup kuat berdepan dengan cabaran ini, maka tidak perlu kita takut bayang2 sendiri.
Kita telah buktikan siapa kita lebih 50 tahun, dan berjaya tanpa mengaku bahawa BI menjadi nadinya. Apa yang penting semangat dan rasa kesedaran itu sebagai rakyat Malaysia...

Selasa, 9 Jun 2009

SEMINAR BM & MASYARAKAT CINA

Telah berlangsung kegiatan berkenaan pada 8 Jun 2009 di Balai Syed Nasir, DBP. Satu kegiatan yang dianggap sebagai perintis ke arah 1Malaysia. Tahniah dan syabas buat penganjur. Namun, sesuatu yang dilakukan pasti akan membawa impak yang berlainan. Yang jelas, medan itu ,emjadi ruang untuk mereka yang TIDAK PUAS hati meluahkan apa sahaja tanpa usul periksa. Dan juga menuntut sesuatu yang cukup luar biasa. Akhirnya, yang diharap menjadi tekanan, bak kata pepatah baru, angin bertiup menghala ke utara bukan bermakna di selantan tiada dinginnya...

Khamis, 4 Jun 2009

PERSAHABATAN

Sukar untuk mencari sahabat yang mampu berada dalam apa jua situasi kita. Kalau ada, itulah sahabat yang menjadi permata dalam timbunan pasir kehidupan kita. Kerana sahabat yang sejati lebih mengerti tentang makna keberadaan persahabatan itu.
Namun, kawan amat mudah kita temui, begitu juga rakan, agak ketara berada bersama kita. Tetapi, seorang sahabat amat payah kita temui. Kecuali teman hidup, yang telah memintal janji!

Rabu, 3 Jun 2009

KEPERKASAAN

Kemenangan bukan ditentukan semata-mata melalui keperkasaan. Ada unsur lain yang turut menyumbang. Paling penting, pemikiran yang akan menjana kaedah atau strategi "keperkasaan" itu.
Kekuatan dalaman memberi satu dorongan yang kemudiannya menampakkan hasil melalui kekuatan luaran. Namun, gabungan kedua-dua unsur ini pasti akan menghasilkan nilai keperkasaan yang jitu, utuh dan teguh.
Yang pasti keperkasaan mutlak pasti milik-Nya

Selasa, 2 Jun 2009

BENCI

Kemelut sosial hari ini, jelas berpunca daripada masalah dadah. Andai kata masalah dadah dapat diselesaikan, pasti 90% masalah sosial yang membabitkan rompak, ragut, rogol, bunuh dan sebagainya dapat dikurangkan angka masalah itu.
Namun, kegiatan dadah sama ada peringkat besar atau kecil menjadi pemangkin ke arah kemusnahan sosial dan seterusnya daya upaya kegenerasian untuk berdepan kehidupan yang cukup kompleks dan mencabar ini.
Maka, sama-sama kita membasmi angkara DADAH!

Isnin, 1 Jun 2009

SI MATA BARU

Kebiruan adalah warna keceriaan yang sering menjadi pilihan. Seakan pentafsiran biru itu benar-benar memberi asas kehendak tafsiran itu.
Walhal, terlalu umum, andainya biru memberi segalanya tentang keceriaan itu.
Namun, ada waktunya, kita terperangkap dalam renungan si mata biru.